Topik diikuti
Pergi ke BHkuLaporan: Iran usul buka Selat Hormuz, tangguh rundingan nuklear
Laporan: Iran usul buka Selat Hormuz, tangguh rundingan nuklear
Pelan melalui pengantara di Pakistan usul lanjut gencatan senjata dengan AS ke arah penyelesaian kekal
Laporan: Iran usul buka Selat Hormuz, tangguh rundingan nuklear
WASHINGTON/ISLAMABAD: Iran dilaporkan telah mengemukakan cadangan baharu kepada Amerika Syarikat bagi membuka semula Selat Hormuz dan menamatkan perang, termasuk menangguhkan rundingan nuklear kemudian.
Demikian menurut laporan media Axios yang memetik pegawai Amerika dan sumber berkaitan.
Usulan itu disampaikan melalui pengantara di Pakistan dan mencadangkan lanjutan gencatan senjata bagi memberi ruang kepada kedua-dua pihak mencapai penyelesaian kekal.
Di bawah pelan tersebut, rundingan nuklear hanya akan dimulakan selepas sekatan laut terhadap Selat Hormuz ditarik balik.
Cadangan Iran itu dilihat sebagai usaha memecahkan kebuntuan rundingan yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.
Usaha menyambung semula rundingan damai itu terhenti selepas Presiden Amerika, Encik Donald Trump, membatalkan rancangan menghantar wakilnya ke Pakistan bagi perbincangan lanjut.
Encik Trump berkata Iran segera mengemukakan cadangan baharu selepas pembatalan tersebut.
“Menariknya, apabila saya batalkan, dalam masa 10 minit sahaja, kami menerima dokumen baharu yang jauh lebih baik,” katanya kepada wartawan.
Namun, beliau menegaskan bahawa cadangan itu masih belum mencukupi.
“Mereka tawarkan banyak, tetapi masih tidak cukup,” katanya tanpa memberikan butiran lanjut.
Saranan itu telah diserahkan kepada Rumah Putih, namun/ masih belum jelas sama ada Washington bersedia untuk mempertimbangkannya.
Jurucakap Rumah Putih, Cik Olivia Wales, berkata perbincangan diplomatik tersebut bersifat sensitif dan tidak akan dilakukan secara terbuka.
“Ini adalah perbincangan diplomatik yang sensitif dan Amerika tidak akan berunding melalui media,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa sebarang perjanjian hanya akan dibuat jika ia melindungi kepentingan rakyat Amerika dan memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear.
“Amerika mempunyai kelebihan dan hanya akan membuat perjanjian yang mengutamakan rakyatnya,” tambah beliau.
Penganalisis melihat cadangan Iran itu sebagai strategi untuk mendapatkan kelebihan awal dengan membuka semula Selat Hormuz sebelum rundingan nuklear dimulakan.
Jika laluan itu dibuka dan gencatan senjata itu dipersetujui terlebih dahulu, Amerika berisiko kehilangan tekanan rundingan dalam isu nuklear yang menjadi teras konflik.
Encik Trump sebelum ini menegaskan bahawa sekatan laut itu digunakan sebagai alat bagi memberi tekanan terhadap Iran, khususnya dalam usaha menyekat eksport minyak negara itu.
Cadangan tersebut diselaraskan dengan beberapa negara pengantara termasuk Pakistan, Mesir, Turkey dan Qatar.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, dilaporkan mengadakan pertemuan dengan pihak pengantara di Islamabad sebelum meneruskan lawatan ke Oman dan seterusnya ke Russia.
Menurutnya, Iran masih menunggu tanda kesungguhan daripada Amerika dalam proses diplomasi.
“Kami masih belum melihat sama ada Amerika benar-benar serius tentang diplomasi,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Di tengah-tengah kebuntuan rundingan, kedua-dua pihak terus mengekalkan sekatan masing-masing di Selat Hormuz.
Tentera Amerika dilapor telah mengarahkan puluhan kapal berpatah balik atau kembali ke pelabuhan, manakala Iran menggunakan armada bot kecil bersenjata untuk mengawal laluan tersebut.
Keadaan itu menyebabkan gangguan besar kepada perdagangan sejagat dan meningkatkan ketidaktentuan dalam pasaran tenaga.
Rundingan antara kedua-dua negara tidak menunjukkan kemajuan ketara sepanjang hujung minggu lalu.
Lawatan delegasi Iran ke Pakistan berakhir tanpa keputusan jelas, manakala rancangan pertemuan antara wakil Amerika dengan Iran turut dibatalkan.
Encik Trump menjelaskan beliau tidak melihat keperluan menghantar wakilnya dalam keadaan semasa.
“Saya tidak nampak sebab untuk menghantar mereka dalam penerbangan 18 jam. Kita boleh berhubung melalui telefon. Iran boleh hubungi kami jika mereka mahu,” katanya.
Walaupun cadangan baharu Iran dilihat sebagai langkah ke arah meredakan konflik, ketidaktentuan masih menyelubungi proses rundingan.
Persoalan utama kini adalah sama ada kedua-dua pihak bersedia bertolak ansur, khususnya dalam isu nuklear yang menjadi titik utama pertikaian.
Dalam masa yang sama, tekanan terhadap pasaran tenaga sejagat dan kestabilan serantau terus meningkat, menjadikan penyelesaian diplomatik kian mendesak. – Agensi berita.
