Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Letupan kereta bom gegar Pakistan, 8 terbunuh, beberapa lagi cedera

Sep 30, 2025 | 4:36 PM
Foto Fail: Polis dan penduduk tempatan berdiri berhampiran lokasi letupan di Lahore pada 24 Jun 2021, sehari selepas sebuah kereta bom meragut tiga nyawa di bandar mega timur Pakistan itu.
Foto Fail: Polis dan penduduk tempatan berdiri berhampiran lokasi letupan di Lahore pada 24 Jun 2021, sehari selepas sebuah kereta bom meragut tiga nyawa di bandar mega timur Pakistan itu. - Foto AFP

QUETTA , Pakistan: Sekurang-kurangnya lapan orang maut dan beberapa lagi cedera apabila sebuah kereta sarat bahan letupan meledak di hadapan ibu pejabat pasukan keselamatan separa tentera Pakistan di bandar Quetta, barat daya negara itu, pada 30 September. Letupan kuat itu disusuli tembakan antara penyerang dan pasukan keselamatan.

Menurut pihak berkuasa, empat lelaki bersenjata yang menaiki kereta tersebut keluar sebelum kenderaan mereka meletup, lalu melepaskan tembakan ke arah anggota keselamatan di kawasan ibu pejabat Frontier Constabulary. Pasukan keselamatan membalas tembakan dan berjaya menumpaskan keempat-empat penyerang.

“Letupan itu begitu kuat sehingga boleh didengar dari beberapa kilometer jauhnya,” kata Encik Ali Jan, seorang penduduk yang tinggal berhampiran lokasi kejadian. “Tingkap rumah kami pecah dan kereta di tepi jalan turut rosak.”

Rakaman televisyen tempatan dan CCTV menunjukkan sebuah kereta berhenti di hadapan pintu pagar kompleks keselamatan, diikuti letupan besar dan bunyi tembakan bertalu-talu. Asap tebal kelihatan menjulang tinggi di kawasan Zarghoon Road, lokasi serangan.

Menteri Kesihatan Balochistan, Encik Bakht Muhammad Kakar, mengesahkan angka kematian setakat ini lapan orang dan memberi amaran jumlah itu mungkin meningkat kerana beberapa lagi mangsa dalam keadaan kritikal.

Beliau mengisytiharkan darurat di seluruh hospital di Quetta dan mengarahkan semua doktor, jururawat dan kakitangan perubatan segera kembali bertugas. “Keutamaan kami sekarang ialah menyelamatkan nyawa mereka yang cedera. Semua sumber perubatan dikerahkan,” kata Encik Kakar.

Pasukan penyelamat dan ambulans dikerahkan sejurus selepas letupan untuk membawa mangsa ke hospital berdekatan. Polis dan tentera mengepung kawasan kejadian bagi memastikan keselamatan dan mengelakkan serangan susulan.

Setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut. Namun, pihak berkuasa Pakistan mengesyaki kumpulan pemisah bersenjata seperti Tentera Pembebasan Baloch (BLA), yang sering menyasarkan pasukan keselamatan dan orang awam di wilayah Balochistan.

Ketua Menteri Balochistan, Sarfraz Bugti, mengecam serangan itu dan memuji keberanian pasukan keselamatan yang menumpaskan penyerang. “Pengganas tidak akan dapat mematahkan semangat rakyat dan negara melalui serangan pengecut seperti ini,” kata Encik Bugti dalam satu kenyataan rasmi. “Pemerintah komited untuk menjadikan Balochistan wilayah yang aman dan selamat.”

Serangan kali ini berlaku hanya beberapa minggu selepas satu pengeboman berani mati berhampiran stadium di Quetta yang meragut 13 nyawa dan mencederakan lebih 30 orang. Sejak bertahun-tahun, Balochistan sering menjadi lokasi keganasan bersenjata akibat gerakan pemisah yang menuntut kemerdekaan daripada kerajaan pusat.

Pihak polis berkata siasatan awal menunjukkan letupan kali ini berkemungkinan serangan berani mati. “Kami sedang mengumpul bukti bagi mengenal pasti rangkaian di sebalik serangan ini,” kata seorang pegawai polis kanan yang enggan dinamakan.

Penduduk setempat pula meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka. “Kami hidup dalam ketakutan setiap kali dengar letupan. Anak-anak saya trauma,” kata Encik Muhammad Karim, peniaga di kawasan berhampiran. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg