LONDON: Lembaga Keamanan Gaza (BoP) yang disokong Amerika Syarikat dilaporkan merancang memberikan imuniti undang-undang menyeluruh kepada semua pegawai, tentera dan kontraktornya yang beroperasi di Gaza, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar undang-undang antarabangsa mengenai isu akauntabiliti dan kemungkinan pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Menurut laporan akhbar Britain, The Guardian, draf resolusi empat muka surat yang bocor menunjukkan BoP mahu melindungi semua anggotanya daripada “penahanan, tangkapan atau prosiding undang-undang di mahkamah atau mana-mana entiti lain di Gaza”.

Laporan itu menyatakan perlindungan berkenaan bukan sahaja membabitkan anggota BoP, malah meliputi pejabat pentadbiran berkaitannya iaitu Pejabat Wakil Tinggi (OHR), teknokrat Palestin, anggota Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) dan kontraktor asing yang bakal beroperasi di wilayah itu.

BoP ialah badan pentadbiran sementara yang diluluskan oleh Lembaga Keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengurus keselamatan, proses pelucutan senjata dan pembinaan semula Gaza sehingga 31 Disember 2027.

Pejabat Wakil Tinggi itu diketuai diplomat Bulgaria, Encik Nickolay Mladenov.

Draf resolusi yang diklasifikasikan sebagai “sensitif tetapi tidak sulit” itu turut menyatakan BoP boleh menggunakan premis dan kemudahan awam di Gaza secara percuma bagi melaksanakan misinya.

“Lembaga itu hendaklah diberikan, tanpa bayaran, premis dan kemudahan awam yang diperlukan untuk melaksanakan misi di Gaza,” menurut kandungan draf tersebut.

Peguam dan pakar undang-undang antarabangsa yang meneliti dokumen itu memberi amaran bahawa peruntukan berkenaan boleh membuka ruang kepada rampasan tanah dan aset Palestin secara tidak sah, sama seperti tindakan Israel di Tebing Barat yang diduduki.

Profesor undang-undang antarabangsa di Universiti Rutgers, Cik Noura Erakat, berkata draf itu seolah-olah mewujudkan satu sistem undang-undang tersendiri tanpa pengawasan luar.

“Mereka pada asasnya mengatakan tiada pengawasan luar termasuk undang-undang antarabangsa berkaitan pendudukan,” katanya.

“Ia mewujudkan satu sistem undang-undang tersendiri,” tambah beliau.

Enam peguam yang pakar dalam undang-undang kontrak Amerika dan konflik bersenjata antarabangsa turut mempersoalkan bagaimana anggota BoP boleh dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku insiden membabitkan penduduk Gaza.

“Mereka tidak menjelaskan bagaimana pegawai BoP, tentera atau kontraktor akan dipertanggungjawabkan jika berlaku tembakan, kemalangan atau pertikaian tanah dan perniagaan yang menjejaskan penduduk Gaza,” menurut kumpulan peguam itu.

Pakar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Cik Emily Schaeffer Omer-Man, pula berkata kandungan draf berkenaan dilihat sebagai cubaan mengecualikan BoP daripada sebarang tindakan undang-undang.

“Ia kelihatan seperti usaha untuk mengecualikan lembaga itu dan semua kakitangannya daripada akauntabiliti terhadap kemungkinan pelanggaran undang-undang,” katanya.

Draf itu turut menyebut bahawa Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, selaku pengerusi BoP, mempunyai kuasa untuk menarik balik imuniti mana-mana anggota lembaga itu dengan sokongan majoriti ahli.

Bagaimanapun, seorang pegawai BoP menafikan dakwaan bahawa badan itu mahu menikmati imuniti mutlak atau beroperasi tanpa pengawasan undang-undang.

“Sebarang dakwaan bahawa proses ini direka untuk mewujudkan keadaan tanpa undang-undang atau tanpa hukuman adalah salah dan mengelirukan,” katanya kepada The Guardian.

Pegawai itu juga menafikan Encik Trump mempunyai kuasa mutlak untuk menarik balik imuniti anggota BoP.

“BoP akan memastikan semua kakitangan, kontraktor dan entiti yang terlibat mematuhi undang-undang berkaitan serta beroperasi di bawah peraturan dan mekanisme akauntabiliti yang jelas,” katanya.

BoP ketika ini diterajui tujuh anggota lembaga eksekutif termasuk menantu Trump, Encik Jared Kushner; utusan khas Amerika, Encik J Steve Witkoff; Ketua Turus Rumah Putih, Cik Susie Wiles; dan Penasihat Keselamatan Negara Amerika, Encik Marco Rubio.

Encik J Kushner dan Encik J Witkoff, yang kedua-duanya pelabur hartanah terkenal di New York, dikatakan berpotensi mendapat manfaat kewangan daripada projek pembinaan semula Gaza pada masa depan.

Pada Februari 2025, Encik Trump mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan Amerika “mengambil alih” Gaza, memindahkan hampir dua juta penduduk Palestin dan membangunkan semula wilayah itu sebagai “Riviera Asia Barat”.

Cadangan itu menerima kecaman meluas daripada dunia Arab dan pertubuhan hak asasi manusia yang menyifatkannya sebagai cubaan pengusiran paksa rakyat Palestin.

Walaupun beberapa negara sudah berjanji menyalurkan berbilion dolar kepada BoP, kebanyakan dana itu masih belum dipindahkan secara rasmi.

Setakat ini juga, tiada kontrak pembinaan semula dikeluarkan dan pasukan ISF masih belum ditubuhkan sepenuhnya.

Pakar undang-undang turut mempersoalkan kedudukan sah BoP kerana tiada perjanjian rasmi mengenai status pasukan antarabangsa dengan Israel.

Pengarah Dasar Bersekutu Pusat Hak Perlembagaan, Encik Brad Parker, berkata bahasa yang digunakan dalam draf itu terlalu kabur dan boleh menimbulkan masalah besar dari sudut undang-undang.

“Masalah utama ialah masih tiada perjanjian status pasukan dengan Israel, selain persoalan tentang kuasa sebenar BoP di Gaza,” katanya.

Laporan The Guardian itu sekali lagi meningkatkan kontroversi terhadap peranan BoP di Gaza ketika perang dan kemusnahan di wilayah Palestin itu terus mencetuskan tekanan antarabangsa terhadap Amerika dan Israel. - Agensi berita