AHMADEBAD: Api terlalu panas akibat nahas pesawat Air India telah menyukarkan kerja pengecaman penumpang yang terkorban, kata pegawai perubatan di India pada 15 Jun, ketika saudara-mara lebih 200 mangsa menunggu di luar bilik mayat untuk hari ketiga.
Boeing 787-8 Dreamliner itu membawa 125,000 liter bahan api apabila ia terhempas pada 12 Jun, muatan penuh untuk penerbangan hampir 10 jam dari Ahmedabad, India, ke Lapangan Terbang Gatwick di London.
Pegawai kesihatan kanan di Ahmedabad memberitahu delegasi yang melawat pada 14 Jun bahawa penemuan awal menunjukkan bahawa suhu di lokasi nahas telah mencapai 1,500 darjah Celsius, menurut dua orang yang menghadiri taklimat itu.
Suhu sedemikian adalah lebih daripada cukup untuk membakar mayat.
Encik H.P. Sanghvi, pengarah makmal forensik yang menjalankan ujian sampel DNA, memberitahu media berita India bahawa kerosakan pada mayat menyukarkan pengumpulan dan ujian.
“Suhu tinggi ini menjejaskan DNA yang terdapat dalam pelbagai bahagian badan. Proses ini sangat kompleks, kata Encik Sanghvi.
Menjelang petang 15 Jun, hanya 35 mayat daripada 270 mangsa dalam pesawat dan di darat, telah diserahkan kepada saudara-mara.
Lapan daripada mayat, kebanyakannya orang yang terbunuh di kampus sekolah perubatan – tempat pesawat itu terhempas, telah dikeluarkan dan dikenal pasti.
Yang lain diberikan kepada saudara mara bermula petang 14 Jun, apabila keputusan DNA telah diterima.
Antara mangsa yang dikenal pasti melalui ujian DNA ialah Encik Vijay Rupani, yang berkhidmat sebagai pegawai tertinggi Gujarat sehingga 2021, menurut Encik Harsh Sanghavi, menteri dalam negeri Gujarat.
Encik Rajnish Patel, seorang pegawai di Hospital Awam Ahmedabad, berkata ratusan sampel DNA yang dikumpul daripada saudara-mara perlu dibandingkan satu demi satu dengan setiap jenazah di rumah mayat hospital tersebut.
“Saiznya sangat besar,” katanya dalam satu temu bual.
Memandangkan keadaan mayat yang telah rentung, penyerahan jenazah kepada anggota keluarga pada 15 Jun dilakukan dengan kawalan keselamatan yang ketat.
Beberapa anggota keluarga berkata bahawa pegawai telah memberitahu mereka bahawa mereka perlu meneruskan pembakaran dan pengebumian dengan cepat.
Hanya seorang penumpang daripada 242 penumpang Air India itu terselamat.
Saudara-mara 241 yang lain telah dimaklumkan secara rasmi bahawa orang tersayang mereka telah meninggal dunia.
Namun para anggota keluarga masih berkeliaran di dewan mayat kerana mereka tidak pasti bila mereka akan menerima saki baki jenazah mangsa. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg