GENEVA: Beratus-ratus kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia (OHCHR), Encik Volker Turk, telah meminta beliau secara jelas menggambarkan perang Gaza sebagai pembunuhan beramai-ramai atau genosid.
Demikian menurut surat yang dilihat agensi berita, Reuters.
Surat yang dihantar pada 27 Ogos itu menyatakan, kakitangan tersebut menganggap bahawa kriteria undang-undang bagi pembunuhan beramai-ramai dalam perang Israel-Hamas selama hampir dua tahun di Gaza telah dipenuhi, memetik skala, skop dan sifat pelanggaran yang didokumenkan di wilayah itu.
“OHCHR mempunyai tanggungjawab undang-undang dan moral yang kuat untuk mengecam tindakan pembunuhan beramai-ramai,” kata surat yang ditandatangani jawatankuasa kakitangan bagi pihak lebih 500 pekerja.
“Kegagalan mengecam pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku menjejas kewibawaan PBB dan sistem hak asasi manusia itu sendiri,” tambahnya.
Surat itu memetik kegagalan moral badan antarabangsa itu kerana tidak berbuat lebih banyak untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai seperti di Rwanda dalam 1994 yang telah membunuh lebih sejuta orang.
Israel sebelum ini telah menepis tuduhan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, memetik haknya untuk mempertahankan diri berikutan serangan maut Hamas pada 7 Oktober 2023, yang membunuh 1,200 orang dan menahan 251 tebusan.
Peperangan yang meletus di Gaza telah membunuh hampir 63,000 rakyat Palestin, berdasarkan Kementerian Kesihatan Gaza, manakala pemantau kelaparan sejagat menyatakan bahawa Gaza kini dilanda masalah kebuluran.
Beberapa kumpulan hak asasi manusia seperti, Amnesty International, telah menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai dan pakar bebas PBB, Cik Francesca Albanese, juga telah menggunakan istilah itu, tetapi bukan PBB sendiri.
Pegawai PBB pada masa lalu berkata terpulang kepada mahkamah antarabangsa untuk menentukan kes pembunuhan beramai-ramai oleh Israel di Gaza itu.
Pada 2023, Afrika Selatan telah membawa kes tersebut ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tetapi ia masih belum dibicarakan berdasarkan meritnya – satu proses yang boleh mengambil masa bertahun-tahun.
“Keadaan di Gaza telah menggegarkan kita semua,” kata jurucakap OHCHR, Cik Ravina Shamdasani, memetik kesukaran yang dihadapi pejabat itu ketika ia cuba mendokumentasikan fakta dan mengeluarkan amaran.
“Perbincangan akan terus diadakan di peringkat dalaman mengenai cara untuk bergerak ke depan,” katanya merujuk kepada surat berkenaan.
Sementara itu, lebih banyak bantuan makanan dilaporkan sampai ke Gaza, tetapi ia masih jauh daripada mencukupi untuk mengatasi masalah kebuluran meluas, kata Ketua Program Makanan Sedunia (WFP) pada 28 Ogos.
“Kami mendapat lebih banyak bantuan makanan tetapi ia tidak cukup untuk kami memastikan penduduk Palestin tidak kekurangan zat makanan dan tidak kelaparan,” kata Pengarah Eksekutif WFP, Cik Cindy McCain, dalam temu bual melalui pautan video dari Baitulmakdis.
Cik McCain berkata WFP kini mampu menghantar kira-kira 100 trak bantuan setiap hari ke Gaza, tetapi angka itu masih jauh lebih rendah daripada 600 trak yang masuk setiap hari semasa gencatan senjata.
Laporan yang dikeluarkan pada 22 Ogos oleh pemantau kelaparan sejagat, Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC), menyatakan sekitar 514,000 orang – hampir satu perempat penduduk Gaza – kini menghadapi kebuluran di Bandar Gaza dan kawasan sekitarnya.
Israel telah berulang kali menyifatkan hasil penemuan IPC itu sebagai palsu dan lebih memihak kepada kumpulan Hamas.
Cik McCain, yang melawat Deir al-Balah dan Khan Younis di Gaza baru-baru ini, termasuk klinik yang menyokong kanak-kanak, wanita hamil dan ibu yang menyusu, menekankan kesukaran berterusan dalam menyalurkan bantuan kepada penduduk yang berada jauh di dalam wilayah Gaza. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg