Topik diikuti
Pergi ke BHkuLaporan: Pengeboman Israel cemari Gaza menjadi ‘wilayah beracun’ untuk berdekad-dekad
Laporan Oxfam dedah pencemaran udara, tanah dan air akibat serangan Israel mengancam kelangsungan hidup rakyat Palestin, dengan kanak-kanak dan wanita hamil berdepan risiko tertinggi
Laporan: Pengeboman Israel cemari Gaza menjadi ‘wilayah beracun’ untuk berdekad-dekad
GAZA: Kemusnahan besar-besaran akibat serangan tentera Israel di Gaza bukan sahaja mengorbankan nyawa dan memusnahkan infrastruktur, malah meninggalkan kesan pencemaran alam sekitar yang mengancam kesihatan dan kelangsungan hidup rakyat Palestin untuk beberapa generasi akan datang.
Laporan bersama pertubuhan kemanusiaan antarabangsa, Oxfam, dan Balai Cerap Konflik dan Alam Sekitar (CEOBS) yang diterbitkan pada 23 November mendapati hampir seluruh wilayah Gaza berpotensi mengalami pencemaran bahan toksik.
Kajian itu mendapati sekitar 78 peratus kawasan daratan Gaza terjejas akibat pengeboman Israel, manakala lebih 99 peratus wilayah tersebut berpotensi mengalami pencemaran.
Penggunaan bahan letupan dan senjata pembakar secara meluas, serangan udara serta kebakaran menyebabkan udara, tanah dan sumber air di Gaza tercemar sehingga membahayakan kesihatan penduduk untuk tempoh berdekad-dekad.
Bahan pencemar termasuk logam berat, sisa bahan letupan, asbestos daripada bangunan yang musnah serta air kumbahan yang tidak dirawat.
Pengarah Eksekutif Oxfam International, Encik Amitabh Behar, menyifatkan kemusnahan alam sekitar Gaza sebagai jenayah perang yang mengancam kehidupan generasi sekarang dan akan datang.
Menurutnya, kemusnahan dan pencemaran itu telah menjejaskan keadaan alam sekitar yang diperlukan bagi menjamin keselamatan dan kelangsungan hidup manusia, selain melanggar tanggungjawab Israel di bawah undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa.
“Penduduk Palestin di Gaza terdedah kepada bahan toksik menerusi udara, makanan, air serta sentuhan langsung dengan tanah dan runtuhan bangunan yang tercemar.
“Risiko ini akan berterusan selama beberapa generasi melainkan usaha pembersihan dan pemulihan alam sekitar diberi keutamaan,” katanya.
Kajian tersebut menggunakan imej satelit, teknologi penderiaan jauh, analisis saintifik dan pelbagai sumber maklumat terbuka bagi menilai tahap pencemaran di Gaza.
Bagaimanapun, sekatan terhadap kemasukan peralatan ujian dan pakar teknikal ke wilayah itu terus menghalang penilaian menyeluruh mengenai tahap sebenar pencemaran.
Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) sebelum ini menganggarkan operasi ketenteraan Israel menghasilkan lebih 61 juta tan sisa runtuhan, bersamaan kira-kira berat 15 Piramid Agung Giza di Mesir.
Runtuhan rumah, kawasan kejiranan dan infrastruktur yang musnah itu berpotensi mengandungi pelbagai bahan berbahaya.
Penduduk Gaza kini berdepan risiko masalah pernafasan akibat pendedahan kepada habuk dan bahan pencemar daripada runtuhan bangunan.
Kemusnahan sistem bekalan air dan sanitasi turut meningkatkan risiko penduduk menggunakan air tercemar serta dijangkiti penyakit.
Encik Behar berkata keadaan Gaza yang kecil dan padat dengan penduduk menyebabkan pendedahan berterusan kepada bahan berbahaya sukar dielakkan.
Penduduk bukan sahaja tidak dapat melarikan diri, malah tidak mempunyai perlindungan mencukupi daripada pencemaran di sekeliling mereka.
“Air kumbahan yang tidak dirawat mengalir ke laut dan meresap ke dalam tanah, manakala kemusnahan sistem sanitasi Gaza menyebabkan penduduk hampir tidak mempunyai perlindungan daripada pencemaran di sekeliling mereka,” katanya.
Beliau menambah bahawa kanak-kanak dan wanita hamil merupakan antara golongan yang paling berisiko mengalami kesan buruk terhadap kesihatan.
Penulis laporan itu, Cik Lama Abdul Samad, pakar air dan sanitasi global Oxfam, berkata usaha menangani kerosakan alam sekitar Gaza amat mencabar kerana pencemaran tersebar di kawasan perumahan, tanah pertanian, sistem bekalan air dan tanah.
Kewujudan bahan letupan yang belum meletup turut menyukarkan akses selamat ke kebanyakan kawasan terjejas.
Beliau menggesa Israel membenarkan penilaian alam sekitar secara terperinci dijalankan di Gaza bagi mengenal pasti risiko kesihatan awam serta langkah segera untuk mengurangkan bahaya kepada penduduk.
Usaha pemulihan dijangka memerlukan kerja pembersihan besar-besaran, pemantauan berterusan dan kaedah khusus bagi menyingkirkan bahan pencemar.
Namun, Israel masih menyekat kemasukan jentera berat yang diperlukan untuk membersihkan runtuhan bangunan, dengan alasan peralatan tersebut boleh digunakan Hamas bagi tujuan ketenteraan.
Pihak tentera Israel yang menyelaras kemasukan bantuan ke Gaza turut menyatakan bahawa usaha pembinaan semula hanya akan bermula selepas Hamas menyerahkan semua senjatanya.
Pada Disember 2025, Israel melarang puluhan pertubuhan bantuan kemanusiaan, termasuk Oxfam, daripada beroperasi di Gaza atas dakwaan gagal mematuhi syarat pendaftaran baharu.
Sementara itu, Lembaga Keamanan yang ditubuhkan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, bagi menyelia pelaksanaan gencatan senjata dan pembinaan semula Gaza, berdepan kritikan kerana gagal mencapai kemajuan ketara.
Kementerian Ehwal Luar Israel menolak laporan Oxfam itu, menyifatkannya sebagai memalukan dan mendakwa pertubuhan tersebut mengorbankan kewibawaannya demi kempen politik.
Israel mendakwa kemusnahan di Gaza mencerminkan keluasan rangkaian terowong dan tempat penyimpanan senjata Hamas yang dibina di dalam dan di bawah kawasan awam.
Kedutaan Israel di Britain turut mempertikaikan kaedah kajian Oxfam, termasuk kebergantungannya pada imej satelit dan apa yang disifatkannya sebagai andaian yang belum disahkan.
Bagaimanapun, Oxfam menegaskan bahawa pemulihan alam sekitar perlu dilaksanakan seiring dengan usaha pembinaan semula Gaza dan tidak boleh dianggap sebagai perkara sampingan.
“Membina semula Gaza tanpa memahami dan menangani tahap pencemaran alam sekitar secara serentak berisiko mengakibatkan kesan buruk terhadap kesihatan awam untuk beberapa generasi akan datang,” kata Encik Behar. – Agensi berita