GAZA: Sekurang-kurangnya 235,000 penduduk Gaza terjejas akibat krisis kemanusiaan yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai “buatan manusia”, walaupun ia dicetuskan oleh cuaca tekanan rendah yang melanda wilayah Palestin itu pada bulan Disember ini.
Pesuruhjaya Agung Agensi Bantuan dan Kerja Raya PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Encik Philippe Lazzarini, berkata Ribut Byron yang melanda Gaza mendedahkan realiti sebenar penderitaan rakyat di wilayah itu selepas lebih dua tahun peperangan dan pemindahan paksa.
“Bulan-bulan peperangan dan pemindahan telah memaksa penduduk Gaza hidup di tengah runtuhan bangunan, di tempat perlindungan sementara yang rapuh atau khemah yang sangat uzur,” kata Encik Lazzarini dalam satu kenyataan pada 29 Disember. “Walaupun Ribut Byron yang melanda Gaza pada 10 Disember merupakan bencana semula jadi, kesannya adalah buatan manusia,” tegas beliau.
Menurut data Kluster Perlindungan Gaza, hujan lebat dan angin kencang antara 10 hingga 17 Disember menyebabkan 17 bangunan runtuh, manakala lebih 42,000 khemah dan tempat perlindungan sementara rosak sebahagian atau musnah sepenuhnya. Sekurang-kurangnya 235,000 orang terjejas secara langsung.
Keadaan bertambah buruk sejak hujung minggu lalu apabila satu lagi gelombang tekanan rendah melanda Gaza, mengorbankan dua nyawa dan menyebabkan puluhan ribu khemah diterbangkan angin, menurut Pertahanan Awam Palestin.
Keadaan cuaca ekstrem kini menjadi ancaman besar kepada ratusan ribu pelarian Palestin yang berlindung di dalam khemah rosak atau bangunan yang berada dalam keadaan berisiko tinggi, kebanyakannya telah rosak teruk akibat serangan udara Israel sejak Oktober 2023.
Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober, Israel masih menutup sempadan Gaza dan menghalang kemasukan rumah mudah alih serta bahan pembinaan, sekali gus memburukkan penderitaan hampir 2.4 juta penduduk di wilayah itu.
Datuk Bandar Gaza, Encik Yahya Al-Sarraj berkata ribuan keluarga kini terpaksa hidup tanpa perlindungan, selepas khemah mereka ditenggelami air hujan. “Kami berdepan suhu yang semakin sejuk, hujan berterusan dan angin kencang. Keadaan ini boleh bertukar menjadi ribut penuh pada bila-bila masa,” katanya.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Bassal, memberi amaran bahawa situasi semakin kritikal.
“Jam-jam akan datang amat berbahaya. Kami mungkin menyaksikan bencana berulang apabila khemah pelarian ditenggelami air dan dimusnahkan angin,” katanya. “Kami berdepan situasi yang amat genting dan tindakan global segera diperlukan untuk menyelamatkan Gaza daripada banjir,” tambah beliau.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan khemah diterbangkan angin, barangan berselerak, pelarian merayu bantuan dan kanak-kanak menggigil kesejukan. Pada malam 27 Disember di Bandar Gaza, seorang kanak-kanak Palestin terjatuh ke dalam perigi yang dipenuhi air. Pasukan penyelamat berusaha selama beberapa jam, namun hanya berjaya menemui mangsa dalam keadaan meninggal dunia.
Ketua operasi lapangan Pertahanan Awam di kawasan Pelabuhan Gaza, Encik Ibrahim Abu al-Reesh, berkata pasukannya menerima banyak panggilan kecemasan. “Kami berusaha menutup khemah yang rosak dengan plastik selepas ia dimasuki air hujan,” katanya.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 16 orang maut akibat hipotermia dan bangunan runtuh, termasuk empat kanak-kanak. Banyak struktur yang runtuh sebelum ini telah rosak akibat serangan udara dan tidak mampu menahan hujan lebat serta angin kencang.
Pertahanan Awam Gaza turut memaklumkan bahawa lebih 27,000 khemah musnah atau dihanyutkan banjir, menjejaskan lebih 250,000 orang di seluruh Gaza. Lebih 80 peratus struktur di Gaza telah musnah atau rosak akibat perang dua tahun itu, memaksa ratusan ribu keluarga berlindung di khemah uzur atau pusat perlindungan sementara yang sesak.
Keadaan kemanusiaan terus merosot apabila musim sejuk semakin memuncak, sementara sekatan Israel menghadkan akses kepada bahan perlindungan, bahan api dan rawatan perubatan. Pertubuhan kemanusiaan antarabangsa menggesa Israel membenarkan kemasukan bantuan tanpa halangan ke Gaza.
Namun UNRWA berkata pemerintah pendudukan Israel masih menghalang agensi itu daripada membawa bantuan secara langsung. “Penduduk dilaporkan maut akibat runtuhan bangunan rosak dan kanak-kanak mati akibat kesejukan,” menurut UNRWA. “Ini mesti dihentikan. Bantuan mesti dibenarkan masuk pada skala besar, sekarang.”
Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Encik Farhan Haq, berkata PBB telah lama memberi amaran bahawa “kanak-kanak akan mati akibat hipotermia” di Gaza. “Kita perlu memastikan pakaian panas, khemah dan tempat perlindungan dapat dibawa masuk ke Gaza,” katanya. “Kita memerlukan lebih banyak bantuan segera untuk melindungi golongan paling muda dan paling terdedah.”
Menurut agensi berita WAFA, sejak bermulanya perang Israel di Gaza pada Oktober 2023, 71,266 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala 171,222 lagi cedera.
Sejak gencatan senjata pada 11 Oktober 2025, 414 korban dan 1,145 cedera direkodkan, dengan 680 mayat ditemui. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg