SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Laporan polis dibuat terhadap Jusuf Kalla yang didakwa hina agama

Laporan polis dibuat terhadap Jusuf Kalla yang didakwa hina agama

Ucapan disampaikan semasa syarahan Ramadan tidak selaras dengan ajaran Kristian, Katolik
Apr 15, 2026 | 1:32 PM

Laporan polis dibuat terhadap Jusuf Kalla yang didakwa hina agama

Jusuf Kalla, laporan polis, Jusuf Kalla, penghinaan agama Indonesia, Gamki, konflik Poso Ambon, berita Indonesia terkini, berita Jakarta, syarahan
Mantan Naib Presiden Indonesia, Encik Jusuf Kalla, ketika menyampaikan syarahan sempena Ramadan pada 5 Mac lalu di Universiti Gadjah Mada (UGM), Yogyakarta, di masjid kampus berkenaan. Kenyataannya mencetuskan kontroversi dan membawa kepada laporan polis atas dakwaan menghina agama. - Foto INSTAGRAM TRIBUNTIMUR

JAKARTA: Satu laporan polis telah dibuat terhadap mantan Naib Presiden Indonesia, Encik Jusuf Kalla, berhubung dakwaan menghina agama susulan video ucapannya yang tular di media sosial.

Laporan itu dibuat pada 12 April oleh Pergerakan Pemuda Kristian Indonesia (Gamki) bersama beberapa organisasi lain, yang mendakwa sebahagian kenyataan Encik Kalla tidak selaras dengan ajaran Kristian dan Katolik.

Ucapan tersebut disampaikan pada 5 Mac lalu di Universiti Gadjah Mada (UGM), Yogyakarta, semasa siri syarahan Ramadan di masjid kampus berkenaan.

Isu timbul susulan kenyataan Encik Kalla yang merujuk konflik komuniti di Poso dan Ambon.

“Mengapa agama mudah menjadi punca konflik seperti di Poso dan Ambon? Kerana kedua-dua pihak, Islam dan Kristian, percaya bahawa membunuh atau terbunuh boleh dianggap sebagai syahid,” katanya dalam petikan video yang tular.

Beliau turut menambah bahawa kepercayaan tersebut menjadikan konflik sukar dihentikan kerana kedua-dua pihak melihat tindakan mereka sebagai sesuatu yang dibenarkan.

Pengerusi Gamki, Encik Sahat Martin mengecam kenyataan itu dan menyifatkannya sebagai menyakitkan hati masyarakat Kristian.

“Kami mengutuk kenyataan Pak Jusuf Kalla yang telah melukai perasaan masyarakat Kristian dan mencetuskan kegelisahan awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pemuda Katolik, Encik Stefanus Asat Gusma berkata kenyataan tersebut tidak mencerminkan ajaran sebenar Kristian dan Katolik.

“Perbincangan mengenai agama mesti berasaskan kefahaman yang tepat. Tafsiran yang salah atau terlalu ringkas boleh menjejaskan kepercayaan dan keharmonian masyarakat,” katanya.

Jurucakap Encik Kalla, Encik Husain Abdullah, mempertahankan kenyataan tersebut dan meminta orang ramai meneliti keseluruhan syarahan, bukan hanya klip pendek yang tular.

Menurutnya, video yang tular itu disunting secara terpilih sehingga menimbulkan salah tafsir.

“Beliau hanya menggambarkan realiti sosiologi ketika konflik di Poso dan Ambon, di mana kedua-dua pihak menggunakan naratif ‘perang suci’,” katanya.

Encik Husain menegaskan bahawa Encik Kalla tidak menyokong tafsiran tersebut, sebaliknya cuba membetulkan salah faham yang pernah mencetuskan keganasan.

“Tujuan ucapan itu adalah untuk menjelaskan bahawa tafsiran tersebut salah dan bertentangan dengan ajaran agama serta nilai moral,” katanya.

Walaupun tidak lagi memegang jawatan rasmi, Encik Kalla kekal menjadi tokoh rujukan dalam perbincangan dasar dan isu nasional.

Sejak kebelakangan ini, beliau semakin lantang mengkritik beberapa dasar pemerintah di bawah Presiden Prabowo Subianto, termasuk penyertaan Indonesia dalam Lembaga Keamanan yang diketuai Presiden Amerika Syarikat Donald Trump serta pelaksanaan dasar bekerja dari rumah sekali seminggu sebagai langkah penjimatan tenaga. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg