Laporan risikan Korea S: Kim Jong Un perkukuh kedudukan anak perempuan sebagai pewaris
Laporan risikan Korea S: Kim Jong Un perkukuh kedudukan anak perempuan sebagai pewaris
SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un, dipercayai sedang mengukuhkan kedudukan anak perempuannya sebagai pewaris rasmi menjelang persidangan penting Parti Pekerja Korea bulan ini, menurut pendedahan agensi perisikan Korea Selatan kepada Parlimen pada Rabu, 11 Februari.
Menurut Ahli Parlimen Encik Lee Seong-kweun, yang menghadiri taklimat tertutup bersama Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan Korea Selatan (NIS), anak perempuan Kim yang dikenali sebagai Kim Ju Ae kini berada pada tahap “dilantik secara dalaman sebagai pengganti”.
“Pada masa lalu, NIS menyifatkan beliau sebagai ‘dalam proses pembelajaran sebagai pengganti’. Namun hari ini, istilah yang digunakan ialah beliau ‘berada pada tahap pelantikan dalaman sebagai pewaris’,” kata Encik Lee kepada pemberita.
Dinasti Kim telah memerintah Korea Utara selama lebih tujuh dekad, dengan pemujaan terhadap personaliti kepimpinan keluarga itu yang menyanjung keturunan “Paektu” sebagai sumber legitimasi politik utama negara tersebut. Dalam sistem yang sangat tertutup dan berhierarki itu, penggantian kuasa bukan sekadar urusan keluarga, tetapi simbol kesinambungan ideologi negara.
Sejak kemunculan pertamanya kepada umum pada 2022 ketika mengiringi bapanya menyaksikan pelancaran peluru berpandu balistik antara benua, Ju Ae semakin kerap muncul dalam liputan media rasmi. Beliau digambarkan berdiri di sisi Encik Kim Jong Un dalam lawatan ketenteraan, pemeriksaan projek senjata dan acara kenegaraan.
Baru-baru ini, media negara Korea Utara menyiarkan gambar Ju Ae bersama bapanya memberi penghormatan di Istana Kumsusan Matahari, lokasi persemadian pengasas negara Encik Kim Il Sung dan pemimpin generasi kedua Encik Kim Jong Il. Kehadiran beliau di lokasi yang sarat simbolisme politik itu dilihat penganalisis sebagai isyarat jelas pengukuhan statusnya.
Menurut Encik Lee dan seorang lagi ahli Parlimen, Encik Park Sun-won, NIS percaya peranan Ju Ae dalam acara rasmi menunjukkan beliau bukan sekadar figura simbolik, tetapi sudah mula memberi input terhadap dasar tertentu.
“Peranan yang dimainkan beliau dalam acara awam menunjukkan beliau sedang dilatih untuk tanggungjawab lebih besar, malah dilihat sebagai pemimpin kedua de facto dalam struktur kuasa,” kata Encik Park, memetik analisis agensi perisikan.
Korea Utara dijangka mengadakan persidangan kesembilan Parti Pekerja pada hujung Februari, acara politik terbesar negara itu yang lazimnya menetapkan hala tuju dasar ekonomi, pertahanan dan hubungan luar bagi tempoh lima tahun akan datang. Pemerhati akan meneliti sama ada Ju Ae menghadiri persidangan tersebut dan apakah protokol rasmi yang diberikan kepadanya, termasuk kemungkinan beliau diberikan jawatan formal.
Sebahagian penganalisis berpendapat Ju Ae berpotensi dilantik sebagai Setiausaha Pertama Jawatankuasa Pusat, jawatan kedua paling berpengaruh dalam parti pemerintah.
Media rasmi Korea Utara sebelum ini merujuk Ju Ae sebagai “anak yang dikasihi” dan “hyangdo” atau “tokoh pembimbing agung”, istilah yang secara tradisi hanya digunakan untuk pemimpin tertinggi atau bakal pengganti mereka.
Sebelum 2022, kewujudan Ju Ae hanya diketahui umum melalui bekas pemain NBA Amerika Syarikat, Dennis Rodman, yang melawat Pyongyang pada 2013 dan mendakwa pernah bertemu keluarga Kim.
Perkembangan terbaharu ini berlaku ketika Kim Jong Un dilaporkan sedang menyelia pembangunan sebuah kapal selam besar berkeupayaan membawa sehingga 10 peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari kapal selam.
Menurut Encik Lee dan Encik Park, kapal selam seberat kira-kira 8,700 tan itu berkemungkinan direka untuk menggunakan kuasa reaktor nuklear, namun masih belum jelas sama ada ia benar-benar akan beroperasi seperti dirancang.
Langkah memperlihatkan Ju Ae dalam konteks pembangunan ketenteraan dilihat sebagai usaha mengaitkan legitimasi generasi seterusnya dengan agenda pertahanan dan nuklear negara.
Bagi Seoul, pengukuhan kedudukan Ju Ae memberi gambaran bahawa Pyongyang sedang merancang peralihan kuasa jangka panjang, walaupun Kim Jong Un masih berusia awal 40-an. Ia juga menunjukkan bahawa struktur pewarisan kuasa kekal berasaskan dinasti keluarga, tanpa tanda perubahan sistemik.
“Ini bukan sekadar isu keluarga, tetapi berkait rapat dengan kestabilan rejim,” kata seorang pegawai keselamatan Korea Selatan yang enggan dinamakan. “Sebarang isyarat mengenai penggantian kuasa akan diperhatikan dengan sangat teliti.” - Agensi berita

