PYONGYANG: Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un berkata bahawa beliau terbuka untuk berbincang dengan Amerika Syarikat jika Washington berhenti mendesak negaranya menyerahkan senjata nuklearnya.
“Jika Amerika melepaskan obsesi yang tidak masuk akal dengan menyahnuklear kita dan menerima realiti, dan mahukan kewujudan bersama secara aman, tidak ada sebab untuk kita tidak duduk berbincang,” kata Encik Kim dalam ucapan di Perhimpunan Rakyat Tertinggi di Pyongyang pada 21 September, menurut Agensi Rasmi Berita Pusat Korea (KCNA).
Beliau juga mengulas mengenai pertemuan tiga kalinya semasa penggal pertama Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dengan berkata: “Secara peribadi, saya masih mempunyai kenangan indah tentang Presiden Trump.”
Komen Encik Kim dibuat selepas Encik Trump dan pemimpin Korea Selatan Lee Jae-myung menyatakan kesediaan mereka untuk bertemu dengan rakan sejawatan mereka dari Korea Utara pada mesyuarat di Rumah Putih pada Ogos lalu.
“Suatu hari nanti, saya akan berjumpa dengannya. Saya tidak sabar untuk berjumpa dengannya. Dia sangat baik dengan saya,” kata Encik Trump pada masa itu, sambil menambah bahawa beliau mengenali Encik Kim, yang keluarganya telah memerintah Utara Korea selama tiga generasi dan beliau “lebih baik daripada sesiapa, selain daripada kakaknya”.
Encik Lee, yang lantang menyokong usaha menjalin hubungan dengan jiran utara negaranya sejak memegang jawatan pada Jun, berkata pada mesyuarat yang sama bahawa beliau berharap presiden Amerika akan “membina Menara Trump” di Korea Utara “supaya saya boleh bermain golf di sana”.
Di sebalik kesepakatan Encik Lee dan Encik Trump itu, Korea Utara telah mengkritik latihan ketenteraan bersama antara Amerika dengan Korea Selatan, dengan kakak Encik Kim Jong Un, Cik Kim Yo Jong, menyifatkan latihan tersebut sebagai pencerobohan “sembrono”.
Dalam wawancara baru-baru ini dengan BBC dan agensi berita Reuters,Encik Lee juga menyatakan keterbukaan untuk merundingkan pendirian negaranya mengenai senjata nuklear Korea Utara.
Bercakap kepada BBC pada 21 September, Encik Lee berkata beliau akan terbuka kepada matlamat yang lebih “realistik” iaitu Korea Utara bersetuju untuk berhenti memperoleh lebih banyak senjata nuklear, dan bukannya meneruskan “cubaan sia-sia” untuk memintanya menghentikan senjata sedia ada.
“Selagi kita tidak berputus asa pada matlamat jangka panjang penyahnuklear, saya percaya ada faedah yang jelas untuk meminta Korea Utara menghentikan pembangunan nuklear dan peluru berpandunya,” kata Lee. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg