Topik diikuti
Pergi ke BHkuLaporan sebut Dubes AS ke S’pura sebagai penyokong Trump yang raih manfaat
Laporan sebut Dubes AS ke S’pura sebagai penyokong Trump yang raih manfaat
PHILADELPHIA (Amerika Syarikat): Sebuah badan pemikir Amerika Syarikat telah menyenaraikan Duta Besar (Dubes) Amerika ke Singapura, Encik Anjani Sinha, sebagai individu yang didakwa mendapat manfaat daripada sumbangannya kepada operasi politik, projek kesayangan dan syarikat keluarga Presiden Donald Trump.
Encik Sinha telah memberi sumbangan sebanyak AS$1juta ($1.3 juta) kepada Jawatankuasa Tindakan Politik (PAC) yang sehaluan dengan Encik Trump, tetapi gagal didedahkannya semasa pendengaran pengesahan Senat pada 2025, menurut laporan oleh Center for American Progress (CAP), sebuah badan pemikir progresif.
Laporan itu memetik penemuan daripada Campaign Legal Center, sebuah organisasi undang-undang bukan partisan berpusat di Washington, yang menyatakan bahawa Encik Sinha “memberikan AS$1 juta kepada MAGA Inc pada Februari 2025 dan dicalonkan sebagai Dubes ke Singapura pada bulan berikutnya”.
Laporan itu selanjutnya menyatakan bahawa Encik Sinha “gagal mendedahkan sumbangannya itu kepada Jawatankuasa Hubungan Luar Senat di sebalik kewajipan undang-undang untuk berbuat demikian”.
Pemeriksaan oleh The Straits Times (ST) di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan menunjukkan bahawa sumbangan itu dibuat pada 20 Februari 2025.
Namun, semakan terhadap rekod Kongres yang diterbitkan berkaitan dengan pendengaran pengesahan Encik Sinha tidak menunjukkan sumbangan bernilai sejuta dolar itu, walaupun sumbangan lain yang beliau dan anggota keluarganya hulurkan terdapat dalam senarai berkenaan.
ST telah meminta Kedutaan Amerika di Singapura pada 10 November untuk mengesahkan ketepatan laporan tersebut. Kedutaan itu merujuknya kepada Jabatan Negara Amerika, yang tidak memberikan maklum balas untuk ulasan.
MAGA Inc adalah sebuah jawatankuasa tindakan politik yang diasaskan untuk menyokong Encik Trump dan calon-calon yang sehaluan dengan partinya.
Ia boleh mengumpul dan membelanjakan wang tanpa had secara bebas untuk menyokong atau menentang calon politik, menyiarkan iklan televisyen dan digital, serta membiayai usaha menggerakkan pengundi.
Encik Trump mengumumkan pencalonan Encik Sinha sebagai Dubes Amerika ke Singapura pada 11 Mac 2025.
Sesi pengesahannya pada 9 Julai 2025 menyaksikan sebilangan senator mengkritiknya kerana kurang pengetahuan mengenai hubungan Amerika-Singapura.
Sumbangan sebanyak AS$1 juta itu tidak dilaporkan kepada orang ramai sehingga MAGA Inc memfailkan laporan pertengahan tahunannya pada 31 Julai 2025, selepas pencalonan Encik Sinha sudah pun dilaporkan secara positif oleh Jawatankuasa Hubungan Luar Senat.
Encik Will Ragland, salah seorang pengarang bersama laporan itu, memberitahu ST bahawa tujuan laporan tersebut adalah untuk menyediakan pelan hala tuju bagi pengawasan Kongres terhadap potensi rasuah.