Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anjani Sinha duta besar Amerika ke S’pura 

Oct 8, 2025 | 3:09 PM
anjani sinha, amerika syarikat, duta, singapura
Dr Anjani Sinha, yang pernah berkhidmat di New York dan Florida, dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan keluarga Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump. - Foto TANGKAP LAYAR SENAT AMERIKA SYARIKAT

AUSTIN (Amerika Syarikat): Senat Amerika Syarikat mengesahkan Dr Anjani Sinha, seorang pakar bedah ortopedik dari Florida, sebagai duta besar Amerika Syarikat ke Singapura melalui undian secara tergesa-gesa pada 7 Oktober.

Dr Sinha adalah antara lebih 100 calon yang diluluskan dengan majoriti mudah selepas Parti Republikan mengubah peraturan Senat bagi mempercepat proses pengesahan calon-calon yang dilantik oleh Presiden, Encik Donald Trump, menamatkan usaha Demokrat untuk melambatkannya.

Beberapa calon lain yang penting untuk diplomasi Asia Encik Trump juga disahkan dalam undian 51-47 ini. 

Antara mereka termasuk calon untuk jawatan kanan di Jabatan Negara seperti, Encik Michael DeSombre sebagai Penolong Setiausaha Negara untuk Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik; serta Dr Paul Kapur sebagai rakan sejawat beliau yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Asia Selatan, lapor akhbar The Straits Times (ST).

Encik Sergio Gor disahkan sebagai duta besar ke India, sementara Encik Sean O’Neill pula dilantik sebagai duta besar ke Thailand.

Beberapa senator Demokrat membantah penyegeraan proses pengesahan itu, dengan menyebut beberapa calon sebagai “setia tanpa syarat” kepada Encik Trump dan “tidak layak” untuk jawatan tersebut dalam ucapan mereka menjelang undian.

Sebelum ini, majoriti besar sebanyak 60 undi diperlukan untuk memajukan pencalonan ke undian penuh. 

Parti Republikan, yang memegang 53 kerusi dalam Senat 100 anggota, menggunakan “pilihan nuklear” pada 11 September untuk mengubah peraturan, menjadikan majoriti kecil cukup untuk meluluskan calon.

Mereka turut meluluskan satu resolusi untuk memberi kuasa kepada pengesahan sekumpulan calon-calon Encik Trump dalam satu masa bagi mempercepatkan proses tersebut. 

Undian pada 7 Oktober itu menghasilkan pengesahan kumpulan calon terbesar setakat ini.

Dr Sinha, yang dilahirkan di India dan telah berkhidmat di New York dan Florida, dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan keluarga Encik Trump.

Beliau telah diumumkan sebagai pilihan Encik Trump pada 11 Mac.

“Latar belakang beliau dalam perubatan dan kepakaran perniagaan, terutama dalam sains hayat dan penjagaan kesihatan, menjadikannya layak menjadi Duta Besar Amerika ke Singapura,” kata Jabatan Negara Amerika dalam laporan pada 2 Mei.

Dalam keterangan beliau di hadapan Jawatankuasa Hubungan Luar Senat pada 9 Julai, Dr Sinha berkata beliau mempunyai “pemahaman yang mendalam dan rasa hormat” terhadap budaya, rakyat dan nilai-nilai di rantau Indo-Pasifik.

“Singapura adalah rakan strategik utama dan sahabat kita di Indo-Pasifik.

“Kerjasama rapat dengan Singapura, bersama dengan sekutu dan rakan-rakan kita di rantau ini, lebih penting daripada sebelumnya,” katanya.

Namun, beliau menerima kritikan semasa perbicaraan apabila beliau sukar menjawab soalan Senator Demokrat Tammy Duckworth, mengenai hubungan Amerika dengan Singapura dan peranan kota-negara tersebut di Asia Tenggara.

Dr Sinha merupakan lulusan dari Sekolah Perubatan MGM dan Universiti Delhi, dengan sarjana dalam pembedahan ortopedik. 

Beliau telah berkahwin dengan Dr Kiki Sinha dan mereka mempunyai seorang anak perempuan, seorang anak lelaki serta tiga cucu.

Duta Besar Singapura ke Amerika, Encik Lui Tuck Yew, berkata beliau menantikan pertemuan bersama Dr Sinha dan keluarganya.

Sebelum Dr Sinha berangkat ke Singapura, Encik Trump akan menandatangani surat pelantikannya secara rasmi dan melantiknya.

Duta besar yang baru itu akan kemudian menyerahkan watikah di Singapura dan memulakan tugas secara rasmi di Kedutaan Amerika.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg