Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Duta AS Anjani Sinha antara 4 utusan asing mula tugas secara rasmi di S’pura

Nov 17, 2025 | 8:22 PM
Duta Amerika Syarikat ke Singapura, Dr Anjani Kumar Sinha (kiri), bersama Presiden Tharman Shanmugaratnam di Istana, pada 17 November.
Duta Amerika Syarikat ke Singapura, Dr Anjani Kumar Sinha (kiri), bersama Presiden Tharman Shanmugaratnam di Istana, pada 17 November. - Foto MDDI

Duta baru Amerika Syarikat ke Singapura, Dr Anjani Kumar Sinha, merupakan antara empat utusan asing yang menyerahkan watikah pelantikan mereka kepada Presiden Tharman Shanmugaratnam pada 17 November.

Upacara tersebut membolehkan mereka memulakan tugas secara rasmi di negara ini.

Selain Dr Sinha, mereka yang bertemu Tuan Presiden di Istana dalam majlis berasingan ialah:

  1. Duta baru Kesatuan Eropah (EU) ke Singapura, Encik Artis Bertulis
  2. Pesuruhjaya Tinggi baru Canada ke Singapura, yang turut memegang tugas sebagai wakil perdagangan Indo-Pasifik Canada, Encik Paul Thoppil
  3. Pesuruhjaya Tinggi baru Rwanda ke Singapura, Encik Innocent Bagamba Muhizi

Dr Sinha, yang sebelum ini merupakan pakar bedah ortopedik, tiba di Singapura pada 6 November untuk memulakan perkhidmatannya, lapor The Straits Times (ST).

Dr Sinha berasal dari Florida dan dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan keluarga Presiden Amerika, Encik Donald Trump.

Pelantikan beliau disahkan oleh Senat Amerika pada Oktober melalui undian berkumpulan yang berakhir dengan majoriti 51-47.

Dalam hantaran Facebook pada 17 November, Kedutaan Amerika memetik kenyataan Dr Sinha yang berkata beliau berharap dapat “memperkukuh rasa saling menghormati yang akan menjadi teras hubungan Amerika-Singapura pada tahun-tahun mendatang”.

Dalam kenyataan sempena ketibaan beliau ke Singapura, duta baru itu turut berkata beliau amat berbesar hati mewakili Amerika di negara ini, sambil menggambarkan Singapura sebagai rakan, hab utama bagi perniagaan Amerika dan tonggak kestabilan serantau.

“Presiden Trump telah meminta saya untuk meningkatkan usaha kerjasama dengan Singapura, berasaskan rasa saling menghormati dan keutamaan bersama. 

“Secara khusus, saya berhasrat untuk bekerjasama dengan Singapura dalam bidang seperti teknologi, tenaga, dan keselamatan,” jelas beliau.

Kedutaan Amerika berkata pada 6 November bahawa pelantikan Dr Sinha mencerminkan komitmen negara itu untuk bekerjasama dengan Singapura bagi mencapai matlamat bersama dalam kemakmuran dan keselamatan.

Kedutaan itu menambah: “Selama hampir 60 tahun, perkongsian antara Amerika dengan Singapura telah membawa manfaat besar kepada rakyat kedua-dua negara, termasuk dalam bidang teknologi baru, keselamatan tenaga, penguatkuasaan undang-undang, dan kerjasama ketenteraan.”

Encik Trump pada 11 Mac telah memilih Dr Sinha sebagai calon untuk peranan tersebut melalui hantaran di Truth Social pada 11 Mac.

Menurut biografi rasminya, Dr Sinha merupakan lulusan Sekolah Perubatan MGM dan Universiti Delhi di India, dengan ijazah sarjana dalam pembedahan ortopedik.

Dilaporkan berusia dalam lingkungan 70-an, beliau telah menubuhkan dan mengetuai klinik pakar di lapan lokasi di New York serta berkhidmat sebagai perunding pembedahan kanan di Florida.

Antara utusan lain yang turut menyerahkan watikah pelantikan pada 17 November, ialah Encik Bertulis, seorang diplomat kerjaya dari Latvia yang sebelum ini berkhidmat sebagai Duta EU ke Guinea-Bissau.

Duta baru Kesatuan Eropah (EU) ke Singapura, Encik Artis Bertulis (kiri), bertemu Presiden Tharman Shanmugaratnam di Istana pada 17 November.
Duta baru Kesatuan Eropah (EU) ke Singapura, Encik Artis Bertulis (kiri), bertemu Presiden Tharman Shanmugaratnam di Istana pada 17 November. - Foto MDDI

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi baru Canada ke Singapura, Encik Thoppil, sebelum ini pernah memegang peranan sebagai Penolong Timbalan Menteri bagi Asia-Pasifik di Global Affairs Canada.

Ia merupakan sebuah jabatan dalam pemerintah Canada yang menguruskan hubungan diplomatik dan konsular Canada dengan negara lain.

Pesuruhjaya Tinggi baru Canada ke Singapura, Encik Paul Thoppil (kiri), bertemu Presiden Tharman Shanmugaratnam di Istana pada 17 November.
Pesuruhjaya Tinggi baru Canada ke Singapura, Encik Paul Thoppil (kiri), bertemu Presiden Tharman Shanmugaratnam di Istana pada 17 November. - Foto MDDI

Manakala, Encik Muhizi, sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Rwanda di Singapura, merupakan ketua eksekutif Penguasa Persatuan Maklumat Rwanda, di mana beliau mengetuai daya usaha utama untuk memajukan agenda transformasi digital negara Afrika Timur itu.

Pesuruhjaya Tinggi baru Rwanda ke Singapura, Encik Innocent Bagamba Muhizi (kiri), bertemu Presiden Tharman Shanmugaratnam di Istana pada 17 November.
Pesuruhjaya Tinggi baru Rwanda ke Singapura, Encik Innocent Bagamba Muhizi (kiri), bertemu Presiden Tharman Shanmugaratnam di Istana pada 17 November. - Foto MDDI
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg