DHAKA: Kesilapan juruterbang dikenal pasti sebagai punca nahas pesawat pejuang yang merempuh sebuah sekolah di Bangladesh pada Julai lalu, mengorbankan 36 orang dalam tragedi udara paling buruk di negara itu sejak beberapa dekad, menurut laporan pemerintah pada 5November.
Pesawat F-7 BJI buatan China itu terhempas ke bangunan Milestone School and College, sebuah sekolah swasta di Dhaka pada 21 Julai, sejurus selepas pelajar tamat waktu persekolahan.
Laporan siasatan rasmi yang diserahkan kepada Ketua Penasihat sementara, Encik Muhammad Yunus, mendedahkan bahawa nahas berlaku akibat kesilapan ketika pesawat berlepas. “Terdapat kesilapan semasa juruterbang melakukan penerbangan berlepas,” kata Setiausaha Akhbar Yunus, Encik Shafiqul Alam, kepada wartawan.
Tragedi itu turut mencederakan lebih 170 orang, ramai antara mereka mengalami lecur teruk akibat letupan dan kebakaran yang tercetus selepas pesawat menjunam ke bangunan dua tingkat berkenaan.
Pihak tentera udara sebelum ini memaklumkan bahawa juruterbang berusia 27 tahun itu sedang menjalani latihan penerbangan rutin apabila pesawatnya dilaporkan mengalami kegagalan mekanikal.
Menurut siasatan awal, juruterbang sempat berusaha mengelak daripada merempuh kawasan perumahan yang padat, namun gagal mengawal pesawat sebelum ia menghentam bangunan sekolah.
“Beliau cuba mengubah arah pesawat daripada kawasan berpenduduk, tetapi kehilangan kawalan dan terhempas,” kata seorang pegawai kanan tentera yang enggan dinamakan kerana tidak diberi kuasa bercakap kepada media.
Insiden itu mencetuskan kemarahan orang awam, dengan ramai menuntut agar latihan penerbangan tentera dipindahkan keluar dari ibu kota Dhaka, yang mempunyai kepadatan penduduk antara tertinggi di dunia.
Tentera udara pada awalnya menolak permintaan itu dengan alasan pangkalan di ibu kota penting untuk tujuan strategik dan keselamatan negara. Namun, hasil laporan siasatan mencadangkan perubahan besar dalam dasar latihan.
“Laporan tersebut menyarankan agar latihan tentera udara dijalankan di luar Dhaka bagi mengelakkan kejadian serupa,” kata Encik Shafiqul Alam.
Selain itu, laporan itu juga menasihatkan agar Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAB) memastikan tiada pembangunan infrastruktur sensitif seperti hospital, sekolah, gudang atau industri kecil dibina berhampiran lapangan terbang dan kawasan latihan udara.
Kejadian itu meninggalkan kesan mendalam terhadap masyarakat Bangladesh, terutamanya keluarga mangsa yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar sekolah rendah. Upacara doa dan peringatan diadakan di seluruh Dhaka bagi memperingati mangsa-mangsa yang terkorban.
“Kami kehilangan pelajar terbaik kami, dan sekolah ini tidak lagi sama,” kata Cik Farhana Akter, seorang guru yang terselamat daripada nahas itu. “Kami hanya mahu keadilan dan jaminan keselamatan agar tragedi seperti ini tidak berulang.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg