Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nahas jet: Pelajar Bangladesh tuntut tanggungjawab

Jul 23, 2025 | 1:17 PM
jet terhempas, Bangladesh
Para pelajar mengadakan protes menuntut bilangan tepat mangsa yang maut dan cedera akibat jet tentera udara Bangladesh terhempas di kampus sebuah sekolah di Dhaka pada 21 Julai 2025. - Foto AFP

DHAKA: Beratus-ratus penunjuk perasaan telah berhimpun di Bangladesh untuk menuntut kebertanggungjawapan selepas sebuah jet pejuang tentera udara terhempas di sebuah sekolah di Dhaka, mengorbankan 31 orang, termasuk 25 pelajar.

Para pelajar itu, kebanyakannya berumur bawah 12 tahun, sedang pulang ke rumah selepas kelas pada 21 Julai apabila jet tentera udara Bangladesh itu terhempas di kampus sekolah mereka dan terbakar.

Tentera berkata jet itu telah berlepas daripada pangkalan udara berhampiran dalam misi latihan rutin tetapi selepas mengalami kegagalan mekanikal, juruterbangnya cuba mengalihkan pesawat itu dari kawasan berpenduduk, tetapi ia terhempas ke dalam kampus sekolah tersebut.

Para pelajar mengadakan protes ketika dua pegawai pemerintah melawat tapak nahas pada 22 Julai, menuntut bilangan kematian yang tepat dan menjerit, “Mengapa saudara kami mati? Kami menuntut jawapan!”

Di tempat lain di ibu negara itu, ratusan pelajar yang turut mengadakan bantahan, sebahagiannya menggunakan kayu untuk memecah masuk pintu utama sekretariat pemerintah persekutuan.

Mereka menuntut penasihat pendidikan pemerintah meletak jawatan, demikian menurut rakaman stesen televisyen tempatan.

Peserta protes menggesa agar mereka yang terkorban dan cedera segera dinamakan.

Mereka turut menuntut pampasan untuk keluarga yang terbabit, pemansuhan apa yang mereka katakan sebagai jet lama dan berisiko, serta perubahan dalam prosedur latihan tentera udara.

Polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan bom tangan untuk menyuraikan orang ramai, menyebabkan kira-kira 80 pelajar cedera, lapor Jamuna TV, sebuah stesen Bangladesh.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Metropolitan Dhaka, Encik Talebur Rahman, berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai jumlah yang cedera.

Namun, tentera mengesahkan 31 orang maut dan 165 yang lain telah dimasukkan ke hospital di bandar itu. Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Keluarga berkata 68 masih dirawat, dan 10 daripada mereka kritikal.

Pejabat akhbar Encik Muhammad Yunus, pentadbir sementara negara itu, berkata pihak pemerintah, tentera, pihak berkuasa sekolah dan hospital sedang bekerjasama untuk menerbitkan senarai nama kesemua mangsa.

Ia juga berkata tentera udara akan diberitahu supaya tidak mengendalikan pesawat latihan di kawasan berpenduduk.

Sesetengah ibu bapa tidak dapat menahan kesedihan akibat kehilangan anak masing-masing.

Encik Abul Hossain kecewa ketika beliau bercakap mengenai anak perempuannya, Nusrat Jahan Anika, sembilan tahun, yang terbunuh dalam nahas itu.

“Saya membawanya ke sekolah pada pagi hari itu seperti biasa. Saya tidak tahu itulah kali terakhir saya berjumpa dengannya,” kata beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg