DHAKA: Encik Farhan Hasan baru sahaja selesai menduduki peperiksaan dan sedang berbual dengan rakan-rakan ketika sebuah jet latihan Tentera Udara Bangladesh menjunam ke kawasan sekolahnya, Milestone School and College, membunuh sekurang-kurangnya 27 orang kebanyakannya pelajar dan ibu bapa dalam tragedi udara terburuk yang melanda negara itu dalam beberapa dekad.
Pesawat jenis F-7 itu terhempas ke bangunan dua tingkat dalam kampus sekolah yang terletak di pinggir utara ibu kota Dhaka, mengakibatkan lebih 170 orang cedera dan puluhan lagi mengalami lecur serius.
Suasana yang pada awalnya riuh dengan pelajar tamat sekolah bertukar menjadi panik dan tangisan dalam sekelip mata.
“Rakan baik saya, yang duduk bersama saya dalam dewan peperiksaan, meninggal dunia di depan mata saya,” kata Encik Farhan, ketika ditemu bual oleh BBC Bangla.
“Pesawat itu melintas tepat di atas kepala rakan saya. Pada masa itu, ramai ibu bapa sedang menunggu anak-anak mereka yang lebih muda di dalam kawasan sekolah… dan malangnya, pesawat itu turut meragut nyawa mereka sekali.”
Rakaman di lokasi kejadian menunjukkan api marak dan asap hitam menjulang tinggi, manakala jeritan bergema di sekitar kawasan padat penduduk itu.
Bangunan yang terletak bersebelahan padang sekolah ranap dalam sekelip mata. Mangsa terdiri daripada pelajar sekolah rendah hingga menengah, termasuk beberapa ibu bapa dan guru.
Pesawat F-7 itu mengalami masalah mekanikal sejurus berlepas untuk latihan dari pangkalan udara berhampiran pada 1 tengah hari waktu tempatan. Juruterbang, Leftenan Penerbangan Encik Md. Taukir Islam, antara yang terkorban.
Seorang guru, Encik Rezaul Islam, berkata kepada BBC bahawa beliau menyaksikan pesawat itu merempuh bangunan “secara langsung.”
Seorang lagi guru, Encik Masud Tarik, memberitahu Reuters: “Saya terdengar satu letupan kuat. Bila saya menoleh, saya hanya nampak api dan asap. Ramai ibu bapa dan anak-anak berada di sana.”
Lebih 30 ambulans dikerahkan ke lokasi untuk mengangkut mangsa. Orang ramai berdiri di atas bumbung rumah dan bangunan berdekatan untuk melihat sisa-sisa kemusnahan.
Pasukan penyelamat dan sukarelawan bertungkus-lumus membawa keluar mayat serta mangsa yang cedera, manakala jeritan keluarga yang mencari anak-anak mereka menambah kepiluan.
Seorang wanita yang enggan dikenali berkata anaknya sempat menghubunginya sejurus insiden, tetapi beliau tidak dapat dihubungi selepas itu.
Di Hospital Kebangsaan Rawatan Melecur dan Pembedahan Plastik, lebih 50 mangsa, termasuk kanak-kanak, dirawat akibat kecederaan melecur yang serius.
Encik Shah Alam, bapa saudara kepada pelajar Tahun 8, Tanvir Ahmed, berkata dalam nada sebak: “Anak saudara kesayangan saya sekarang berada di dalam bilik mayat.” Beliau dilihat memegang erat tangan adiknya, ayah kepada Tanvir, yang terlalu hiba untuk bersuara.
Doktor mengesahkan bahawa kebanyakan mangsa parah berusia antara 9 hingga 14 tahun. Keadaan di hospital menjadi semakin tegang apabila keluarga mangsa datang berduyun-duyun mencari jawapan.
Orang awam tampil menderma darah secara sukarela, manakala beberapa pemimpin daripada Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) dan Jamaat-e-Islami hadir memberi penghormatan kepada mangsa.
Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa mangsa telah dihantar ke tujuh hospital di sekitar Dhaka untuk rawatan kecemasan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg