GAZA: Krisis kemanusiaan di Gaza terus meruncing apabila 10 lagi rakyat Palestin dilaporkan meninggal dunia akibat kebuluran dalam tempoh 24 jam terakhir.
Ia menjadikan angka korban akibat kelaparan mencecah 111 orang termasuk sekurang-kurangnya 80 kanak-kanak.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, kematian itu berlaku di tengah-tengah sekatan yang dikenakan Israel, yang telah menyekat kemasukan makanan dan ubat-ubatan sejak Oktober 2023.
“Ini bukan sekadar bencana semula jadi, ini adalah kebuluran yang diatur dan disengajakan,” kata jurucakap kementerian.
Wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), dalam wawancara bersama Al Jazeera, menyifatkan keadaan itu sebagai “tidak dapat dimaafkan” kerana masyarakat antarabangsa didakwa membiarkan perkara itu berterusan.
“Kelaparan telah menjadi sekejam bom,” lapor wartawan, Encik Tareq Abu Azzoum, dari Deir el-Balah.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa 21 kanak-kanak di bawah lima tahun telah meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan pada 2025, dan bantuan makanan tidak dapat disalurkan selama hampir 80 hari antara Mac dengan Mei.
Dalam tempoh sama, lebih 100 rakyat Palestin termasuk 34 yang sedang menunggu bantuan turut terbunuh dalam serangan udara Israel.
Encik Ross Smith dari Program Makanan Dunia PBB menegaskan bahawa keselamatan konvoi bantuan harus dijamin.
“Kami perlukan jaminan tiada aktor bersenjata berhampiran lokasi agihan makanan,” katanya.
Namun, pelbagai agensi bantuan menyatakan bahawa ratusan tan makanan dan ubat-ubatan masih tersadai di luar Gaza, tidak dapat disampaikan akibat kawalan ketat Israel.
Di tengah-tengah keadaan itu, Dr Nour Sharaf, dari Amerika Syarikat yang bertugas di Hospital al-Shifa, berkata:
“Ramai pesakit dan juga doktor belum makan selama beberapa hari. Namun kami tetap bekerja.”
Sementara itu, rundingan gencatan senjata yang dikendalikan Qatar dan Mesir dengan sokongan Amerika Syarikat memasuki fasa baru apabila Hamas mengesahkan telah menyerahkan jawapan rasmi kepada cadangan gencatan senjata selama 60 hari.
Dalam kenyataan di Telegram, Hamas berkata: “Kami telah mengemukakan cadangan balas bersama kumpulan Palestin lain kepada pihak pengantara.”
Menurut sumber rundingan, cadangan Hamas termasuk permintaan penyesuaian terhadap syarat pengunduran tentera Israel, jaminan penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa halangan dan pelan ke arah penamatan perang secara kekal.
Walaupun rundingan berlangsung selama dua minggu di Doha, kedua-dua pihak masih bertegas dengan tuntutan masing-masing.
Israel tetap menuntut agar kekuatan ketenteraan dan politik Hamas dilumpuhkan sepenuhnya, manakala Hamas berkeras mahu jaminan gencatan senjata yang berkekalan serta pengunduran tentera dan akses bebas kepada bantuan.
Dalam perkembangan berkaitan, Brazil mengumumkan akan menyertai kes dakwaan genosid yang difailkan oleh Afrika Selatan terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Kementerian Luar Brazil dalam satu kenyataan pada 23 Julai menyebut “Israel telah melanggar undang-undang antarabangsa termasuk penaklukan wilayah secara paksa dan kekejaman terhadap orang awam Palestin”.
Kes yang difailkan oleh Afrika Selatan pada 2023 itu mendakwa tindakan ketenteraan Israel di Gaza melampaui sasaran terhadap Hamas dengan menyerang sekolah, hospital, kem pelarian dan pusat perlindungan awam.
Selain Brazil, negara lain seperti Sepanyol, Turkey dan Colombia turut menyatakan sokongan untuk menyertai kes tersebut.
Namun, Israel menolak dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai penyalahgunaan Konvensyen Genosid 1948.
Kedutaan Israel di Brasilia berkata kenyataan Brazil adalah “berat sebelah dan mengabaikan realiti kewujudan Hamas di Gaza”.
Persatuan Yahudi Brazil (Conib) dalam kenyataannya berkata keputusan Brazil itu menjejas hubungan bersejarah antara kedua-dua negara dan mencerminkan dasar luar yang semakin ekstrem.
Amerika di bawah pentadbiran mantan Presiden Joe Biden dan kini Presiden Donald Trump, menentang kes tersebut.
Pada Februari, Encik Trump menandatangani perintah eksekutif untuk menghentikan bantuan kewangan kepada Afrika Selatan sebagai tindak balas terhadap kes ICJ itu. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg