GAZA: Lebih 100 pertubuhan bantuan pada 23 Julai memberi amaran bahawa “kebuluran besar-besaran” kini sedang merebak di seluruh Jaluran Gaza, dan para petugas mereka sendiri turut menderita akibat kekurangan makanan dan bekalan asas.
Dalam satu kenyataan bersama, 111 pertubuhan termasuk Doktor Tanpa Sempadan (MSF), badan kebajikan Selamatkan Kanak-kanak dan Oxfam memberi amaran bahawa “rakan sekerja kami dan masyarakat yang kami bantu kini semakin tenat.”
Kenyataan itu menyebut: “Ketika sekatan oleh pemerintah Israel terus mendera rakyat Gaza dengan kelaparan, para pekerja bantuan kini turut beratur untuk mendapatkan makanan, berdepan risiko ditembak demi memberi makan kepada keluarga mereka.”
Pertubuhan-pertubuhan itu menggesa gencatan senjata secara rundingan dilaksanakan serta-merta, semua lintasan darat dibuka, dan bantuan dibenarkan masuk tanpa halangan menerusi mekanisme yang diketuai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
PBB pada 22 Julai melaporkan bahawa lebih 1,000 rakyat Palestin telah terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan makanan sejak Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Amerika Syarikat dan Israel mula beroperasi pada akhir Mei telah menyisihkan sistem pengagihan sedia ada yang dikendalikan oleh PBB.
Israel pula mendakwa bantuan kemanusiaan telah dibenarkan masuk ke Gaza dan menuduh Hamas menyalahgunakan penderitaan orang awam, termasuk mencuri bantuan makanan dan menjualnya pada harga tinggi atau menembak mereka yang sedang menunggu bantuan.
Menurut kenyataan itu lagi, bekalan bantuan dalam jumlah besar kini tersimpan di gudang-gudang di luar Gaza, dan sebahagiannya sudahpun berada di dalam wilayah tersebut, namun tidak dapat diagihkan kerana halangan keselamatan dan sekatan akses.
“Rakyat Palestin kini terperangkap dalam kitaran harapan dan keperitan menanti bantuan dan gencatan senjata, hanya untuk bangun semula menghadapi keadaan yang lebih parah,” kata kenyataan bersama itu. “Ia bukan sahaja penderitaan fizikal, malah penderitaan mental. Harapan untuk terus hidup kini hanyalah satu ilusi yang kian memudar,” tambah mereka.
“Sistem kemanusiaan tidak boleh beroperasi atas dasar janji kosong. Petugas bantuan tidak mampu berfungsi dalam garis masa yang berubah-ubah atau bergantung kepada komitmen politik yang gagal memberikan akses sebenar.”
Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, berkata pada 22 Julai bahawa penderitaan yang dihadapi rakyat Palestin di Gaza akibat serangan ketenteraan Israel merupakan antara yang paling mengerikan dalam sejarah terkini.
Lebih 20 negara Barat turut menggesa agar perang segera dihentikan, dengan menyatakan bahawa penderitaan di Gaza telah “mencapai tahap paling parah.”
“Pertubuhan-pertubuhan bantuan tersebut menyeru tindakan tegas daripada para pemerintah dunia, sambil menegaskan bahawa ‘langkah sementara dan isyarat simbolik hanyalah helah yang menutup kegagalan sebenar untuk bertindak.’”
Menurut Kementerian Kesihatan di Gaza yang ditadbir Hamas, kempen ketenteraan Israel telah mengorbankan seramai 59,106 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam.
Serangan oleh Hamas pada 7 Oktober 2023, yang mencetuskan perang ini, telah menyebabkan 1,219 orang terbunuh di pihak Israel, majoritinya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi.
Ketua hospital terbesar di Gaza semalam mengesahkan bahawa seramai 21 kanak-kanak telah meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan kelaparan dalam tempoh tiga hari terakhir. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg