SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Latar belakang Hezbollah

Latar belakang Hezbollah

Oct 30, 2023 | 5:30 AM

Latar belakang Hezbollah

KUMPULAN HEZBOLLAH: Mempamerkan kekuatan dalam satu acara sambutan di Lebanon, kumpulan Hezbollah ini mendapat sokongan sebahagian besar kaum Syiah di Lebanon.
KUMPULAN HEZBOLLAH: Mempamerkan kekuatan dalam satu acara sambutan di Lebanon, kumpulan Hezbollah ini mendapat sokongan sebahagian besar kaum Syiah di Lebanon. - Foto REUTERS

BEIRUT: Kumpulan Hezbollah Lebanon telah berbalas tembakan dengan Israel merentasi sempadan selama beberapa hari, dalam peningkatan paling dahsyat sejak mereka berperang besar pada 2006, mengancam meluaskan konflik antara Israel dengan kumpulan Hamas Palestin.

Disokong oleh Iran, Hezbollah berkata ia bersedia membantu apabila tiba masanya dalam perang antara Israel dengan Hamas.

Sumber berkata minggu lalu, serangan Hezbollah setakat ini dilakukan sebegitu rupa bagi mengelakkan meletusnya satu lagi perang besar.

Menteri Pertahanan Israel berkata pada 15 Oktober bahawa Israel tidak berminat melancarkan perang di bahagian utaranya, dan jika Hezbollah menahan diri maka Israel juga akan mengekalkan keadaan di sepanjang sempadan sebagaimana adanya.

Asal usul Hezbollah

Pengawal Revolusi Iran mengasaskan Hezbollah pada 1982, di tengah-tengah perang saudara Lebanon 1975-1990.

Ia sebahagian usaha Iran mengeksport Revolusi Islam 1979 ke seluruh rantau itu dan memerangi tentera Israel, selepas pencerobohan 1982 ke atas Lebanon.

Berkongsi ideologi Islam Syiah Teheran, Hezbollah merekrut Muslim Syiah Lebanon. Kumpulan itu telah bangkit daripada puak yang gelap kepada angkatan bersenjata dengan kuasa besar ke atas Lebanon.

Amerika Syarikat dan beberapa pemerintah Barat menganggapnya sebagai organisasi pengganas.

Kuasa tentera Hezbollah

Sementara kumpulan lain melucutkan senjata selepas perang saudara Lebanon, Hezbollah menyimpan senjatanya untuk memerangi tentera Israel yang menduduki di bahagian selatan Lebanon di mana sebahagian besar penduduknya adalah kaum Syiah.

Peperangan gerila selama bertahun-tahun menyebabkan Israel berundur pada 2000.

Hezbollah menunjukkan kemajuan tenteranya pada 2006 semasa perang lima minggu dengan Israel, yang meletus selepas ia menyeberang ke Israel, menculik dua askar dan membunuh yang lain.

Hezbollah melancarkan beribu-ribu roket ke Israel semasa konflik, di mana 1,200 orang terbunuh di Lebanon, kebanyakannya orang awam, dan 158 orang Israel terbunuh, kebanyakannya tentera.

Kuasa tentera Hezbollah berkembang selepas ia dikerahkan ke Syria, satu lagi sekutu Iran di rantau itu, untuk membantu Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad memerangi pemberontak Muslim Sunni.

Hezbollah mempunyai senjata termasuk roket ketepatan dan dron, dan mengatakan ia boleh menyerang semua bahagian Israel.

Pada 2021, pemimpin Hezbollah, Encik Sayyed Hassan Nasrallah, berkata kumpulan itu mempunyai 100,000 anggota.

Iran memberikan senjata dan wang kepada Hezbollah. Amerika Syarikat menganggarkan Iran telah memperuntukkan ratusan juta dolar setiap tahun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Peranan dalam konflik Israel-Palestin

Hezbollah mempunyai hubungan yang mendalam dengan Hamas, yang mengawal Gaza, serta Jihad Islam, satu lagi puak Palestin yang disokong Iran.

Hezbollah berkata ia “berhubungan secara langsung dengan kepimpinan penentangan Palestin” pada 7 Oktober, hari kumpulan militan Hamas melakukan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dari Gaza ke Israel.

Perang antara Israel denganPalestin bermula selepas kumpulan militan Hamas melancarkan serangan di selatan Israel dan lebih 1,400 orang terbunuh.

Dalam serangan udara intensif Israel ke atas Gaza sebagai tindak balas, lebih 2,750 orang maut.

Sejak 7 Oktober, Hezbollah telah berbalas tembakan rentas sempadan dengan Israel berkali-kali.

Hamas dan Jihad Islam, yang kedua-duanya berada di Lebanon, telah melancarkan serangan ke atas Israel dari Lebanon buat kali pertama, termasuk penyusupan rentas sempadan pada 10 Oktober ke Israel oleh Jihad Islam.

Encik Tzachi Hanegbi, penasihat keselamatan negara kepada Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata pada 14 Oktober bahawa permusuhan nampaknya dapat dihalang.

Encik Hanegbi memberi amaran kepada Hezbollah supaya tidak mengambil tindakan yang boleh membawa kepada “kemusnahan” Lebanon.

Hezbollah telah memberi sokongan untuk kumpulan lain yang disokong Iran di seluruh Timur Tengah. Ia telah melatih kumpulan bersenjata di Iraq dan mengambil bahagian dalam pertempuran di sana.

Arab Saudi berkata Hezbollah turut berperang menyokong Houthi yang bersekutu dengan Iran di Yaman. Hezbollah menafikan perkara ini.

Peranan Hezbollah di Lebanon

Pengaruh Hezbollah adalah kerana memiliki senjata canggih dan sokongan ramai kaum Syiah Lebanon yang melihat kumpulan itu berupaya mempertahankan Lebanon daripada Israel.

Pihak di Lebanon yang menentang Hezbollah berkata kumpulan itu telah menjejaskan negara dan menuduhnya secara unilateral mengheret Lebanon ke dalam konflik bersenjata.

Hezbollah mempunyai menteri dalam pemerintah dan penggubal undang-undang di parlimen.

Ia memasuki politik Lebanon dengan lebih ketara pada 2005, selepas Syria menarik balik tentera dari Lebanon, berikutan pembunuhan mantan Perdana Menteri Lebanon, Encik Rafik al-Hariri, yang melambangkan pengaruh Arab Saudi di negara itu.

Mahkamah yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mensabitkan kesalahan tiga anggota Hezbollah tanpa hadir, berhubung pembunuhan itu.

Hezbollah menafikan sebarang peranan, dan menyifatkan mahkamah sebagai alat musuhnya.

Pada 2008, perebutan kuasa antara Hezbollah dengan musuh politiknya di Lebanon, yang mendapat sokongan Barat dan Arab Saudi, berkembang menjadi konflik singkat.

Hezbollah mengambil alih bahagian Beirut selepas pemerintah berikrar mengambil tindakan terhadap rangkaian komunikasi tentera kumpulan itu.

Pada 2016, ahli politik Kristian yang bersekutu dengan Hezbollah, Encik Michel Aoun, menjadi presiden – dalam sistem politik mazhab Lebanon, jawatan presiden dipegang oleh seorang Kristian Maronite.

Dua tahun kemudian, Hezbollah dan sekutunya memenangi majoriti parlimen. Majoriti ini hilang pada 2022, tetapi kumpulan itu terus menggunakan pengaruh politik yang besar.

Kumpulan itu berkempen menentang hakim yang menyiasat letupan pelabuhan Beirut 2020, yang memusnahkan sebahagian besar ibu kota, selepas hakim cuba menyoal sekutu Hezbollah.

Kebuntuan itu menyebabkan berlakunya pertempuran maut di Beirut pada 2021.

Serang sasaran Barat

Pegawai keselamatan Lebanon dan perisikan Barat berkata kumpulan yang dikaitkan dengan Hezbollah melakukan serangan nekad ke atas kedutaan dan sasaran Barat, serta menculik orang Barat pada 1980-an.

Sebuah kumpulan, Jihad Islam, yang tiada kaitan dengan pertubuhan Palestin, dipercayai diketuai oleh Imad Moughniyah, komander tertinggi Hezbollah yang terbunuh dalam letupan kereta di Syria pada 2008.

Amerika menganggap Hezbollah bertanggungjawab atas pengeboman bunuh diri yang memusnahkan ibu pejabat Marin Amerika di Beirut pada 1983, membunuh 241 askar, dan satu lagi serangan nekad pada tahun yang sama ke atas kedutaan Amerika.

Pengeboman bunuh diri juga melanda markas Perancis di Beirut pada 1983, membunuh 58 orang anggota pasukan payung terjun Perancis.

Merujuk kepada serangan dan pengambilan tebusan itu, pemimpin Hezbollah, Encik Nasrallah berkata dalam satu wawancara pada 2022 bahawa serangan itu dilakukan oleh kumpulan kecil yang tiada kaitan dengan Hezbollah.

Pandangan negara Barat

Negara Barat termasuk Amerika menetapkan Hezbollah sebagai organisasi pengganas. Begitu juga negara Teluk Arab yang bersekutu dengan Amerika, termasuk Arab Saudi.

Kesatuan Eropah (EU) mengklasifikasikan sayap tentera Hezbollah sebagai kumpulan pengganas, tetapi bukan sayap politiknya.

Argentina menyalahkan Hezbollah dan Iran atas pengeboman pada 1994 ke atas pusat komuniti Yahudi di Buenos Aires yang mengakibatkan 85 orang terbunuh, dan serangan pada 1992 ke atas kedutaan Israel di Buenos Aires yang mengorbankan 29 orang.

Iran dan Hezbollah sama-sama menafikan tanggungjawab terhadap serangan itu. – Reuters.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg