Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump ulangi hasrat kuasai Greenland demi ‘keselamatan antarabangsa’

Mar 14, 2025 | 11:58 AM
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bercakap kepada media ketika beliau bertemu dengan Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte, di Pejabat Oval, Rumah Putih, Washington, DC, pada 13 Mac 2025.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bercakap kepada media ketika beliau bertemu dengan Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte, di Pejabat Oval, Rumah Putih, Washington, DC, pada 13 Mac 2025. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sekali lagi menyuarakan hasratnya untuk menguasai wilayah autonomi Greenland daripada Denmark atas alasan kepentingan keselamatan antarabangsa.

“Saya rasa ia akan berlaku,” kata Encik Trump kepada wartawan di Rumah Putih ketika sidang media bersama Setiausaha Agung  Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Mark Rutte.

Encik Trump menambah bahawa Encik Rutte boleh memainkan “peranan penting” dalam menjayakan rancangan itu.

“Mark, anda pun tahu — Greenland amat penting untuk keselamatan antarabangsa. Kini semakin ramai pemain kuasa besar yang ‘bermain’ di sekitar pantainya. Kita tak boleh ambil mudah,” ujar Encik Trump, merujuk kepada kebimbangan terhadap kehadiran strategik China dan Rusia di Artik.

Kenyataan Encik Trump dikeluarkan hanya beberapa hari selepas pilihan raya di Greenland, yang memperlihatkan sokongan meluas daripada semua parti politik dan majoriti 57,000 penduduk terhadap usaha mencapai kemerdekaan, meskipun terdapat perbezaan pendapat mengenai tempoh pelaksanaannya.

Encik Trump sebelum ini juga enggan menolak kemungkinan penggunaan kekerasan untuk mengambil alih pulau Artik yang kaya dengan sumber semula jadi itu, sekali gus menarik perhatian dunia terhadap wilayah yang sebelum ini jarang menjadi tumpuan.

Namun begitu, Encik Rutte menolak sebarang penglibatan NATO dalam isu pemilikan itu.
“Saya tidak mahu menyeret NATO ke dalam isu ini,” tegasnya.

Bagaimanapun, Encik Rutte bersetuju bahawa rantau Artik kini semakin penting dari sudut strategik. “China kini menggunakan laluan ini. Kita tahu Russia sedang memperkuat ketenteraan mereka. Kita juga kekurangan kapal pemecah ais,” katanya. “Jadi, adalah amat penting tujuh negara Artik—selain Russia—bekerjasama di bawah pimpinan Amerika untuk memastikan kawasan itu kekal selamat,” tambah beliau.

Pemerhati antarabangsa melihat kenyataan Encik Trump ini sebagai satu lagi percubaan kontroversial yang mungkin mencetuskan ketegangan geopolitik, terutama dalam konteks perebutan pengaruh kuasa besar di Artik.

Seorang penganalisis keselamatan dari Washington, Dr. Elena Brooks, berkata:
“Trump cuba menjadikan isu keselamatan sebagai alasan untuk peluasan kuasa. Greenland bukan sekadar wilayah, ia adalah simbol pengaruh di utara dunia yang semakin bernilai.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg