WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto bertemu dalam usaha memperkukuhkan komitmen kedua-dua negara.
Pertemuan itu bagi memperkuat hubungan strategik sepanjang 75 tahun yang terus berkembang meskipun di tengah perubahan geopolitik sejagat.
Menurut kenyataan di laman web rasmi Rumah Putih, Encik Biden melahirkan rasa bangga terhadap hubungan erat Amerika-Indonesia yang dianggapnya penting dalam mengukuhkan visi Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, dengan Asean sebagai tonggaknya.
“Sebagai dua demokrasi terbesar di dunia, negara kita mempunyai tanggungjawab istimewa dalam merealisasikan visi ini,” kata Encik Biden.
Beliau menekankan bahawa kerjasama itu tidak hanya penting demi kepentingan negara masing-masing, malah bagi kestabilan rantau Indo-Pasifik secara keseluruhan.
Menurut Encik Biden, pertemuan tersebut digunakan untuk membincangkan isu utama seperti perubahan iklim, keselamatan serta pengukuhan rantaian bekalan sejagat yang berdaya tahan.
“Indonesia adalah pemain penting dalam peralihan tenaga bersih,” ujar Encik Biden, yang turut menekankan kepentingan Indonesia sebagai negara yang kaya dengan sumber tenaga alternatif.
Di samping itu, Encik Biden menegaskan bahawa kedua-dua negara akan memperkukuh kerjasama keselamatan mereka – langkah yang diambil dalam menghadapi ketidakstabilan yang semakin meruncing di peringkat sejagat.
“Kami akan membincangkan cabaran sejagat, termasuk krisis di Gaza dan ketegangan di Laut China Selatan,” ujar Encik Biden.
Sementara itu, Encik Prabowo pula melahirkan penghargaan mendalam terhadap sokongan Amerika yang diberikan sejak Indonesia memperjuangkan kemerdekaan.
“Amerika Syarikat adalah sahabat baik bagi kami.
“Mereka menyokong kami dalam perjuangan kemerdekaan dan sering membantu di kala kami memerlukan,” ujar Encik Prabowo dengan penuh penghargaan, sambil mengakui kepentingan sejarah hubungan kedua-dua negara.
Encik Prabowo turut berjanji akan terus berusaha mempererat hubungan antara Indonesia dengan Amerika.
“Saya komited untuk memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.
“Saya ingin bekerjasama untuk mencapai matlamat ini dan membina kerjasama yang lebih kukuh,” katanya, sekali gus memberi isyarat diplomatik jelas mengenai usaha Indonesia dalam membina rangkaian antarabangsa yang seimbang.
Sebagai negara dengan anggota masyarakat Muslim terbesar di dunia dan populasi terbesar di Asia Tenggara, Indonesia memainkan peranan strategik dalam percaturan kuasa besar, khususnya antara Amerika dengan China.
Dengan latar belakang lawatannya ke Washington selepas bertemu Presiden China Xi Jinping, Encik Prabowo menunjukkan pendekatan diplomasi berkecuali yang menekankan pentingnya kedaulatan dan kepentingan nasional Indonesia tanpa bergantung kepada satu kuasa besar sahaja.
Pendirian Indonesia terhadap isu kritikal seperti Laut China Selatan turut ditegaskan dalam pertemuan tersebut.
Indonesia, melalui kenyataan rasmi, menyatakan bahawa ia tidak mengiktiraf tuntutan China terhadap kawasan tersebut, yang secara langsung memperlihatkan komitmen kepada undang-undang antarabangsa.
“Kami menggalakkan Indonesia agar memastikan semua perjanjian dengan China mematuhi undang-undang antarabangsa, terutama Konvensyen PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) mengenai Undang-Undang Laut,” kata jurucakap Rumah Putih, Cik Karine Jean-Pierre, dalam sidang akhbar.
Selain aspek diplomatik dan keselamatan, kunjungan Encik Prabowo turut memberi tumpuan kepada ekonomi melalui pertemuan dengan wakil syarikat gergasi Amerika seperti Freeport McMoRan dan Chevron.
Dalam usaha menarik pelaburan asing, Encik Prabowo menggesa syarikat itu supaya memperluaskan pelaburan mereka di Indonesia bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg