BAITULMAKDIS: Layang-layang dari Gaza yang memasuki wilayah Israel didapati tidak membawa senjata, bahan letupan atau bahan pembakar.

Demikian menurut sumber Lembaga Keamanan pimpinan Amerika Syarikat, ketika Israel mengancam meningkatkan serangan ke atas wilayah Palestin jika kejadian tersebut berterusan.

Sumber Lembaga Keamanan yang tidak dinamakan berkata isu layang-layang itu menjadi “cabaran rumit”, terutama kerana ia mudah dibuat dan boleh diterbangkan oleh sesiapa sahaja, termasuk kanak-kanak.

“Amat sukar untuk menangani sesuatu yang boleh dibuat sendiri oleh mana-mana kanak-kanak,” kata sumber itu seperti dipetik Channel 15 Israel.

Sumber menegaskan bahawa setakat ini, tiada bukti menunjukkan layang-layang yang memasuki Israel dari Gaza membawa bahan berbahaya atau digunakan sebagai senjata.

Tentera Israel sendiri pada 22 Ogos berkata empat layang-layang yang ditemui berhampiran Nahal Oz, sebuah kawasan Israel berhampiran sempadan Gaza, tidak mengandungi sebarang bahan mencurigakan dan “tidak mendatangkan bahaya kepada orang ramai”.

Media Israel turut melaporkan beberapa layang-layang memasuki kawasan berhampiran Gaza sejak beberapa hari lalu, tetapi tiada bahan letupan atau pembakar ditemui padanya.

Maklumat di lapangan yang diperoleh agensi berita Turkey, Anadolu, pula menunjukkan layang-layang itu diterbangkan kanak-kanak di Gaza sebagai kegiatan riadah.

Sebahagian kanak-kanak terbabit tinggal di kem yang menempatkan keluarga Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat perang.

Apabila tali layang-layang terputus, tiupan angin boleh membawanya merentasi sempadan ke kawasan Israel yang terletak berhampiran Gaza.

Perkembangan itu mencetuskan ketegangan selepas Israel memberi Lembaga Keamanan tempoh tiga hari untuk menghentikan layang-layang daripada memasuki wilayahnya.

Penyiar awam Israel, KAN, memetik sumber keselamatan sebagai berkata tentera Israel akan “meningkatkan dengan ketara” serangan di Gaza jika kejadian itu berterusan.

Pegawai keselamatan Israel turut mendakwa Hamas berada di sebalik penerbangan layang-layang tersebut sebagai usaha menguji tindak balas dan tahap kesiapsiagaan Israel.

Bagaimanapun, tiada bukti dikemukakan bagi menyokong dakwaan bahawa Hamas mengarahkan atau menyelaraskan penerbangan layang-layang itu.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dan Menteri Pertahanan, Encik Israel Katz, pada 23 Ogos turut memberi amaran bahawa Israel akan meningkatkan serangan dan pembunuhan bersasar di Gaza jika layang-layang terus memasuki wilayahnya.

Mereka turut mengancam mengarahkan penduduk Palestin meninggalkan kawasan yang didakwa digunakan untuk menerbangkan layang-layang, belon atau dron.

“Israel memberi amaran kepada Hamas bahawa jika pelancaran ke arah Israel tidak dihentikan serta-merta, tentera akan meningkatkan serangan bersasar terhadap mereka yang bertanggungjawab,” kata Encik Netanyahu dan Encik Katz dalam kenyataan bersama.

Mereka menegaskan Israel tidak akan membenarkan Hamas atau mana-mana pihak di Gaza mengancam masyarakat Israel berhampiran wilayah Palestin itu.

Susulan amaran tersebut, Mesir, Turkey dan Qatar dilaporkan mula memberi tekanan kepada Hamas supaya memastikan layang-layang tidak lagi diterbangkan ke arah kawasan Israel bagi mengelakkan peningkatan ketenteraan.

Hamas bagaimanapun menolak dakwaan bahawa layang-layang itu merupakan ancaman keselamatan.

Jurucakap Hamas, Encik Hazem Qassem, menyifatkan ancaman Israel sebagai berdasarkan “alasan yang direka-reka” untuk mewajarkan serangan lanjut ke atas Gaza.

menurutnya, layang-layang tersebut tidak lebih daripada “permainan kanak-kanak di kem pemindahan”.

Encik Qassem turut menggesa pemerintahan Amerika, negara pengantara, negara penjamin dan Lembaga Keamanan supaya memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan serangan serta memastikan gencatan senjata terus dipatuhi.

Isu layang-layang mendapat perhatian khusus di Israel kerana ia pernah digunakan bersama bahan pembakar dalam ketegangan terdahulu di sempadan Gaza.

Layang-layang dan belon pembakar pernah diterbangkan dari Gaza sehingga menyebabkan kebakaran di kawasan pertanian serta tanah lapang di Israel.

Keadaan kali ini bagaimanapun berbeza apabila layang-layang yang diperiksa tidak membawa bahan pembakar atau letupan.

Ancaman Israel itu muncul ketika gencatan senjata di Gaza yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025 terus berdepan tekanan susulan serangan dan kejadian keselamatan yang berulang.

Menurut data Kementerian Kesihatan Palestin, 1,288 rakyat Palestin terbunuh dan 4,290 lagi cedera dalam serangan Israel sejak gencatan senjata berkuat kuasa.

Perang Gaza yang bermula pada Oktober 2023 pula telah mengorbankan lebih 73,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 174,000 yang lain, selain memusnahkan sebahagian besar prasarana awam di wilayah itu.

Ketegangan terkini berhubung layang-layang kini menambah cabaran kepada Lembaga Keamanan dan negara pengantara dalam usaha mengekalkan gencatan senjata, terutama ketika Israel memberi amaran bahawa serangan lebih besar boleh dilancarkan sekiranya isu itu tidak diselesaikan. – Agensi berita.