BEIRUT: Pihak berkuasa Lebanon mengesahkan bahawa serangan udara oleh tentera Israel telah menyasarkan pangkalan kumpulan Hezbollah di negara itu mengakibatkan hampir 500 orang terkorban, termasuk 35 kanak-kanak.
Selain itu, seramai 1,645 orang dilaporkan cedera dalam serangan yang berlaku di beberapa kawasan di Lebanon.
Tentera Israel telah melancarkan serangan udara paling dahsyat dalam beberapa dekad ke atas sasarannya, Hezbollah di Lebanon, pada 23 September, membunuh 492 orang dan menyebabkan puluhan ribu penduduk terpaksa melarikan diri.
Selepas beberapa pertempuran rentas sempadan yang paling berat sejak permusuhan berlaku pada Oktober, Israel memberi amaran kepada penduduk di Lebanon supaya mengosongkan kawasan yang didakwanya menjadi tempat simpanan senjata Hezbollah.
Dalam kenyataan pendek menerusi video yang ditujukan kepada rakyat Lebanon, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata:
“Israel berperang bukan dengan kamu tetapi dengan Hezbollah. Sudah terlalu lama Hezbollah menggunakan kamu sebagai perisai manusia.”
Serangan Israel itu menyaksikan para penduduk di selatan melarikan diri dengan menggunakan kereta, van dan trak yang sarat membawa barangan dan penumpang menuju ke utara.
Ia menyebabkan lebuh raya ke utara Lebanon sesak.
Encik Nasser Yassin, menteri Lebanon yang menyelaras tindak balas krisis, menyatakan sebanyak 89 tempat perlindungan sementara di sekolah dan kemudahan lain telah diaktifkan, dengan kapasiti menampung lebih 26,000 orang.
Selepas hampir setahun berperang menentang Hamas di Gaza di sempadan selatannya, Israel mengalihkan tumpuannya ke sempadan utara, tempat Hezbollah melancarkan roket ke Israel bagi menyokong Hamas.
Tentera Israel berkata ia menyerang 1,600 sasaran Hezbollah di selatan, timur dan utara Lebanon dengan memusnahkan “pelancar roket, pos komando dan prasarana mereka”.
Seorang pegawai Lebanon berkata ia adalah angka kematian harian tertinggi akibat keganasan sejak perang saudara dari 1975 hingga 1990.
Serangan terbaru itu telah menimbulkan kebimbangan bahawa Amerika Syarikat, sekutu rapat Israel, dan Iran akan diheret ke dalam perang yang lebih luas.
Arab Saudi menggesa semua pihak supaya menahan diri, lapor agensi berita negara, SPA.
Seorang pegawai kanan Jabatan Negara Amerika berkata pihaknya tidak menyokong peningkatan rentas sempadan antara Israel dengan Hezbollah dan akan membincangkan “idea konkrit” dengan sekutu dan rakan kongsi untuk menghalang perang daripada meluas.
Pegawai Israel berkata peningkatan serangan itu bertujuan memaksa kumpulan yang bersekutu dengan Iran supaya bersetuju dengan penyelesaian diplomatik.
Di New York, Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, berkata Israel mahu mengheret Timur Tengah ke dalam perang besar-besaran dengan menghasut Iran untuk menyertai konflik Israel-Hezbollah.
Di Washington, Pentagon akan menghantar tentera tambahan ke Timur Tengah ketika ketegangan terus meningkat di Lebanon.
Mereka akan membantu melindungi beribu-ribu rakyat Amerika yang ditempatkan di sana.
Setiausaha akhbar Pentagon, Mejar Jeneral Patrick S. Ryder, enggan menyatakan dengan tepat jumlah tentera yang ditempatkan, memetik faktor keselamatan operasi. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg