SIDON (Lebanon): Lebuh raya utara Lebanon sesak apabila para penduduk dari selatan melarikan diri ketika Israel melancarkan pengeboman besar-besaran pada 23 September.
Kereta, van dan trak pikap yang tidak terkira banyaknya dimuatkan dengan barang-barang, penumpang dan sesetengah daripada mereka hanya mengambil barang-barang penting ketika melarikan diri.
“Apabila serangan berlaku pada waktu pagi, saya segera mengambil semua dokumen penting dan keluar dari rumah. Ia begitu menakutkan,” kata Encik Abed Afou, yang kampungnya di Yater teruk dibedil ekoran serangan Israel.
Israel dan kumpulan Hezbollah Lebanon telah bertukar-tukar tembakan merentasi sempadan sejak perang di Gaza meletus pada 7 Oktober.
Tetapi, Israel telah mempergiat kempen ketenteraannya – sesuatu yang dibimbangi boleh mencetuskan perang.
Ketika pengeboman semakin meluas ke lebih banyak bahagian di Lebanon, para penduduk menerima panggilan telefon yang dirakamkan bagi pihak tentera Israel, memberitahu mereka supaya meninggalkan rumah demi keselamatan mereka sendiri.
Encik Afou, yang menetap di Yater, sekitar 5 kilometer dari sempadan Israel, memutuskan untuk keluar ketika letupan mula berlaku di sekitar rumah kediaman di daerah itu.
Keluarga Encik Afou yang terdiri daripada tiga anak lelaki berusia enam hingga 13 tahun dan beberapa saudara lain, terperangkap dalam kesesakan di lebuh raya menghala ke utara.
Mereka tidak tahu di manakah mereka akan tinggal, katanya, tetapi mereka hanya mahu sampai ke Beirut.
Seorang penumpang lelaki dalam sebuah kereta, kedengaran menjerit melalui tingkap:
“Kami akan kembali. Insya-Allah kami akan kembali. Beritahu (Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu), bahawa kami akan kembali.”
Kementerian Kesihatan Lebanon berkata lebih 270 orang terbunuh dalam pengeboman Israel itu dan seorang pegawai berkata ia adalah yang terburuk sejak tamat perang saudara pada 1990.
Israel berkata ia telah menyerang kira-kira 800 sasaran yang berkaitan dengan Hezbollah dan bangunan yang disasarkan menyimpan senjata milik kumpulan itu.
“Pengeboman besar-besaran ini tidak pernah kami saksikan dalam semua peperangan sebelum ini,” kata Encik Abu Hassan Kahoul, juga melarikan diri ke Beirut bersama keluarganya, selepas dua bangunan berhampiran blok pangsapuri tempat tinggalnya musnah.
Malah di Beirut, kebimbangan semakin meningkat, dan ibu bapa bergegas mengambil anak-anak mereka dari sekolah ketika Israel memberi amaran tentang lebih banyak serangan.
“Keadaan tidak menenangkan,” kata seorang lelaki bernama Issa, yang datang untuk mengambil seorang pelajar. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg