BEIRUT: Kumpulan bersenjata Hezbollah mengesahkan ketua perhubungan medianya, Mohammad Afif, terbunuh dalam serangan Israel ke atas sebuah bangunan di tengah Beirut pada 17 November.
Israel jarang menyerang kakitangan kanan Hezbollah yang tidak mempunyai peranan ketenteraan yang jelas dan serangan udaranya kebanyakannya menyasarkan kawasan pinggir selatan Beirut yang menempatkan paling ramai anggota kumpulan itu.
Tentera Israel, yang sebelum ini enggan mengulas, mengeluarkan kenyataan bahawa ia telah “menghapuskan” Encik Afif.
Kementerian Kesihatan Lebanon berkata serangan itu telah membunuh seorang dan mencederakan tiga yang lain.
Serangan berasingan Israel pada hari yang sama disasarkan ke atas Mar Elias, satu lagi kawasan tengah yang jarang menjadi sasaran bom Israel.
Dua orang terbunuh dan 22 yang lain cedera dalam serangan tersebut.
Sumber keselamatan Lebanon berkata sebuah bangunan pejabat Parti Ba’ath telah diserang dan ketua parti itu, Encik Ali Hijazi, memberitahu stesen penyiar Lebanon, Al-Jadeed bahawa Encik Afif berada di dalam bangunan itu.
Encik Afif adalah penasihat media kepada Setiausaha Agung Hezbollah, Encik Hassan Nasrallah, yang terbunuh dalam serangan udara Israel di pinggir selatan Beirut pada 27 September.
Beliau menguruskan stesen televisyen Al-Manar Hezbollah selama beberapa tahun sebelum mengambil alih tugas di pejabat media kumpulan itu.
Dalam komen terbarunya kepada pemberita pada 11 November, Encik Afif berkata tentera Israel tidak dapat menguasai mana-mana wilayah di Lebanon dan Hezbollah mempunyai senjata dan bekalan yang mencukupi untuk perang yang panjang.
Hezbollah dan Israel telah saling membedil satu sama lain sejak lebih setahun lalu apabila kumpulan itu mula melancarkan roket ke sasaran tentera Israel pada 8 Oktober 2023 – sehari selepas sekutu Palestinnya Hamas menyerang selatan Israel, membunuh sekitar 1,200 orang.
Pada akhir September, Israel meluaskan kempen ketenteraannya di Lebanon, mengebom selatan dan timur, serta pinggir selatan Beirut di samping pencerobohan darat di sempadan.
Kempen ketenteraan Israel di Lebanon telah membunuh 3,841 orang dan mencederakan hampir 15,000 yang lain, kata Kementerian Kesihatan Lebanon.
Sementara itu, penduduk Gaza terus berdepan penderitaan selepas lebih 400 hari perang, dengan Israel menyerang sebuah bangunan bertingkat di utara Beit Lahiya menempatkan penduduk yang dipindahkan secara paksa, menyebabkan sekurang-kurangnya 50 rakyat Palestin maut.
Ramai lagi mangsa dilaporkan masih tersepit dan terperangkap di bawah runtuhan kerana tentera Israel tidak membenarkan pasukan penyelamat dan paramedik memasuki kawasan berkenaan.
Operasi mencari dan menyelamat kini hanya dilakukan oleh penduduk setempat dan anggota Bulan Sabit Merah yang kebetulan berada di sana.
Sejak Oktober, tentera Israel menghalang pasukan Pertahanan Awam, perubatan dan bantuan kemanusiaan daripada memasuki kawasan utara Gaza.
Serangan terbaru itu berlaku selepas pembunuhan besar-besaran yang menyaksikan sejumlah 111 orang di Gaza dilaporkan maut akibat bedilan tentera Israel 16 November.
Sementara itu, Ketua Gereja Katolik, Paus (Pope) Francis, menggesa siasatan terhadap dakwaan pembunuhan beramai-ramai di Gaza dan buat kali pertama menggunakan ungkapan ‘genosid’ terhadap keganasan yang dilakukan Israel terhadap penduduk Palestin.
Gesaan itu adalah kenyataan paling tegas dikeluarkan oleh beliau setakat ini mengenai tindakan Israel, seperti yang diterbitkan dalam petikan buku baharu beliau.– Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg