WASHINGTON: Israel dan Lebanon memulakan pusingan baharu rundingan di Washington pada 23 April, dengan Beirut dijangka memohon lanjutan gencatan senjata selama sebulan ketika tempoh perjanjian sedia ada hampir tamat.

Seorang pegawai Lebanon berkata negara itu akan mengemukakan beberapa tuntutan utama dalam rundingan tersebut. “Lebanon akan memohon lanjutan gencatan senjata selama sebulan, penghentian pengeboman Israel di kawasan yang diduduki, serta komitmen jelas terhadap gencatan senjata,” katanya.

Rundingan itu dikendalikan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, yang akan mempertemukan Duta Israel ke Amerika, Encik Yechiel Leiter, dan Duta Lebanon ke Amerika, Cik Nada Hamadeh Moawad.

Turut hadir ialah Duta Amerika ke Lebanon, Encik Michel Issa, manakala Duta Amerika ke Israel, Encik Mike Huckabee, dijangka menyertai pertemuan itu.

Rundingan ini menyusul pertemuan pertama pada 14 April, yang merupakan dialog langsung pertama antara kedua-dua negara sejak 1993.

Menjelang rundingan, Menteri Luar Israel, Encik Gideon Saar berkata negara itu tidak mempunyai “perbezaan serius” dengan Lebanon. “Halangan kepada keamanan dan normalisasi antara kedua-dua negara hanya satu, iaitu Hezbollah,” katanya sambil menggesa kerjasama menentang kumpulan tersebut.

Hezbollah yang disokong Iran tidak terlibat dalam rundingan dan menentang proses tersebut.

Walaupun gencatan senjata sedang berkuat kuasa, serangan masih berlaku di lapangan.
Serangan Israel pada 22 April dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang di Lebanon, termasuk seorang wartawan, Encik Amal Khalil.

Akhbar tempatan Al-Akhbar melaporkan seorang lagi wartawan, Cik Zeinab Faraj, turut cedera dalam serangan tersebut.

Israel menyatakan bahawa di bawah syarat gencatan senjata, pihaknya berhak bertindak terhadap “serangan yang dirancang, hampir berlaku atau sedang berlangsung”.

Konflik antara Israel dan Hezbollah telah berlarutan lebih enam minggu, dengan sekurang-kurangnya 2,454 orang terbunuh dan kira-kira satu juta penduduk kehilangan tempat tinggal, menurut pihak berkuasa Lebanon.

Hezbollah sebelum ini melancarkan serangan roket ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei, oleh AS dan Israel. Sebagai tindak balas, Israel melancarkan serangan udara besar-besaran dan pencerobohan darat di selatan Lebanon.

Tentera Israel kini masih berada di puluhan kampung di selatan Lebanon di sepanjang “Garis Kuning”, iaitu zon keselamatan sedalam 10 kilometer dari sempadan.

Sementara itu, Hezbollah mendakwa pihaknya melancarkan serangan balas ke utara Israel sebagai tindak balas terhadap “pelanggaran jelas” gencatan senjata oleh Israel.

Presiden Lebanon, Encik Joseph Aoun berkata usaha sedang dijalankan untuk melanjutkan tempoh gencatan senjata. “Perhubungan sedang dilakukan untuk melanjutkan tempoh gencatan senjata,” katanya.

Gencatan senjata selama 10 hari sebelum ini diumumkan oleh Amerika Syarikat selepas rundingan pertama, dan dijadualkan tamat pada 26 April.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan lanjutan tanpa had terhadap gencatan senjata dengan Iran yang berkuat kuasa sejak 8 April. Langkah itu dilihat sebagai usaha memberi ruang kepada rundingan diplomatik bagi menamatkan konflik serantau yang semakin meluas. - Agensi berita