BEIRUT: Serangan udara yang dilancarkan Israel terhadap kumpulan bersenjata Hezbollah telah mengorbankan ratusan nyawa di Lebanon, menandakan meningkatnya serangan paling dahsyat dalam konflik rentas sempadan dalam beberapa dekad.
Hezbollah, sebuah kumpulan politik dan bersenjata yang berpengaruh dalam kalangan masyarakat Syiah di Lebanon, bertindak balas dengan melancarkan ratusan roket ke wilayah utara Israel.
Tindakan itu meningkatkan kebimbangan perang di Gaza berpotensi merebak menjadi konflik serantau yang lebih meluas.
Hezbollah bukan sekadar kumpulan bersenjata, malah juga parti politik yang mempunyai pengaruh besar dalam Parlimen dan pemerintah Lebanon.
Sejak penubuhannya pada 1980-an, Hezbollah menjadi terkenal sebagai gerakan yang membangkang Israel, terutama ketika negara tersebut menduduki selatan Lebanon semasa perang saudara Lebanon (1975-1990).
Hezbollah dan Israel terlibat dalam ketegangan berpanjangan sejak beberapa dekad.
Hezbollah, yang muncul pada 1980-an sebagai tindak balas kepada pendudukan Israel di Lebanon, sering bertempur dengan tentera Israel. Pertubuhan itu mendapat sokongan kuat dari Iran dan dianggap sebagai proksi utama Iran dalam konflik di rantau Timur Tengah.
Kumpulan itu bukan kali pertama berdepan dengan Israel.
Pada 2006, satu peperangan penuh meletus antara Hezbollah dengan Israel selepas serangan rentas sempadan oleh Hezbollah, yang menyebabkan kematian ramai askar Israel.
Ketika itu, Israel melancarkan serangan darat ke Lebanon untuk memusnahkan ancaman daripada Hezbollah.
Namun, peperangan tersebut berakhir dengan sekitar 1,000 kematian dalam kalangan orang awam Lebanon.
Walaupun Hezbollah mendakwa kemenangan dalam konflik itu, ia terus mengumpulkan senjata dan meningkatkan kekuatan tenteranya.
Sejak beberapa bulan terakhir, Hezbollah telah meningkatkan serangan terhadap utara Israel dengan roket dan dron sebagai tanda perpaduan dengan Hamas, yang sedang berperang dengan Israel di Gaza.
Sebelum kematiannya pada 27 September, pemimpin Hezbollah, Encik Hassan Nasrallah, telah secara terbuka menyatakan bahawa Hezbollah tidak akan menghentikan serangan sehingga Israel dan Hamas mencapai perjanjian bagi mengakhiri perang di Gaza.
Ketika jet Israel menyerang kubu kuat Hezbollah di selatan ibu negara Lebanon, Encik Nasrallah dianggap sebagai orang paling berkuasa di negara itu.
Selama lebih tiga dekad, beliau mengetuai gerakan yang disokong oleh Iran yang juga musuh ketat Israel
Sejak 8 Oktober 2023, serangan rentas sempadan yang jarang berlaku antara Israel dengan Hezbollah bertambah buruk, didorong oleh serangan tidak dijangka Hamas ke atas Israel yang mencetuskan perang di Gaza.
Hezbollah mula melancarkan serangan terhadap kedudukan tentera Israel sebagai perpaduan dengan rakyat Palestin di Gaza.
Setakat ini, lebih 8,000 roket telah dilancarkan ke arah utara Israel dan Bukit Golan yang diduduki Israel, manakala Israel membalas dengan serangan udara dan artileri ke sasaran Hezbollah di Lebanon.
Kedua-dua pihak terus saling berbalas serangan, menyebabkan lebih 70,000 penduduk utara Israel dan lebih 110,000 penduduk di sebelah Lebanon dipindahkan.
Di tengah-tengah konflik itu, serangan roket yang mengorbankan 12 kanak-kanak di Bukit Golan pada Julai 2023 menambahkan ketegangan.
Walaupun Hezbollah menafikan penglibatan dalam serangan itu, Israel menuding jari ke arah kumpulan tersebut.
Hezbollah bukan sahaja memiliki kekuatan politik, malah juga salah satu pasukan bersenjata bukan negara yang paling kuat di dunia.
Disokong Iran, Hezbollah dilaporkan mempunyai antara 20,000 dengan 50,000 anggota, ramai daripadanya dilatih dan berpengalaman dalam peperangan, termasuk dalam konflik Syria.
Organisasi itu juga mempunyai sekitar 120,000 hingga 200,000 roket dan peluru berpandu, termasuk peluru berpandu antikereta kebal, antikapal, dan peluru berpandu yang mampu menyerang jauh ke dalam Israel.
Walaupun Hamas di Gaza lebih terkenal dalam konteks konflik Palestin-Israel, Hezbollah mempunyai senjata yang lebih canggih dan lebih berkemampuan untuk mencetuskan ancaman besar kepada Israel.
Encik Nasrallah, yang dibunuh Israel dalam satu serangan udara di Beirut, merupakan tokoh penting yang membangunkan Hezbollah menjadi kuasa politik dan memiliki keupayaan tentera.
Hezbollah menjalin hubungan rapat dengan Iran dan kehilangan Encik Nasrallah menimbulkan persoalan mengenai masa depan kepimpinan Hezbollah.
Peningkatan serangan antara Israel dengan Hezbollah bukan sahaja memberi kesan kepada kedua-dua negara itu, malah juga menambah tekanan kepada situasi politik serantau.
Iran, sebagai penyokong utama Hezbollah, kini berada di persimpangan antara tindak balas terhadap serangan terhadap sekutu kuatnya atau mengambil pendekatan lebih berhati-hati bagi mengelak konfrontasi langsung dengan Israel dan sekutunya, termasuk Amerika Syarikat.
Serangan itu turut membawa perubahan besar kepada dinamik di Timur Tengah.
Setiap kali Israel melancarkan serangan balas terhadap Hezbollah, potensi tercetusnya perang berskala penuh semakin meningkat.
Dengan ribuan orang awam yang terkorban di kedua-dua belah sempadan, konflik itu mencetuskan kebimbangan bukan sahaja di Lebanon dan Israel, malah juga dalam kalangan kuasa dunia yang mempunyai kepentingan di Timur Tengah.
Dengan anggaran hampir 800 orang terbunuh dan kira-kira 90,000 orang dipindahkan sejak 23 September 2023, termasuk banyak kematian dalam kalangan kanak-kanak, konflik itu terus memperlihatkan keganasan peperangan yang tidak mengenal batas.
Israel, yang terus menguatkan serangan balasnya, menegaskan matlamat utamanya adalah untuk menewaskan Hezbollah dan memastikan keselamatan di wilayah utara Israel yang terjejas.
Serangan udara Israel ke atas Hezbollah telah membuka satu lagi bab dalam sejarah konflik panjang di Timur Tengah.
Dengan Hezbollah yang kian menunjukkan kekuatan ketenteraan dan Israel yang tiada tanda bakal berundur, rantau itu berada di ambang krisis yang lebih besar.
Peperangan itu tidak hanya akan menentukan nasib Lebanon dan Israel, bahkan juga masa depan politik serantau yang semakin rumit. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg