BEIRUT: Lebanon pada 23 Disember menepis tuduhan Israel bahawa seorang askar Lebanon yang terbunuh dalam serangan udara berhampiran bandar selatan Sidon mempunyai kaitan dengan Hezbollah.
Israel menyatakan demikian setelah ia menyerang tiga militan yang berusaha untuk membangunkan semula infrastruktur kumpulan itu.
Menurut tentera Israel, ketiga-tiga lelaki itu terlibat dalam merancang serangan terhadap pasukannya dengan dua daripada mereka adalah anggota unit pertahanan udara Hezbollah.
Ia juga mendakwa bahawa salah seorang daripada mereka yang terbunuh sedang berkhidmat secara serentak dalam perisikan tentera Lebanon.
Tentera Lebanon kemudian mengesahkan bahawa Pegawai Waran Ali Abdullah dari Briged Sokongan dan Rejimen Anti-Kereta Kebal maut dalam serangan udara Israel ke atas sebuah kenderaan berhampiran Sidon pada 22 Disember.
Kementerian Pertahanan Lebanon menyatakan bahawa dakwaan bahawa anggota tenteranya terlibat dengan kumpulan politik atau bersenjata adalah palsu.
Menteri Pertahanan Lebanon, Encik Michel Menassa, menyatakan laporan sedemikian merupakan “serangan berniat jahat” terhadap institusi itu.
Seorang pegawai Hezbollah juga menafikan sebarang kaitan antara kumpulan itu dengan anggota tentera Lebanon.
Usaha diplomatik diteruskan untuk mengukuhkan gencatan senjata yang rapuh di sepanjang sempadan Israel-Lebanon.
Gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat dan dipersetujui pada November 2024, telah menamatkan pertempuran selama lebih setahun antara Israel dengan Hezbollah.
Antara lain perjanjian gencatan senjata itu menetapkan pelucutan senjata Hezbollah, kumpulan yang bersekutu dengan Iran, bermula di kawasan selatan sungai bersebelahan dengan Israel.
Pada 23 Disember, tentera Lebanon berkata ia hampir selesai melaksanakan fasa pertama rancangannya serta sedang menilai dan merancang peringkat seterusnya dengan mengambil kira semua keadaan dan perkembangan yang berkaitan.
Israel telah berulang kali menuduh Hezbollah cuba membangunkan semula infrastruktur ketenteraan di selatan Lebanon, dengan menyatakan aktiviti sedemikian melanggar persefahaman dalam mengawal sempadan Israel-Lebanon.
Sebuah jawatankuasa yang menyelia gencatan senjata Hezbollah-Israel berkata minggu lalu bahawa ia memberi tumpuan kepada pemulangan orang awam yang kehilangan tempat tinggal ke rumah masing-masing.
Langkah tersebut dibuat di tengah-tengah kebimbangan bahawa ketegangan boleh meletus jika tarikh akhir penghujung tahun untuk Hezbollah melucutkan senjata tidak dipenuhi.
Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil) telah merekodkan lebih 7,500 pelanggaran ruang udara oleh Israel dan hampir 2,500 pelanggaran darat di sepanjang gencatan senjata berlangsung. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg