Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Setahun gencatan senjata Israel-Hezbollah kekal rapuh

Dec 8, 2025 | 5:30 AM
 Anggota tentera Lebanon berkawal berhampiran pintu masuk terowong semasa lawatan media di kampung Zibqin, berhampiran sempadan dengan Israel di selatan Lebanon, 28 November. Lawatan itu bertujuan menunjukkan tentera Lebanon mengekalkan kawalan di selatan Sungai Litani dan beroperasi secara bebas daripada Hezbollah, meskipun serangan Israel telah memusnahkan kira-kira 20 pos kawalannya.
Anggota tentera Lebanon berkawal berhampiran pintu masuk terowong semasa lawatan media di kampung Zibqin, berhampiran sempadan dengan Israel di selatan Lebanon, 28 November. Lawatan itu bertujuan menunjukkan tentera Lebanon mengekalkan kawalan di selatan Sungai Litani dan beroperasi secara bebas daripada Hezbollah, meskipun serangan Israel telah memusnahkan kira-kira 20 pos kawalannya. - Foto EPA

BEIRUT: Tarikh 27 November 2025 menandakan genap setahun gencatan senjata antara Israel dan Hezbollah di Lebanon.

Namun selepas 12 bulan, satu persoalan besar masih menghantui rantau itu – siapakah yang sebenarnya menguasai keadaan: usaha Israel menggagalkan kebangkitan Hezbollah atau kemampuan Hezbollah membina semula kekuatan ketenteraan dan politiknya?

Sepanjang tempoh gencatan senjata,  Angkatan Pertahanan Israel (IDF) terus menjalankan operasi harian sebagai tindak balas kepada dakwaan pelanggaran oleh Hezbollah serta aktiviti pemulihan kumpulan itu di selatan Lebanon.

Serangan udara Israel, termasuk ke atas Beirut, menjadi sebahagian daripada corak serangan berulang ke atas kampung Lebanon, satu tindakan yang jelas bercanggah dengan syarat gencatan senjata.

Cik Maureen Philippon, Pengarah Negara Majlis Pelarian Norway (NRC) di Lebanon, menggambarkan suasana ketakutan yang berterusan dalam kalangan penduduk.

“Di seluruh Lebanon, keluarga hidup dalam ketakutan berterusan: serangan udara boleh berlaku pada bila-bila masa berhampiran rumah mereka, sekolah anak-anak mereka, atau di jalan menuju ke tempat kerja. Selama setahun, serangan udara dan tembakan berterusan walaupun perjanjian gencatan senjata dilaksanakan. Ini bukan rupa sebenar gencatan senjata,” katanya.

Walaupun perjanjian itu berkuat kuasa pada akhir 2024, keadaan keselamatan di Lebanon terus merosot.

Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil) telah merekodkan lebih 7,500 pelanggaran ruang udara oleh Israel dan hampir 2,500 pelanggaran darat – satu tindakan yang digambarkan oleh Pelapor Khas PBB itu sebagai “pengabaian total terhadap perjanjian gencatan senjata”.

Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) Lebanon pula melaporkan lebih 13 kanak-kanak terbunuh dan 146 cedera sejak gencatan senjata bermula.

Sepanjang tahun itu, PBB mendokumenkan empat insiden tembakan peluru berpandu oleh kumpulan bersenjata Lebanon ke arah Israel, namun tiada yang menyebabkan kematian.

Cik Philippon mengingatkan bahawa impak peperangan tidak hanya bersifat fizikal.

“Selain kesan fizikal, luka psikologi amat dalam dan berkekalan. Rakyat Lebanon hidup dalam kebimbangan berterusan kerana mereka tidak tahu bila konflik besar-besaran boleh meletus semula. Setahun berlalu, keluarga di Lebanon berhak mendapat lebih daripada gencatan rapuh atas kertas. Mereka berhak mendapat keselamatan dan peluang sebenar untuk membina semula kehidupan,” katanya.

Lebih 64,000 penduduk Lebanon masih tidak dapat kembali ke rumah mereka akibat kemusnahan meluas atau risiko keselamatan.

Di sebuah sekolah di kampung sempadan, usaha membuka semula sesi pembelajaran hampir gagal apabila hanya 56 pelajar mendaftar, berbanding kira-kira 200 sebelum konflik – bukti jelas perpindahan berterusan penduduk.

Serangan Israel memusnahkan rumah, sekolah dan infrastruktur awam.

Malah, terdapat serangan ke atas usaha pembinaan semula termasuk jentera pembinaan, yang dilihat sebagai cubaan disengajakan untuk melambatkan pemulihan Lebanon.

NRC mendesak semua pihak mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk perlindungan orang awam, infrastruktur awam dan larangan menyebabkan penderitaan yang tidak perlu.

“Rakyat Lebanon berhak mendapat keamanan, bukan setahun lagi hidup dalam ketakutan,” tegas Cik Philippon.

Gencatan senjata itu menamatkan perang 13 bulan yang mengorbankan 4,000 rakyat Lebanon dan 120 rakyat Israel.

Konflik yang bermula selepas Hezbollah melepaskan roket sehari selepas serangan Israel terhadap Gaza pada 7 Oktober 2023 membawa rantau itu ke tepi jurang peperangan besar-besaran.

Gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat dan Perancis itu mewajibkan Hezbollah memindahkan anggota dan senjata ke utara Sungai Litani, manakala tentera Israel perlu berundur dari kawasan selatan Lebanon yang mereka duduki.

Tentera Lebanon pula dihantar ke kawasan yang sebelum ini dikuasai Hezbollah.

Setahun kemudian, tentera Israel masih menguasai sekurang-kurangnya lima kawasan tinggi di selatan Lebanon dan terus melancarkan serangan udara serta dron ke atas sasaran yang didakwa berkaitan Hezbollah.

Pada November, Israel membunuh ketua staf Hezbollah bersama empat yang lain di kawasan Dahieh, luar Beirut.

Israel menuduh Hezbollah membina semula kemampuan ketenteraan di selatan Litani dan cuba menyeludup senjata ke Lebanon sambil meningkatkan pengeluaran dron letupan.

Namun setakat ini, Israel belum mengemukakan bukti awam.

Unifil berkata Israel telah melakukan lebih 10,000 pelanggaran udara dan darat sepanjang gencatan senjata.

Kementerian Kesihatan Lebanon pula melaporkan lebih 330 kematian akibat serangan Israel pada 2025, termasuk orang awam.

Encik Israel Katz, Menteri Pertahanan Israel, memberi amaran keras: “Hezbollah sedang bermain api, dan Presiden Lebanon bergerak terlalu perlahan.”

Presiden Lebanon, Encik Joseph Aoun, yang memegang jawatan pada Januari lalu, berikrar memastikan “monopoli negara ke atas senjata”, yang bermaksud melucutkan senjata Hezbollah.

Namun realitinya lebih kompleks.

Hezbollah bukan sekadar militia; ia juga parti politik berpengaruh dengan kerusi di Parlimen serta rangkaian sosial yang menyediakan perkhidmatan penting.

Unifil pula berkata mereka tidak melihat aktiviti ketenteraan Hezbollah atau usaha membina semula infrastruktur yang melanggar perjanjian.

Hezbollah pula menafikan dakwaan Israel dan menegaskan bahawa perjanjian gencatan hanya terpakai di selatan Litani.

Hezbollah tidak menembak ke arah Israel sejak gencatan bermula, kecuali beberapa mortar ke kawasan Shebaa Farms sebagai tindak balas terhadap pelanggaran Israel.

Di kampung Beit Lif, penduduk bimbang dengan amaran IDF bahawa terdapat “puluhan infrastruktur pengganas” di kawasan mereka.

Mereka memohon tentera Lebanon segera dikerahkan.

Seorang imam tempatan berkata tentera tiba bersama Unifil tetapi hanya berkawal selama lima jam sebelum beredar.

Tentera enggan memeriksa rumah penduduk, bimbang dilihat bekerjasama dengan Israel.

Beberapa penduduk yang ditemui meluahkan rasa penat dan takut.

Seorang daripada mereka berkata: “Hezbollah perlu membuat keputusan sama ada membalas Israel atau menerima kekalahan, meletakkan senjata dan biarkan kami teruskan hidup. Ini tidak boleh berlarutan.”

Dalam ucapan televisyen pada 28 November, Setiausaha Agung Hezbollah, Encik Naim Qassem, memberi amaran bahawa setiap tindakan Israel mempunyai had.

“Kami tidak akan sekali-kali menyerahkan senjata kami, ia sumber kekuatan kami. Musuh mahu memadamkan hidup kami, tetapi kami akan kekal teguh. Kami akan hidup dengan maruah atau mati dengan maruah,” katanya.

Setahun selepas gencatan senjata, realiti di Lebanon semakin jelas.

Serangan Israel berterusaan.

Negara Lebanon pula tidak berupaya menguatkuasakan pelucutan senjata, sementara penduduk hidup dalam ketakutan tanpa kepastian masa depan.

Gencatan senjata itu mungkin menamatkan peperangan berskala besar, tetapi ia gagal membawa keamanan sebenar kepada Lebanon. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg