ARAFAT: Lebih 1.6 juta jemaah Haji berhimpun di Padang Arafah pada 26 Mei bagi menunaikan wukuf, rukun kemuncak dan paling penting dalam ibadah Haji, dalam suasana penuh keinsafan bagi mengejar keampunan Allah swt dan mengharapkan doa masing-masing mustajab.

Jemaah dari seluruh dunia mula meninggalkan penginapan masing-masing di Makkah seawal pagi dengan menaiki bas yang disediakan pihak berkuasa Arab Saudi menuju ke Arafah yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Masjidil Haram untuk menghabiskan sepanjang hari dengan berdoa, membaca al-Quran, berzikir dan memohon keampunan sehingga matahari terbenam.

Ibadah wukuf yang juga satu daripada lima rukun haji dilaksanakan bermula selepas gelincir matahari atau masuknya waktu zuhur pada 9 Zulhijjah sehingga sebelum fajar iaitu sebelum subuh pada 10 Zulhijjah.

Nabi Muhammad saw pernah bersabda: “Haji itu adalah Arafah,” yang menunjukkan kepentingan besar ibadah tersebut dalam syariat Islam.

Ibadat wukuf sebagai mengingati kembali peristiwa di mana Nabi Adam as dan Hawa diturunkan ke bumi dari syurga atas sebab mengingkari perintah Allah swt dan terpedaya tipu daya iblis.

Padang Arafah menjadi lokasi jutaan umat Islam dari seluruh dunia berkumpul dengan pakaian ihram serba putih tanpa mengira bangsa, bahasa atau status sosial.

Ramai jemaah dilihat mengangkat tangan berdoa sambil menitiskan air mata dalam suasana penuh kerendahan hati dan pengharapan.

Pada tengah hari, khutbah Arafah disampaikan kepada jemaah sebagai peringatan mengenai kelebihan hari Arafah serta nilai keadilan, persamaan dan kesucian nyawa manusia yang pernah ditekankan Nabi Muhammad saw ketika khutbah wada pada tahun 632 Masihi.

Selepas khutbah, jemaah menunaikan solat Zuhur dan Asar secara jamak dan qasar mengikut sunah Rasulullah saw.

Kawasan Arafah turut menempatkan Jabal Rahmah atau Bukit Rahmah yang menjadi antara lokasi tumpuan utama jemaah untuk berdoa dan bermuhasabah.

Pihak berkuasa Arab Saudi menggerakkan pelan operasi besar-besaran bagi memastikan kelancaran pergerakan jemaah dan keselamatan di tanah suci.

Operasi itu melibatkan sistem kawalan orang ramai, pengangkutan, perkhidmatan kesihatan dan pasukan kecemasan di semua lokasi utama ibadah Haji.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, Brigadier Jeneral Talal bin Shalhoub, berkata ketibaan jemaah ke kota khemah Mina selesai dilaksanakan dengan lancar sebelum mereka bergerak ke Arafah.

“Pelan keselamatan Haji fasa pertama dilaksanakan dengan penuh koordinasi dan keadaan berjalan lancar,” katanya dalam sidang media tahunan Haji.

Beliau berkata pihak berkuasa turut memperketat penguatkuasaan terhadap pelanggaran peraturan haji.
Menurut beliau, seramai 231 individu ditahan kerana terlibat membawa jemaah tanpa permit Haji, manakala 246 kempen haji palsu berjaya dibongkar.

“Kami akan terus mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran peraturan,” katanya.

Dalam masa sama, cuaca panas melebihi 45 darjah Celsius terus menjadi cabaran utama kepada jemaah.

Pusat Meteorologi Nasional Arab Saudi melaporkan Mina mencatat suhu 45 darjah Celsius pada 25 Mei manakala Arafah sebelum ini merekodkan suhu sehingga 48 darjah Celsius.

Jurucakap pusat itu, Encik Hussein Al-Qahtani, menggesa jemaah mengelakkan pendedahan terus kepada cahaya matahari terutama pada waktu tengah hari. “Kami menasihatkan jemaah supaya minum air secukupnya, menggunakan payung dan mematuhi panduan kesihatan bagi mengurangkan risiko strok haba,” katanya.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Arab Saudi, Abdulaziz Al-Badawi, berkata sistem kesihatan negara itu berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi sepanjang musim Haji.

Beliau berkata setakat ini 28 kes keletihan akibat cuaca panas direkodkan dalam kalangan jemaah, namun kesemua mereka pulih dan dapat meneruskan ibadah.

“Keadaan kesihatan jemaah secara keseluruhannya stabil dan tiada wabak besar dilaporkan,” katanya.

Selepas matahari terbenam, jemaah mula bergerak ke Muzdalifah untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara jamak dan qasar sebelum bermalam di sana.

Mereka kemudian akan meneruskan ibadah melontar Jamrah di Mina serta tawaf ifadah dan tawaf wada dalam hari-hari terakhir ibadah haji.

Menurut angka rasmi, lebih 1.5 juta jemaah dari luar Arab Saudi tiba untuk menunaikan haji tahun 2026 ini, menjadikan musim Haji 1447H antara yang terbesar sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - Agensi berita