BRUSSELS: Lebih 100 pertubuhan masyarakat sivil dan hak asasi manusia menggesa Presiden Parlimen Eropah, Cik Roberta Metsola, mengecam kenyataan berbaur kebencian dan Islamofobia yang didakwa dibuat beberapa anggota Parlimen ketika membahaskan pengaruh Islam dalam institusi politik Eropah.

Gesaan itu dibuat menerusi surat terbuka yang turut disokong Amnesty Antarabangsa dan beberapa pertubuhan antiperkauman, susulan perbahasan Parlimen Eropah pada 7 Oktober lalu mengenai satu ketetapan yang menyasarkan dakwaan penyusupan kumpulan Islamis ke dalam institusi demokrasi Eropah.

Menurut pertubuhan terbabit, beberapa anggota Parlimen menggunakan bahasa menghina, menyebarkan prasangka terhadap umat Islam dan membuat kenyataan yang boleh menggalakkan diskriminasi agama.

Mereka mendakwa ada anggota Parlimen menggambarkan umat Islam sebagai golongan yang cuba menyusup masuk ke dalam sistem demokrasi Eropah secara tersembunyi untuk memperluaskan pengaruh agama.

Antara kenyataan yang dipersoalkan termasuk dakwaan bahawa umat Islam menyusup ke dalam institusi demokrasi seperti “racun yang merebak secara perlahan”.

Sebuah pertubuhan masyarakat sivil pimpinan Islam pula disifatkan sebagai “kuda Trojan”, merujuk kepada pihak yang didakwa menyembunyikan agenda tertentu di sebalik kegiatan yang kelihatan sah.

Surat itu turut membangkitkan kebimbangan terhadap gesaan beberapa anggota Parlimen supaya ruang solat ditutup, pemakaian tudung dan makanan halal diharamkan serta umat Islam yang didakwa mengutamakan al-Quran berbanding perlembagaan negara dihantar pulang.

Pertubuhan terbabit memberi amaran bahawa kenyataan sedemikian boleh meningkatkan kebencian terhadap masyarakat Islam yang sudah berdepan diskriminasi dan permusuhan di beberapa negara Eropah.

“Retorik ini terus menyemarakkan kebencian, menyebabkan jutaan penduduk di seluruh Eropah dipandang serong dan dianggap sebagai penjenayah hanya kerana agama atau asal usul mereka.

“Keadaan ini berlaku ketika masyarakat terbabit sudah berdepan peningkatan diskriminasi, permusuhan dan keganasan yang membimbangkan,” menurut surat itu.

Antara pertubuhan yang menjadi perhatian termasuk Forum Pertubuhan Belia dan Pelajar Islam Eropah (FEMYSO), yang disebut secara khusus dalam ketetapan Parlimen berkenaan.

Penandatangan surat itu menolak dakwaan bahawa FEMYSO cuba menyusup masuk ke dalam institusi Kesatuan Eropah (EU).

Mereka menegaskan bahawa pertubuhan tersebut sudah lama bekerjasama secara terbuka dengan institusi EU, termasuk menyertai Acara Belia Eropah sejak 2016.

FEMYSO juga pernah menganjurkan Hari Tindakan Eropah Menentang Islamofobia di bangunan Parlimen Eropah pada September 2026.

Menurut mereka, kegiatan sedemikian merupakan sebahagian daripada penyertaan masyarakat sivil dalam proses demokrasi dan tidak sepatutnya dianggap sebagai bukti penyusupan politik.

Surat itu turut mempertikaikan usaha menyasarkan Rangkaian Eropah Menentang Perkauman (ENAR), yang aktif memperjuangkan hak sama rata dan membanteras diskriminasi.

Pertubuhan terbabit mendakwa ketetapan Parlimen menggunakan tuduhan yang kabur dan tidak disokong bukti kukuh untuk mewajarkan sekatan terhadap akses serta pembiayaan pertubuhan masyarakat sivil.

Mereka turut menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan Suruhanjaya Eropah menarik balik pembiayaan struktur kepada ENAR.

Menurut mereka, tindakan menyekat dana boleh melemahkan usaha pertubuhan bebas yang memperjuangkan hak masyarakat minoriti.

Bagi menggambarkan masalah itu, pertubuhan berkenaan merujuk laporan Agensi Kesatuan Eropah bagi Hak Asasi (FRA) pada 2024.

Laporan tersebut mendapati 47 peratus responden Islam mengalami diskriminasi kaum dalam tempoh lima tahun sebelumnya.

Penandatangan surat itu menegaskan bahawa kenyataan anggota Parlimen yang didakwa menggalakkan diskriminasi bercanggah dengan prinsip kesaksamaan dan perlindungan hak asasi EU.

Mereka turut merujuk peraturan Parlimen Eropah serta Piagam Hak Asasi EU yang melarang diskriminasi berdasarkan agama atau asal usul.

Sehubungan itu, mereka menggesa Cik Metsola mengambil tindakan rasmi terhadap anggota Parlimen yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur kebencian.

Mereka juga meminta satu pertemuan diadakan dengan wakil FEMYSO, ENAR dan Kolektif Menentang Islamofobia di Eropah (CCIE) bagi membincangkan kesan ketetapan tersebut terhadap penyertaan umat Islam dalam kehidupan demokrasi.

Pertubuhan berkenaan menegaskan bahawa Parlimen Eropah perlu memastikan komitmennya terhadap kesaksamaan dan usaha membanteras diskriminasi dilaksanakan secara adil kepada semua masyarakat, termasuk umat Islam. – Agensi berita