BRUSSELS: Parlimen Eropah meluluskan resolusi yang menggesa Kesatuan Eropah (EU) mengambil tindakan lebih tegas terhadap pengaruh gerakan politik Islam, khususnya rangkaian Ikhwanul Muslimin, dalam institusi kerajaan, pertubuhan masyarakat dan program pembiayaan awam di seluruh Eropah.

Resolusi yang diluluskan pada 8 Oktober itu mendapat sokongan 381 anggota Parlimen Eropah, manakala 167 menentang dan 15 berkecuali, sekali gus menunjukkan sokongan majoriti terhadap usaha memperketat pemantauan kegiatan kumpulan yang didakwa cuba mempengaruhi institusi demokrasi Eropah.

Resolusi bertajuk Keperluan Strategi EU bagi Menangani Penyusupan Politik Islam dan Pengaruh Rangkaian Ikhwanul Muslimin itu menggesa negara anggota menyelaraskan tindakan bagi mengenal pasti kegiatan yang dianggap boleh melemahkan institusi demokrasi.

Antara langkah dicadangkan termasuk memperketat pemeriksaan terhadap pertubuhan bukan pemerintah (NGO), menyiasat sumber pembiayaan asing dan memastikan dana EU tidak disalurkan kepada organisasi yang mempunyai kaitan dengan gerakan ekstremis.

Resolusi itu turut meminta Majlis EU menilai sama ada individu dan pertubuhan yang mempunyai hubungan dengan Ikhwanul Muslimin memenuhi syarat untuk dimasukkan dalam senarai pengganas EU.

Bagaimanapun, kelulusan resolusi tersebut tidak bermakna Ikhwanul Muslimin secara automatik diisytiharkan sebagai organisasi pengganas di seluruh EU.

Sebarang keputusan mengenakan pengisytiharan itu perlu melalui proses undang-undang berasingan mengikut peraturan EU.

Resolusi tersebut juga menggesa siasatan terhadap rangkaian pembiayaan asing, termasuk yang didakwa mempunyai hubungan dengan Turkey dan Qatar, selain mencadangkan supaya akses kepada institusi EU disekat bagi organisasi tertentu yang dikaitkan dengan rangkaian Ikhwanul Muslimin.

Ia turut menyokong langkah negara anggota melaksanakan larangan pemakaian penutup muka di tempat awam, termasuk burka dan niqab.

Usul itu dikemukakan Parti Rakyat Eropah (EPP), dengan anggota Parlimen Eropah dari Perancis, Cik Celine Imart, memainkan peranan penting dalam mendapatkan sokongan terhadap resolusi berkenaan.

Cik Imart menegaskan bahawa usaha menangani pengaruh politik Islam tidak seharusnya disamakan dengan tindakan terhadap agama Islam atau kebebasan umat Islam mengamalkan kepercayaan mereka.

“Kita perlu memastikan Eropah tidak membiayai golongan Islamis,” katanya menjelang pengundian.

Beliau turut menggesa institusi EU memperketat penelitian terhadap organisasi yang menerima dana awam bagi memastikan wang pembayar cukai tidak digunakan untuk menyokong kegiatan yang dianggap bertentangan dengan nilai demokrasi.

Resolusi itu mendapat sokongan beberapa kumpulan politik berhaluan kanan dan tengah, termasuk Parti Rakyat Eropah (EPP), Konservatif dan Reformis Eropah (ECR), Patriot untuk Eropah (PfE) serta Negara-Negara Berdaulat Eropah (ESN).

Kumpulan liberal Perbaharui Eropah (Renew Europe) turut memberikan sokongan besar, dengan 62 daripada 67 anggotanya mengundi menyokong resolusi tersebut.

Anggota ECR, Encik Nicolas Bay, berkata langkah itu penting bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat rangkaian yang didakwa menggunakan NGO sebagai saluran untuk memperluas pengaruh politik.

Naib Presiden PfE, Cik Susanna Ceccardi, pula menyambut baik keputusan itu sambil menyifatkannya sebagai perubahan penting dalam pendekatan Eropah terhadap gerakan politik Islam.

Perkembangan tersebut menyusuli peningkatan kebimbangan beberapa negara Eropah mengenai pengaruh Ikhwanul Muslimin dalam institusi awam dan organisasi masyarakat.

Pada Mei 2025, pemerintah Perancis menerbitkan laporan yang membangkitkan kebimbangan mengenai rangkaian organisasi yang dikaitkan dengan gerakan itu.

Perhimpunan Kebangsaan Perancis kemudian menggesa pertimbangan terhadap kemungkinan mengisytiharkan Ikhwanul Muslimin sebagai organisasi pengganas di peringkat EU pada Januari 2026.

Bagaimanapun, resolusi terbaru itu turut mencetuskan bantahan kuat daripada kumpulan politik berhaluan kiri dan pertubuhan hak asasi manusia yang bimbang langkah berkenaan boleh menyebabkan masyarakat Islam menjadi sasaran diskriminasi.

Anggota Parlimen Eropah daripada Parti Sosialis Perancis, Cik Chloe Ridel, menuduh kumpulan berhaluan kanan menggunakan perbahasan tersebut untuk membangkitkan ketakutan terhadap masyarakat Islam.

Beliau menyifatkan sebahagian hujah yang dikemukakan sebagai hampir menyerupai teori konspirasi, walaupun mengakui ancaman penyusupan gerakan ekstremis ke dalam institusi awam perlu ditangani.

Rangkaian Eropah Menentang Perkauman (ENAR) pula mengecam resolusi itu sebagai bersifat perkauman dan Islamofobia.

Pertubuhan tersebut, bersama organisasi belia Islam FEMYSO, menolak dakwaan mengenai hubungan mereka dengan Ikhwanul Muslimin dan memberi amaran bahawa pemeriksaan terhadap organisasi antiperkauman boleh menjejaskan kebebasan masyarakat sivil.

Walaupun menerima kritikan, resolusi itu menegaskan bahawa hak umat Islam untuk mengamalkan agama dan mendapat perlindungan daripada diskriminasi mesti terus dihormati.

Kelulusan tersebut dijangka meningkatkan tekanan politik terhadap Suruhanjaya Eropah dan Majlis EU supaya meneliti hubungan institusi dengan organisasi yang dipersoalkan, memperketat kawalan pembiayaan serta mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap rangkaian yang terbukti mengancam keselamatan dan institusi demokrasi.

Namun, pelaksanaan langkah berkenaan masih bergantung pada keputusan institusi EU dan negara anggota, termasuk penilaian undang-undang serta bukti terhadap individu atau organisasi yang disiasat. – Agensi berita