Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 11.2 juta jemaah tunai umrah pada suku akhir 2025
Lebih 11.2 juta jemaah tunai umrah pada suku akhir 2025
Saudi gantung 21 syarikat umrah akibat mutu perkhidmatan lemah
Lebih 11.2 juta jemaah tunai umrah pada suku akhir 2025
RIYADH: Arab Saudi terus mencatat perkembangan positif dalam sektor umrah apabila lebih 11.2 juta jemaah menunaikan ibadah itu sepanjang suku keempat 2025, menurut statistik terbaharu yang dikeluarkan oleh Penguasa Umum Statistik Arab Saudi (GASTAT).
Data rasmi menunjukkan seramai 11,291,326 jemaah menunaikan umrah dalam tempoh Oktober hingga Disember 2025, sekali gus mencerminkan pemulihan dan pertumbuhan berterusan sektor pelancongan Islam negara itu.
Daripada jumlah tersebut, seramai 5.7 juta jemaah tiba dari luar negara, manakala sekitar 5.6 juta lagi merupakan penduduk dalam Arab Saudi.
GASTAT berkata jemaah lelaki membentuk majoriti dengan 6.4 juta orang atau 56.8 peratus daripada keseluruhan jumlah jemaah, sementara wanita pula seramai 4.9 juta orang atau 43.2 peratus.
Bagi jemaah dalam negara, sebanyak 53.2 peratus terdiri daripada penduduk bukan warga Saudi, manakala 46.8 peratus adalah rakyat Arab Saudi sendiri.
“Angka ini menunjukkan sektor umrah terus berkembang dengan baik dan menjadi antara pemacu penting ekonomi serta sektor pelancongan Islam negara,” menurut laporan GASTAT.
Wilayah Makkah mencatat jumlah tertinggi dengan lebih dua juta jemaah, diikuti wilayah Riyadh yang merekodkan sekitar 1.1 juta jemaah.
Dalam kalangan jemaah antarabangsa pula, wanita mengatasi lelaki dengan membentuk 53 peratus daripada keseluruhan ketibaan dari luar negara.
Bulan Disember muncul sebagai tempoh paling sibuk bagi jemaah antarabangsa apabila lebih 2.1 juta orang menunaikan umrah, manakala November menjadi bulan paling aktif bagi jemaah domestik dengan lebih dua juta jemaah.
Majoriti jemaah luar negara tiba menggunakan pengangkutan udara, iaitu hampir lima juta orang atau sebahagian besar daripada keseluruhan ketibaan antarabangsa.
Dari segi umur, kumpulan berusia 55 hingga 64 tahun mencatat peratusan tertinggi dalam kalangan jemaah luar negara iaitu 18.9 peratus, sementara kumpulan usia 25 hingga 34 tahun menjadi kategori terbesar bagi jemaah domestik.
Selain menunaikan umrah di Makkah, lebih 5.7 juta orang turut mengunjungi Madinah sepanjang tempoh sama, termasuk hampir 3.9 juta pelawat dari luar negara.
Perkembangan memberangsangkan itu berlaku ketika Arab Saudi terus memperkukuh mutu perkhidmatan umrah sebagai sebahagian daripada agenda Wawasan 2030 untuk mempelbagaikan ekonomi negara selain minyak.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengambil tindakan menggantung operasi 21 syarikat perkhidmatan umrah selepas didapati gagal memenuhi piawaian yang ditetapkan musim lalu.
Menurut kementerian itu, penilaian mendapati beberapa syarikat menunjukkan penurunan mutu perkhidmatan selain melanggar peraturan operasi yang ditetapkan.
Daripada jumlah itu, 15 syarikat gagal mencapai tahap penilaian minimum, manakala enam lagi didapati melakukan pelanggaran peraturan yang memerlukan tindakan pembetulan segera.
“Kami komited memastikan semua jemaah menerima perkhidmatan berkualiti tinggi dan pengalaman ibadah yang selamat serta selesa,” menurut kenyataan kementerian.
Kementerian menjelaskan sistem penilaian yang digunakan dibuat berdasarkan petunjuk operasi dan pemantauan yang mengukur tahap mutu perkhidmatan serta pematuhan terhadap peraturan.
Langkah itu juga bertujuan meningkatkan persaingan sihat dalam kalangan syarikat pengendali umrah sekali gus menggalakkan peningkatan standard perkhidmatan.
Menurut kementerian, penguatkuasaan akan terus dipertingkat dan sebarang kelemahan yang boleh menjejaskan hak serta keselesaan jemaah tidak akan dibiarkan berterusan.
“Penilaian berterusan terhadap syarikat perkhidmatan umrah adalah mekanisme penting untuk membangunkan sektor ini dan meningkatkan pengalaman jemaah,” katanya lagi.
Pemerhati industri melihat tindakan tegas itu sebagai usaha positif Arab Saudi untuk memastikan pengalaman umrah menjadi lebih tersusun, moden dan mesra jemaah sejajar dengan peningkatan jumlah pengunjung saban tahun.
Dengan pelaburan besar dalam prasarana, teknologi dan pengurusan jemaah, Arab Saudi kini dilihat semakin bersedia menjadi pusat pelancongan Islam global yang menawarkan pengalaman ibadah lebih lancar dan berkualiti kepada umat Islam seluruh dunia. - Agensi berita
