Topik diikuti
Pergi ke BHkuMasjid Nabawi guna marmar putih agar kawasan ibadah dingin
Masjid Nabawi guna marmar putih agar kawasan ibadah dingin
Sebanyak 117,000 meter persegi marmar Thassos diguna sebagai persiapan sambut jemaah umrah selepas haji
Masjid Nabawi guna marmar putih agar kawasan ibadah dingin
MADINAH: Pihak Berkuasa Umum bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mendedahkan sebanyak 117,000 merter persegi marmar putih Thassos digunakan bagi melapisi bumbung dan dataran luar Masjid Nabawi di Madinah.
Ia sebahagian daripada sistem penyejukan semula jadi untuk keselesaan jemaah.
Menurut pihak berkuasa itu, marmar putih berkenaan bukan sahaja menjadi antara ciri seni bina paling menonjol di Masjid Nabawi, malah memainkan peranan penting dalam mengurangkan suhu persekitaran terutama ketika cuaca panas melampau di Arab Saudi.
Marmar Thassos yang terkenal dengan warna putih cerah dan keupayaan memantulkan cahaya matahari dipilih kerana mampu mengekalkan permukaan yang dingin walaupun terdedah pada suhu tinggi.
Keadaan itu membolehkan jemaah dapat rasai kesan sejuk di telapak kaki ketika berjalan atau menunaikan solat di kawasan dataran dan bumbung masjid.
“Penggunaan marmar putih ini membantu mengurangkan suhu persekitaran dan memberikan keselesaan kepada jemaah ketika beribadah,” tambah kenyataan pihak berkuasa berkenaan.
Ia menjelaskan, penggunaan marmar khas itu mencerminkan perhatian besar kerajaan Arab Saudi terhadap kebajikan jemaah haji, umrah dan pengunjung Masjid Nabawi.
Masjid Nabawi merupakan antara lokasi paling penting bagi umat Islam dan menerima jutaan pengunjung setiap tahun, khususnya ketika musim haji dan umrah.
Menurut pihak berkuasa itu, kepingan marmar yang digunakan mempunyai pelbagai saiz dan reka bentuk, sekali gus menjadi sebahagian daripada identiti seni bina Masjid Nabawi.
Kawasan yang dilapisi marmar itu meliputi ruang solat, bumbung dan dataran luar masjid, menjadikannya antara kawasan ibadah terbuka berlapis marmar terbesar di dunia.
Selain memberi nilai estetika, marmar Thassos turut dipilih kerana sesuai dengan keadaan cuaca panas di Madinah.
Pihak berkuasa menjelaskan bahawa marmar tersebut menjalani proses penyelenggaraan berterusan termasuk penggilapan, pembersihan dan sanitasi menggunakan bahan selamat serta mesra alam.
Langkah itu bertujuan memastikan marmar kekal bersih, berkilat dan mengekalkan ciri penyejukannya sepanjang tahun.
“Kerja penyelenggaraan dilakukan secara berterusan bagi memastikan marmar sentiasa berada dalam keadaan terbaik untuk kegunaan jemaah,” tambah kenyataan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Masjidil Haram dan Masjid Nabawi turut meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasi di Masjid Nabawi bagi menerima kehadiran jemaah selepas musim haji.
Agensi Berita Saudi (SPA) melaporkan pelbagai persiapan telah dilakukan termasuk memastikan 141 pintu masuk dan keluar berada dalam keadaan siap sedia bagi melancarkan pergerakan jemaah lelaki dan wanita.
Selain itu, sebanyak 100 laluan organisasi turut disediakan di sekitar masjid dan dataran luar bagi membantu mengawal aliran jemaah terutama pada waktu puncak.
Bagi meningkatkan keselesaan ibadah, sebanyak 25,000 sejadah turut disediakan untuk kegunaan pengunjung.
Pihak berkuasa memaklumkan bahawa 194 eskalator dan lif telah disiapkan bagi memudahkan pergerakan jemaah terutama warga emas dan golongan kurang upaya.
Lebih 10,000 bekas air zamzam turut diagihkan di seluruh kawasan masjid bagi memastikan bekalan air mudah diakses jemaah.
Persiapan itu dilakukan ketika jutaan anggota jemaah haji mula bergerak dari Makkah ke Madinah selepas selesai menunaikan ibadah haji.
Cuaca panas yang sering mencecah lebih 40 darjah Celsius di Madinah menjadikan sistem penyejukan dan pengurusan kemudahan antara aspek paling penting dalam operasi Masjid Nabawi.
Pemerhati menyifatkan penggunaan marmar Thassos sebagai contoh bagaimana teknologi dan seni bina moden digabungkan dengan unsur tradisional Islam bagi meningkatkan keselesaan jemaah.
Selain membantu mengurangkan haba, penggunaan marmar khas itu turut memperlihatkan bagaimana Arab Saudi terus melabur dalam pembangunan prasarana dua masjid suci Islam demi memastikan pengalaman ibadah lebih selesa dan selamat.
Langkah itu juga dilihat penting ketika jumlah jemaah antarabangsa terus meningkat setiap tahun selepas pemulihan penuh sektor pelancongan agama pasca pandemik Covid-19.
Dengan gabungan sistem penyejukan semula jadi, pengurusan operasi berskala besar dan penyelenggaraan berterusan, Masjid Nabawi kini menjadi antara kompleks ibadah moden paling canggih dalam dunia Islam. – Agensi berita.
