Topik diikuti
Pergi ke BHkuSaudi mula keluarkan visa umrah baharu
Saudi mula keluarkan visa umrah baharu
Saudi mula keluarkan visa umrah baharu
MAKKAH: Arab Saudi mula mengeluarkan visa Umrah bagi musim baharu 1448 Hijrah bermula 31 Mei, hanya beberapa hari selepas berakhirnya musim haji 2026 yang menyaksikan lebih 1.7 juta umat Islam berhimpun di Tanah Suci.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkata ketibaan jemaah antarabangsa untuk musim umrah baharu juga akan bermula serta-merta sebagai sebahagian daripada persiapan awal bagi menerima jutaan jemaah dari seluruh dunia.
Menurut kementerian itu, jemaah kini boleh memasuki Makkah dan mendapatkan permit umrah menerusi aplikasi Nusuk, iaitu platform digital rasmi kerajaan Saudi bagi urusan permit, tempahan dan pelbagai perkhidmatan ibadah.
Musim umrah 1448H dijadual berlangsung sehingga 23 Mac 2027.
Kementerian turut mengumumkan beberapa tarikh penting berkaitan musim umrah baharu itu.
Hari terakhir pengeluaran visa umrah ditetapkan pada 9 Mac 2027 bersamaan 1 Syawal 1448H.
Jemaah pula dibenarkan memasuki Arab Saudi sehingga 23 Mac 2027, manakala 7 April 2027 ditetapkan sebagai tarikh akhir jemaah meninggalkan negara itu.
Pihak kementerian turut mengingatkan semua syarikat penyedia perkhidmatan umrah dan ejen luar negara supaya mematuhi jadual serta semua peraturan yang ditetapkan.
Menurut mereka, langkah itu penting bagi memastikan pengalaman ibadah yang lancar dan berkualiti kepada semua jemaah.
Dalam perkembangan berkaitan, ribuan jemaah mula meninggalkan Makkah selepas selesai menunaikan ibadah haji dalam cuaca panas terik dan suasana ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Lebih 1.7 juta anggota jemaah dari 165 negara menyertai salah satu perhimpunan agama terbesar dunia pada 2026.
Musim haji kali ini berlangsung ketika konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran terus memuncak.
Sejak perang tercetus pada Februari lalu, Iran melancarkan beberapa siri serangan dron dan peluru berpandu yang turut menjejaskan prasarana tenaga di rantau Teluk termasuk Arab Saudi.
Walaupun keadaan serantau tidak menentu, puluhan ribu jemaah Iran tetap hadir menunaikan haji.
Bagaimanapun, agensi berita rasmi Iran, Irna, melaporkan hanya lebih 30,000 rakyat Iran menunaikan haji pada 2026 berbanding kira-kira 86,000 yang dijangka sebelum konflik tercetus.
Irna menyifatkan “situasi perang” sebagai faktor utama penurunan jumlah jemaah Iran.
Bagi ramai jemaah, kejayaan menyempurnakan Haji tahun ini membawa makna yang sangat mendalam.
Seorang jemaah dari Mesir, Encik Ahmed Mamdouh, 37 tahun, berkata beliau hampir tidak percaya dapat menyempurnakan ibadah haji buat kali pertama.
“Saya tak percaya saya berjaya menunaikan haji,” katanya sambil menahan air mata.
“Saya sangat gembira kerana dapat menyempurnakan semua ibadah dengan selamat. Haji memang sangat memenatkan, lebih-lebih lagi dalam cuaca panas seperti ini.”
Seorang lagi jemaah dari Algeria, Encik Al-Zaoui, 74 tahun, berkata beliau bersyukur dapat menunaikan haji bersama isterinya selepas 50 tahun berkahwin.
“Ini impian kami untuk menunaikan gaji bersama. Kini impian itu akhirnya menjadi kenyataan,” katanya sambil memeluk isterinya.
Mereka telah menyempurnakan hari ketiga melontar Jamrah di Mina sebelum kembali ke Masjidil Haram untuk melakukan Tawaf Wada.
Ibadah haji yang merupakan rukun Islam kelima wajib dilakukan sekurang-kurangnya sekali oleh umat Islam yang berkemampuan.
Namun, majoriti ibadah dilakukan di kawasan terbuka dan cuaca panas ekstrem terus menjadi cabaran besar.
Selepas lebih 1,300 anggota jemaah maut ketika musim haji 2024 akibat suhu melebihi 50 darjah Celsius, pihak berkuasa Saudi memperkenalkan pelbagai langkah mengurangkan risiko haba.
Antaranya termasuk penambahan kawasan teduhan dan penempatan ribuan petugas kesihatan tambahan.
Bulan Sabit Merah Saudi berkata pihaknya memberi bantuan kecemasan kepada lebih 83,000 individu sejak bermulanya musim haji.
Dalam pada itu, Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi mula mengagihkan hadiah Al-Quran tajaan Raja Salman kepada jemaah yang pulang ke negara masing-masing.
Pengagihan dilakukan di dewan pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah.
Sebanyak 1.9 juta naskhah Al-Quran dan terjemahannya dalam lebih 80 bahasa disediakan menerusi Kompleks Raja Fahd bagi Percetakan Al-Quran di Madinah.
Menteri Hal Ehwal Islam Arab Saudi, Encik Abdullatif Al-Alsheikh, berkata hadiah itu mencerminkan komitmen kepimpinan Saudi dalam menyebarkan mesej Al-Quran ke seluruh dunia.
Beliau berkata kementeriannya menggerakkan semua sumber logistik dan tenaga kerja bagi memastikan pengagihan berjalan lancar.
Jabatan Pasport Arab Saudi di Lapangan Terbang Jeddah turut memulakan operasi pelepasan penerbangan pertama membawa pulang jemaah haji.
Direktorat Jeneral Pasport mengesahkan semua pintu masuk udara, darat dan laut berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi menguruskan kepulangan jemaah antarabangsa.
Pihak berkuasa turut meminta jemaah mematuhi jadual perjalanan yang ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan.
Menurut statistik rasmi, seramai 1,707,301 jemaah menunaikan haji pada 2026, meningkat 2.04 peratus berbanding 2025.
Daripada jumlah itu, 1,546,655 anggota jemaah tiba dari luar Arab Saudi termasuk 1,485,729 yang menggunakan penerbangan udara, manakala 160,646 lagi terdiri daripada rakyat dan penduduk Arab Saudi sendiri. – Agensi berita.
