Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 1,100 gegaran susulan di Mindanao
Lebih 1,100 gegaran susulan di Mindanao
Lebih 1,100 gegaran susulan di Mindanao
MANILA: Jumlah gegaran susulan selepas satu gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud melanda pesisir Sarangani di selatan Filipina terus meningkat kepada 1,100 setakat 8 pagi pada 9 Jun, menurut ahli seismologi negara itu.
Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) berkata gegaran susulan itu mencatatkan kekuatan antara 1.3 dengan 6.7 magnitud, sekali gus menunjukkan kegiatan seismik masih aktif berhampiran pusat gempa itu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 313 gegaran susulan berjaya dipetakan manakala 23 daripadanya dapat dirasai penduduk di kawasan terjejas.
Keadaan itu memaksa sebahagian penduduk bermalam di pusat pemindahan dan khemah sementara kerana bimbang berlaku lagi runtuhan.
Dengan gegaran susulan masih berlaku hampir setiap jam, ramai penduduk kini hidup dalam ketakutan sambil berharap keadaan kembali stabil dalam masa terdekat.
Gempa bumi utama itu berlaku pada 7.37 pagi 8 Jun di luar pesisir Maasim, Sarangani, dan turut mencetuskan amaran tsunami di beberapa kawasan.
Bencana itu telah menyebabkan kerosakan besar terhadap prasarana, bekalan elektrik, kemudahan komunikasi dan pengangkutan di beberapa bahagian Mindanao.
Phivolcs sebelum ini memberi amaran bahawa gegaran susulan boleh berterusan lebih sebulan.
Sehari selepas gempa dahsyat itu, bandar General Santos masih bergelut dengan kemusnahan besar.
Kebanyakan premis perniagaan di pusat bandar masih ditutup sehingga pagi 9 Jun, manakala lalu lintas juga jauh lebih lengang berbanding kebiasaan waktu sibuk.
Banyak kedai di sepanjang Pioneer Avenue, Santiago Boulevard dan Catolico tidak beroperasi selepas beberapa bangunan mengalami kerosakan atau masih menjalani pemeriksaan keselamatan.
Sekurang-kurangnya 26 bangunan dan struktur di bandar itu rosak akibat gegaran kuat tersebut.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 41 orang disahkan maut manakala lebih 450 lagi cedera.
Pihak berkuasa turut memaklumkan angka korban dijangka terus meningkat ketika operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Majlis bandar raya General Santos pada 8 Jun mengisytiharkan keadaan bencana dalam satu sidang khas yang terpaksa diadakan di bawah khemah sementara.
Pasukan penyelamat kembali menyambung operasi mencari dan menyelamat di kedai Savemore Calumpang pada 9 Jun selepas beberapa individu dipercayai masih terperangkap dalam runtuhan bangunan yang roboh akibat gegaran.
Pihak berkuasa tempatan bersama Pejabat Pertahanan Awam dan agensi nasional kini giat menjalankan penilaian kerosakan serta operasi bantuan kecemasan.
Ketua Polis Negara Filipina, Jeneral Jose Melencio Nartatez Jr, berkata walaupun amaran tsunami sudah dibatalkan, ancaman gegaran susulan masih wujud.
“Pembatalan amaran tsunami tidak bermakna risiko gegaran susulan sudah hilang kerana ia memang dijangka berlaku selepas gempa besar,” katanya dalam satu kenyataan pada 9 Jun.
Beliau berkata pihak polis akan terus berada dalam keadaan berjaga-jaga terutama di pusat pemindahan dan kawasan pantai.
Menurutnya, lebih 2,000 anggota polis telah dikerahkan ke pusat pemindahan dan lokasi prasarana penting bagi membantu operasi bantuan dan pemindahan mangsa.
Polis turut memantau lebih 2,400 penduduk daripada lebih 500 keluarga yang kini ditempatkan di 545 pusat pemindahan.
“Saya juga mengarahkan anggota kami memantau sebarang amaran tsunami supaya mereka dapat bertindak segera membantu penduduk berpindah jika perlu.
“Pemindahan secara paksa juga boleh dilakukan sekiranya keadaan memerlukan,” katanya.
Di General Santos dan Sarangani, beberapa hospital terpaksa merawat pesakit di khemah-khemah sementara selepas bangunan-bangunan mengalami kerosakan dan gangguan elektrik.
Pihak berkuasa kesihatan kini berusaha memulihkan bekalan kuasa kerana gangguan elektrik menjejaskan penggunaan peralatan perubatan penting.
Gempa bumi terbaru itu sekali lagi mengingatkan rakyat Filipina mengenai risiko besar yang dihadapi negara itu kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik yang aktif secara seismik. – Agensi berita.
