Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah menyaman lebih 140 kenderaan berat yang melanggar peraturan dalam operasi penguatkuasaan di seluruh negara pada November.
Dalam hantaran Facebook pada 25 November, LTA berkata, kenderaan berkenaan telah disaman atas pelbagai kesalahan, termasuk membawa muatan berlebihan dan bergerak di ekpreswe tanpa permit.
Sekitar 60 kenderaan bersaiz besar yang tidak diberi pengecualian, didapati melanggar peraturan, bergerak di ekpreswe tanpa permit sah.
Kenderaan sedemikian boleh menghalang pergerakan lalu lintas dan merosakkan struktur jalan raya disebabkan saiz dan beratnya, tambah LTA.
Menurut The Straits Times, sebanyak 85 kenderaan berat lain didapati membawa muatan melebihi had yang dibenarkan.
Kenderaan yang terlebih muatan ujar LTA, boleh menimbulkan risiko serius seperti barangan yang dibawa terjatuh ke jalan raya atau menjejas pengendalian kenderaan.
“Tindakan ini membahayakan orang lain dan merosakkan jalan raya.
“Kami akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemandu yang melakukan kesalahan sedemikian bagi memastikan keselamatan dan kemudahan untuk semua pengguna jalan raya,” tegas LTA.
Mereka yang didapati bersalah atas kesalahan tersebut boleh dipenjara sehingga tiga bulan, didenda sehingga $1,000, atau kedua-duanya sekali.
“
“Tindakan ini membahayakan orang lain dan merosakkan jalan raya. Kami akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemandu yang melakukan kesalahan sedemikian bagi memastikan keselamatan dan kemudahan untuk semua pengguna jalan raya.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg