Pemilik lori yang tidak memasang pengehad kelajuan pada kenderaan mereka mulai 1 Januari, berdepan tindakan undang-undang, kata Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 24 November.
SPF mendedahkan setakat 14 November, kira-kira 30 peratus pemilik lori masih belum memasang peranti tersebut, meskipun Polis Trafik (TP) telah mengeluarkan peringatan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel dan surat.
Sejak Januari 2024, syarikat yang memiliki kenderaan berat dengan berat muatan maksimum antara 3,501 kilogram dengan 12,000 kilogram diwajibkan memasang pengehad kelajuan.
Pemilik kenderaan diberi tempoh dua hingga tiga tahun untuk berbuat demikian.
Secara keseluruhan, sekitar 17,000 lori perlu memasang pengehad kelajuan mandatori menjelang Julai 2027.
Apabila pemandu cuba memecut melebihi 60 kilometer sejam (km/j), pengehad kelajuan akan menghalang enjin daripada meningkatkan output, sekali gus mengekalkan kelajuan pada 60km/j.
Dalam hantaran Facebook pada 22 November, Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Undang-Undang), Encik Murali Pillai, menyatakan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) bekerjasama rapat dengan pengendali pengangkutan dan logistik.
Usaha itu bertujuan memastikan pelaksanaan amalan keselamatan terbaik bagi kenderaan berat, termasuk penanda nat di roda dan peranti pengehad kelajuan.
Mengenai pengehad kelajuan, beliau berkata LTA sedang menyokong inisiatif Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan SPF dalam penguatkuasaan pemasangan pengehad kelajuan untuk kenderaan berat.
Beliau menambah ini akan “mengurangkan risiko kemalangan bersangkutan kelajuan di jalan raya dengan ketara”.
“Sebagai pemilik atau pengendali kenderaan (berat), saya berharap anda dapat meluangkan masa untuk menyelaraskan kenderaan anda dengan amalan terbaik yang terkini bagi keselamatan kenderaan berat.
“Dengan menggabungkan usaha ini dalam strategi keselamatan kenderaan yang menyeluruh, kita dapat memperkukuh piawaian keselamatan jalan raya secara kolektif merentasi semua industri pengangkutan,” ujarnya.
Pengehad kelajuan bukan sahaja mencegah pemanduan melebihi had dan mengurangkan risiko kemalangan, sekali gus meningkatkan keselamatan jalan raya untuk semua pengguna, malah ia turut mengurangkan penggunaan bahan api dan kos penyelenggaraan kenderaan.
Pada Mei, 81 pemandu kenderaan berat dikenakan disaman susulan operasi penguatkuasaan selama tiga hari di seluruh negara.
Kesalahan yang dicatat termasuk memecut, menggunakan peranti komunikasi mudah alih semasa memandu, gagal memandu di lorong paling kiri dan gagal memaparkan label pengehad kelajuan dengan jelas.
SPF memberi amaran bahawa lori yang tidak mematuhi pemasangan pengehad kelajuan, akan dilarang daripada dipandu dan cukai jalan kenderaan tersebut tidak boleh diperbaharui.
Bagi menggalakkan pematuhan, MHA dan TP mengumumkan cadangan untuk meningkatkan penalti – daripada $1,000 buat masa ini kepada $10,000 – bagi kesalahan berkaitan pengehad kelajuan.
Mulai 1 Januari 2026, syarikat yang pemandunya didapati memandu lori melebihi had kelajuan akan dikenakan Perintah Pemulihan (RO) oleh TP, di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja kerana tindakan yang tidak selamat di tempat kerja.
RO akan mewajibkan syarikat memasang pengehad kelajuan di semua lori yang ia miliki sebelum tarikh akhir.
Syarikat yang gagal berbuat demikian boleh didenda sehingga $50,000.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg