Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 18.5j anggota jemaah luar negara tunai haji, umrah pada 2024

Jan 15, 2025 | 10:43 AM

Sebuah persidangan dan pameran antarabangsa mengenai perkhidmatan Haji dan Umrah telah dilancarkan pada 13 Januari di Jeddah Superdome oleh Gabenor Makkah, Putera Khalid Al-Faisal. Acara selama tiga hari yang bertema, ‘Transformasi Menuju Inovasi’ itu dianjurkan oleh Kementerian Haji dan Umrah dengan kerjasama Program Doyof Al Rahman (Tetamu Allah).
Sebuah persidangan dan pameran antarabangsa mengenai perkhidmatan Haji dan Umrah telah dilancarkan pada 13 Januari di Jeddah Superdome oleh Gabenor Makkah, Putera Khalid Al-Faisal. Acara selama tiga hari yang bertema, ‘Transformasi Menuju Inovasi’ itu dianjurkan oleh Kementerian Haji dan Umrah dengan kerjasama Program Doyof Al Rahman (Tetamu Allah). - Foto HAJJ CONFERENCE AND EXHIBITION 2025

JEDDAH: Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah, mengumumkan lebih 18.5 juta anggota jemaah luar negara telah menunaikan haji dan umrah pada 2024.

Beliau menegaskan bahawa pencapaian itu merupakan hasil daripada bimbingan Pemelihara Dua Masjid Suci, Raja Salman, serta sokongan langsung dan pemantauan daripada Putera Mahkota dan Perdana Menteri Mohammed bin Salman.

“Kami akan terus memastikan bahawa tetamu Allah adalah keutamaan utama kami,” ujar Dr Tawfiq dalam ucapan beliau pada Persidangan dan Pameran Haji Keempat di Jeddah Superdome.

Acara itu disempurnakan oleh Putera Saud bin Mishal, Timbalan Amir Makkah, yang merasmikan pembukaan persidangan dan pameran tersebut pada malam 13 Januari.

Putera Saud turut melawat pameran yang diadakan bersempena dengan persidangan itu.

Dalam ucapan beliau, Dr Tawfiq turut memaklumkan bahawa jumlah pengunjung Raudhah di Masjid Nabi, Madinah, telah melebihi 13 juta pada 2024.

“Kami telah meningkatkan pengalaman lawatan ke Raudhah dengan menyediakan latihan untuk tenaga kerja, memudahkan prosedur tempahan dalam talian, serta mewujudkan sistem pengurusan pengunjung yang lebih profesional.

“Ini telah menyumbang kepada peningkatan jumlah pengunjung daripada empat juta pada 2022 kepada lebih 13 juta pada 2024,” jelas beliau.

Bagi meningkatkan daya saing syarikat haji, Dr Tawfiq turut memaklumkan bahawa bilangan syarikat yang terlibat kini mencecah 45, dan itu turut membantu meningkatkan kepuasan jemaah terhadap perkhidmatan yang diberikan.

Dr Tawfiq juga menegaskan komitmen Kerajaan Arab Saudi dalam menyediakan keselesaan sepenuhnya kepada tetamu Allah.

“Kami telah melakukan lebih daripada 33 lawatan ke pelbagai bahagian dunia bagi mengenal pasti keperluan jemaah, dan ini telah membantu kami dalam memperbaiki perkhidmatan yang diberikan,” katanya.

“Dulu, perjalanan haji penuh dengan kesulitan dan kepenatan. Namun, hari ini, dengan izin Allah, kami menyaksikan perubahan daripada kesulitan dan kepenatan kepada kemudahan, keselesaan dan penyediaan perkhidmatan yang menyeluruh,” ujar Dr Tawfiq lagi.

Di samping itu, beliau turut melancarkan versi terkini aplikasi Nusuk, yang kini menawarkan lebih 100 perkhidmatan tambahan.

“Mulai hari ini (13 Januari), versi kemas kini Nusuk menyediakan pengalaman bersepadu dengan lebih 100 perkhidmatan tambahan,” katanya.

Pameran yang berlangsung di kawasan seluas 50,000 meter persegi itu memberi tumpuan kepada perkhidmatan haji, memperkenalkan teknologi dan inovasi terkini yang bertujuan memperkaya pengalaman haji serta meningkatkan perkhidmatan kepada jemaah.

Acara selama empat hari bermula pada 13 Januari turut melibatkan penyertaan 280 pempamer daripada pelbagai sektor, lebih 100 penceramah serta penyedia perkhidmatan tempatan dan antarabangsa, yang berkongsi pandangan mengenai masa depan sektor berkaitan jemaah.

Lebih 150,000 pengunjung dijangka hadir pada pameran itu, yang diadakan di bawah tema, ‘Laluan ke Nusuk’, dan merupakan sebahagian daripada Inisiatif Program Pengalaman Jemaah yang berkaitan dengan Visi Saudi 2030. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg