Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 20 anggota parti Hasina maut di beberapa kawasan di Bangladesh

Aug 7, 2024 | 4:55 PM
Asap berkepul-kepul berhampiran pejabat parti Liga Awami setelah dibakar penunjuk perasaan pada 6 Ogos 2024 di Dhaka setelah Sheikh Hasina meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan melarikan diri dari negara itu.
Asap berkepul-kepul berhampiran pejabat parti Liga Awami setelah dibakar penunjuk perasaan pada 6 Ogos 2024 di Dhaka setelah Sheikh Hasina meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan melarikan diri dari negara itu. - Foto AFP

DHAKA: Sejumlah 29 pemimpin dan anggota parti Liga Awami serta anggota keluarga mereka dilaporkan terbunuh dalam keganasan di Bangladesh selepas Perdana Menteri Sheikh Hasina, meletakkan jawatan dan melarikan diri ke India susulan protes besar-besaran berkaitan kontroversi sistem kuota.

Daripada 29 mayat yang ditemui, 20 adalah pemimpin parti tempatan, manakala sembilan lagi adalah anggota keluarga terdekat mereka, menurut laporan The Dhaka Tribune pada Rabu, 7 Ogos.

Mangsa dilaporkan mati dipukul oleh kumpulan perusuh, manakala selebihnya berkemungkinan mati akibat sesak nafas atau melecur apabila penunjuk perasaan membakar rumah pemimpin parti.

Mayat mereka ditemui di beberapa buah kota di seluruh Bangladesh dan sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dalam keganasan di Satkhira di mana rumah dan premis perniagaan milik beberapa pemimpin Liga Awami dirosakkan dan dirompak oleh perusuh. Liga Awami merupakan parti pimpinan Cik Hasina.

Di Cumilla, keganasan mengakibatkan sekurang-kurangnya 11 kematian termasuk lima remaja.

Selain itu, enam orang terkorban apabila rumah tiga tingkat milik bekas anggota majlis, Encik Mohammad Shah Alam, dibakar oleh perusuh.

Sementara itu, di daerah lain, empat orang maut selepas kumpulan perusuh membakar rumah Anggota Parlimen, Encik Shafiqul Islam Shimul.

Penduduk tempatan juga menemui mayat dua pemimpin Liga Jubo, sayap belia Liga Awami, dengan ketua liga, Encik Mushfiqur Rahim, ditemui di bawah jambatan di Sonagazi Upazila.

Di Bogra, dua pemimpin Liga Jubo dibunuh oleh kumpulan perusuh. Di Lalmonirhat, enam mayat ditemui di rumah Setiausaha Agung Bersama Liga Awami, Encik Suman Khan, yang dibakar oleh perusuh pada Isnin, 5 Ogos.

Situasi di Bangladesh kekal tegang dengan jumlah kematian akibat pergolakan ini melebihi 400 orang.

Orang ramai mengambil kesempatan merompak pelbagai barangan di kediaman Cik Hasina selepas beliau meletakkan jawatannya dan melarikan diri ke luar negara.

Berdasarkan laporan The New York Times, rakaman itu menunjukkan orang ramai memanjat pintu pagar kediaman itu, melempar barang ke dinding, merosakkan potret dan membuang makanan.

Sejak peletakan jawatan Cik Hasina, ratusan rumah, premis perniagaan, dan kuil Hindu dibakar dan dirosakkan, menyebabkan kebimbangan di India. Menteri Hal Ehwal Luar India, Encik S. Jaishankar, menyatakan bahawa kementerian sedang memantau keadaan dengan rapi.

Di tengah-tengah protes yang berterusan, Bangladesh telah menubuhkan pemerintahan sementara dengan pemenang Hadiah Nobel, Encik Muhammad Yunus, dinamakan sebagai ketua penasihat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg