Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 20 negara gabung perangi serangan Houthi di Laut Merah

Dec 22, 2023 | 2:09 PM
SERANG BALAS: Anggota tentera  Houthi yang baru direkrut semasa perarakan di wilayah Amran, Yaman, pada 20 Disember 2023 dikerah untuk melancarkan serangan ke atas Israel dan menyerang kapal-kapal Israel di Laut Merah sedang Amerika Syarikat mengumumkan gabungan berbilang negara untuk mengawal keselamatan perkapalan di Laut Merah.
SERANG BALAS: Anggota tentera Houthi yang baru direkrut semasa perarakan di wilayah Amran, Yaman, pada 20 Disember 2023 dikerah untuk melancarkan serangan ke atas Israel dan menyerang kapal-kapal Israel di Laut Merah sedang Amerika Syarikat mengumumkan gabungan berbilang negara untuk mengawal keselamatan perkapalan di Laut Merah. - Foto EPA-EFE

WASHINGTON: Lebih 20 negara tampil menyertai pakatan diketuai Amerika Syarikat untuk melindungi perkapalan di Laut Merah daripada serangan pemberontak Houthi Yaman, menurut Pentagon pada 21 Disember.

Houthi, yang disokong Iran, telah berulang kali menyasarkan kapal di laluan perkapalan penting dengan serangan yang mereka katakan bagi menyokong rakyat Palestin dalam peperangan Israel dengan kumpulan militan Hamas di Gaza.

“Kami mempunyai lebih 20 negara yang telah menandatangani persetujuan untuk menyertai gabungan ini,” kata jurucakap Pentagon, Mejar Jeneral (Mej-Jen) Pat Ryder.

Mej-Jen Ryder berkata Houthi “menyerang kesejahteraan ekonomi dan kemakmuran negara di seluruh dunia”, dengan tidak secara langsung menjadi “penyamun di sepanjang lebuh raya antarabangsa iaitu Laut Merah”.

Pasukan gabungan akan “berkhidmat sebagai peronda lebuh raya, meronda di Laut Merah dan Teluk Aden untuk bertindak balas terhadap – dan membantu seperti yang diperlukan – kapal komersial yang transit di laluan perkapalan antarabangsa yang penting ini,” katanya, sambil menyeru Houthi supaya menghentikan serangan mereka.

Konflik Israel-Hamas bermula apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan lagi 240 orang ditahan sebagai tebusan.

Bertekad untuk memusnahkan Hamas, Israel bertindak balas dengan serangan darat dan kempen pengeboman tanpa henti ke atas Gaza yang sehingga kini telah meragut sekitar 20,000 nyawa rakyat Palestin.

Angka korban yang tinggi dan kemusnahan di Gaza telah mencetuskan kemarahan yang meluas di Timur Tengah dan mendorong serangan oleh kumpulan bersenjata di rantau itu, termasuk serangan Houthi ke atas perkapalan Laut Merah.

Ekoran pengumuman Amerika itu, Pemimpin Houthi, Encik Abdel-Malek Al-Houthi, berkata mereka tidak akan berdiam diri tetapi melancarkan perang jika Amerika bakal mengenakan sekatan lebih dahsyat.

Tentera gabungan Barat telah menghabiskan masa berminggu-minggu untuk cuba menghalang Houthi yang sebaliknya menyatakan ancaman itu “bukan sesuatu yang baru”.

​“Serangan Houthi di Laut Merah akan berhenti apabila perang Israel terhadap penduduk Gaza ditamatkan,” tambah Encik Abdel-Malek. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg