Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 2,000 mungkin tertimbus tanah runtuh PNG

May 27, 2024 | 1:46 PM
Pasukan penyelamat tiba di tapak tanah runtuh di kawasan terpencil di Papua New Guinea pada 25 Mei, tetapi peralatan berat yang diperlukan untuk usaha menyelamat masih belum sampai.
Pasukan penyelamat tiba di tapak tanah runtuh di kawasan terpencil di Papua New Guinea pada 25 Mei, tetapi peralatan berat yang diperlukan untuk usaha menyelamat masih belum sampai. - Foto AFP

SYDNEY: Lebih 2,000 orang mungkin tertimbus hidup-hidup akibat tanah runtuh besar di Papua New Guinea (PNG) minggu lalu, kata kerajaan pada 27 Mei.

Usaha menyelamat pula sukar disebabkan rupa bumi berbahaya dan kesukaran menghantar bantuan ke tapak itu, sekali gus meningkatkan kemungkinan hanya sedikit mangsa masih hidup akan ditemui.

Pusat Bencana Negara menaikkan jumlah yang disyaki tertimbus kepada 2,000 orang dalam satu surat kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan pada 27 Mei tetapi bertarikh 26 Mei.

Sebuah agensi PBB yang berasingan meletak kemungkinan angka kematian jauh lebih rendah, iaitu lebih 670 orang.

Kira-kira 1,250 orang kehilangan tempat tinggal akibat tanah runtuh itu, yang berlaku di wilayah Enga pada 24 Mei. Lebih 150 rumah tertimbus dan kira-kira 250 terpaksa ditinggalkan.

“Rumah-rumah itu tertimbus sekitar lapan meter di bawah tanah. Jadi terdapat banyak serpihan yang perlu dilalui,” kata pengarah negara CARE International PNG, Cik Justine McMahon, kepada televisyen ABC pada 27 Mei.

Kira-kira 4,000 orang tinggal berhampiran kawasan terjejas, katanya.

Bentuk muka bumi tidak stabil, lokasi terpencil dan jalan rosak menghalang usaha menyelamat dan menghantar bantuan ke tempat kejadian.

Anggota pasukan kecemasan, diketuai oleh anggota pertahanan PNG, telah berada di lapangan tetapi peralatan berat yang diperlukan bagi usaha menyelamat masih belum sampai ke kampung terpencil itu.

Ia kerana jalan utama masih terputus dan satu-satunya akses ke kampung itu sekarang ialah melalui helikopter.

Pihak berkuasa pemerintah PNG terus memberi tumpuan pada usaha membersihkan serpihan dan menambah baik akses ke kampung itu, kata PBB dalam satu kenyataan terbarunya.

Agensi itu sedang bersedia untuk bergerak dan mengedarkan makanan dan air, dan berkata ia membantu menubuhkan pusat pemindahan.

Rakaman media sosial yang disiarkan oleh penduduk kampung dan pasukan media tempatan menunjukkan orang ramai memanjat timbunan batu, menggali menggunakan penyodok, kayu dan tangan untuk mencari mangsa yang terselamat. Kedengaran suara wanita menangis di latar belakang.

Enam mayat telah ditemui setakat ini. PBB berkata jumlah kematian boleh berubah kerana usaha menyelamat dijangka berterusan selama beberapa hari.

Media PNG pada 27 Mei melaporkan bahawa penduduk telah menyelamatkan pasangan terperangkap di bawah runtuhan, selepas mendengar jeritan mereka meminta pertolongan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg