KOTA KINABALU: Sabah dilanda banjir dengan jumlah mangsa meningkat kepada 1,627 orang daripada 488 keluarga setakat pagi 5 Mei, berbanding 1,526 orang daripada 455 keluarga yang direkodkan pada 4 Mei.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan 1,268 orang daripada 377 keluarga di Sook – iaitu sebuah kawasan pedalaman di Sabah, dan Beaufort masih berlindung di empat pusat pemindahan sementara (PPS).
“Sebanyak 19 kampung masih terjejas banjir, iaitu 10 di Beaufort dan sembilan di Sook,” kata sekretariat itu dalam kenyataan pada 5 Mei, lapor Berita Harian Malaysia.
Beberapa lokasi di Sook dilanda banjir sejak 2 Mei, menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan berikutan banjir menenggelamkan kediaman mereka.
Sejak awal 2025, beberapa daerah di Sabah antaranya termasuk Kota Kinabalu, Kinabatangan dan Beaufort telah beberapa kali dilanda banjir.
Sementara itu dalam perkembangan lain di Batu Pahat, Johor, seorang pemancing yang dilaporkan hilang selepas kelong memancing roboh di Sungai Lurus akibat ribut, pada awal pagi 4 Mei, ditemui maut kira-kira 1.4 kilometer dari Parit Hailam, Senggarang, Batu Pahat, pada 3.50 petang hari sama.
Mayat Mohd Faizal Mohd Nor, 45 tahun, dijumpai tersangkut pada runtuhan kelong itu oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Penolong Pesuruhjaya Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata mayat mangsa berjaya dibawa naik ke darat sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di Batu Pahat, untuk tindakan lanjut.
“Mangsa adalah pekerja ladang di Renggam, Simpang Renggam, manakala siasatan ketika ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan.
Encik Shahrulanuar berkata hasil siasatan mendapati kelong berkenaan dipercayai roboh akibat angin kencang yang melanda beberapa kawasan, termasuk lokasi kejadian sejak 3 Mei.
“Insiden itu menyebabkan kelong terbabit musnah sama sekali ketika lapan pemancing sedang memancing dari atasnya,” katanya.
Beliau berkata tujuh lagi mangsa yang diselamatkan ialah empat lelaki tempatan berusia 30 hingga 51 tahun dan tiga warga Indonesia berumur 31 hingga 41 tahun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg