JAKARTA: Lebih 4,000 rakyat Indonesia kini tersenarai dalam senarai “perintah pengusiran akhir” oleh pihak berkuasa Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE).

Langkah penghantaran pulang itu sebahagian daripada tindakan keras terhadap pendatang tanpa dokumen yang dilancarkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, sejurus sahaja memulakan penggal kedua di Rumah Putih.

Menurut Kementerian Luar, setakat ini hanya dua warga Indonesia telah ditahan dalam operasi besar-besaran tersebut.

“Sejumlah 4,276 daripada 1.4 juta warga asing dalam senarai itu adalah rakyat Indonesia.

“Mereka adalah penduduk tanpa dokumen yang telah menerima perintah pengusiran akhir, tetapi masih tidak ditahan,” kata Pengarah Perlindungan Warga Negara di Kementerian Luar, Encik Judha Nugraha, dalam sidang media di Jakarta, pada 13 Februari.

Rakyat Indonesia yang berada dalam senarai tersebut menerima perintah pengusiran akhir melalui mahkamah imigresen, namun masih berada di Amerika tanpa ditahan.

Secara keseluruhan, terdapat 1.4 juta warga asing dengan perintah pengusiran akhir di Amerika setakat 24 November 2024.

Encik Judha menegaskan bahawa pemerintah Indonesia akan terus memantau keadaan rakyatnya yang terkesan dengan tindakan keras itu.

“Kami akan memastikan mereka mendapat akses kepada perkhidmatan konsular serta mengetahui hak mereka,” katanya.

Encik Judha turut mengingatkan bahawa warga Indonesia yang ditahan dalam operasi tersebut berhak mendapatkan khidmat peguam dan menolak untuk menjawab soalan daripada pihak berkuasa sehingga mereka mendapat nasihat undang-undang.

“Setiap individu yang ditahan mempunyai hak untuk menghubungi misi diplomatik Indonesia,” tambah beliau.

Dua warga Indonesia tanpa dokumen telah ditangkap dalam serbuan imigresen di Amerika itu dikenali dengan huruf ‘TRN’, ditahan di Atlanta, Georgia pada 29 Januari, manakala seorang lagi, BK, ditangkap di New York sehari sebelumnya.

BK telah berada dalam senarai perintah pengusiran akhir sejak 2009.

Ketika ditahan, BK sedang menjalani pemeriksaan rutin dengan pihak berkuasa ICE.

“Pemerintah Indonesia komited untuk melindungi rakyatnya di luar negara dan akan terus mengingatkan mereka mengenai hak mereka di bawah undang-undang Amerika,” tambah Encik Judha. – Agensi berita.