KUALA LUMPUR: Seramai 435 rakyat Malaysia termasuk dalam senarai 1.44 juta individu bukan warganegara Amerika Syarikat yang menerima perintah akhir dihantar pulang daripada pihak Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE).

Menurut data daripada Operasi Penguatkuasaan dan Pengusiran (ERO) ICE yang dikeluarkan pada November 2024, rakyat Malaysia yang disenaraikan dalam senarai bukan tahanan ICE kini berada dalam kategori perintah pengusiran akhir.

Data ini mendapat perhatian meluas di media sosial susulan kembalinya Presiden Donald Trump ke Rumah Putih pada Januari, dengan pentadbirannya memperketatkan penguatkuasaan imigresen.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Kementerian Luar Negeri Malaysia (Wisma Putra) menyatakan pihaknya mengambil maklum laporan mengenai rakyat Malaysia yang didakwa berdepan pengusiran dari Amerika susulan dasar imigresen yang lebih ketat.

“Bagaimanapun, Kedutaan Malaysia di Washington D.C. belum menerima sebarang pemberitahuan rasmi daripada pihak berkuasa Amerika mengenai dakwaan ini atau sebarang permintaan rasmi untuk bantuan konsular daripada rakyat Malaysia yang terlibat,” kata kenyataan itu.

Wisma Putra juga menegaskan bahawa kedutaan dan konsulat Malaysia di Amerika sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan serta berinteraksi dengan komuniti rakyat Malaysia bagi memastikan kesejahteraan mereka serta pematuhan terhadap peraturan imigresen.

“Kami akan terus memantau perkembangan ini dan memberikan maklumat terkini sekiranya diperlukan,” tambah kenyataan itu lagi.

Dokumen ICE menunjukkan bahawa individu bukan warganegara dengan perintah pengusiran akhir masih boleh mendapatkan bantuan perundangan melalui permohonan suaka atau perlindungan di bawah Konvensyen Menentang Penyeksaan.

Namun, pemerintah Amerika mengharapkan negara asal menerima semula warganegara mereka yang diusir.

“Kurangnya kerjasama daripada kerajaan asing boleh menyebabkan kelewatan dalam proses pengusiran dan dalam banyak kes, menghalangnya daripada dilaksanakan sepenuhnya,” menurut kenyataan ICE.

Pihak berkuasa Amerika menggesa kerajaan asing untuk segera mengesahkan kewarganegaraan individu yang terlibat, mengeluarkan dokumen perjalanan dengan pantas serta menerima mereka melalui penerbangan komersial atau sewaan khas.

Kegagalan untuk bekerjasama boleh menyebabkan sesebuah negara diklasifikasikan sebagai tidak bekerjasama atau berisiko tinggi dalam pematuhan peraturan pengusiran.

Ketika ini, 15 negara termasuk China, India dan Pakistan disenaraikan sebagai negara yang tidak bekerjasama, manakala 11 negara lain seperti Vietnam dan Iraq berada dalam kategori berisiko tinggi. – Agensi berita.