Thai lancar serangan udara di sempadan Kemboja

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Thai lancar serangan udara di sempadan Kemboja

Pertempuran berlaku dua bulan sejak pelan damai dipengerusi Presiden Trump
Dec 8, 2025 | 11:17 AM

Thai lancar serangan udara di sempadan Kemboja

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Thailand, Cambodia, Kemboja, tentera, pertempuran
Gambar edaran yang diambil pada 7 Disember oleh Tentera Diraja Thailand dan diterima pada 8 Disember ini menunjukkan seorang anggota tentera Thai yang cedera sedang dipindahkan selepas pertempuran di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja di wilayah Sisaket. - Foto AFP

BANGKOK: Thailand melancarkan serangan udara di sepanjang sempadannya dengan Kemboja pada 8 Disember, menurut jurucakap tentera Thai, Mejar Jeneral Winthai Suvaree, selepas kedua-dua negara saling menuduh melanggar perjanjian gencatan senjata yang dimeterai.

Ia sekali gus menandakan kemungkinan runtuhnya pelan damai yang dipengerusikan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada Oktober.

Kedua-dua pihak saling menuduh melancarkan serangan di kawasan sempadan yang dipertikaikan pada pagi 8 Disember, selepas beberapa minggu ketegangan memuncak dan penggantungan kemajuan perjanjian gencatan senjata oleh Thailand.

Tentera Thailand berkata serangan udara ke atas kedudukan tentera Kemboja adalah tindakan balas terhadap serangan awal pagi yang mengorbankan seorang askar Thailand dan mencederakan empat lagi.

Mejar Jeneral Winthai berkata operasi udara itu menyasarkan kedudukan tentera Kemboja di beberapa lokasi bagi menyekat apa yang didakwa sebagai “serangan sokongan berterusan” dari pihak Kemboja.

Menurutnya, pertempuran terbaru tercetus sejurus selepas subuh pada 8 Disember selepas pertempuran bersenjata berlarutan sepanjang 7 Disember.

“Pada sekitar 5.05 pagi, pasukan Kemboja melepaskan tembakan senjata ringan dan senjata sokongan tidak langsung di kawasan Chong An Ma di daerah Nam Yuen, wilayah Ubon Ratchathani,” katanya.

“Tentera Thai bertindak balas mengikut peraturan pertempuran menggunakan senjata ringan dan senjata tidak langsung.”

Mejar Jeneral Winthai turut mengesahkan laporan korban melibatkan anggotanya.

“Kami menerima laporan bahawa beberapa anggota tentera Thai terkena serangan sokongan, mengakibatkan seorang terkorban dan empat lagi cedera,” katanya.

Bantuan pemindahan untuk penduduk awam telah diaktifkan di kawasan terbabit.

Tentera Thailand memaklumkan Kemboja mula menembak ke arah sempadan Thailand sekitar 3 pagi waktu tempatan pada 8 Disember.

Dalam kenyataan berasingan, tentera Kemboja menuduh pihak Thailand melancarkan serangan ke atas pasukan mereka sekitar 5.04 pagi.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Encik Maly Socheata, menuduh Thailand memulakan serangan pada pagi 8 Disember di wilayah Preah Vihear dan Oddar Meanchey.

Beliau menegaskan bahawa Phnom Penh tidak membalas serangan itu.

“Harus diperhatikan bahawa serangan ini berlaku selepas tentera Thai melakukan pelbagai tindakan provokatif selama beberapa hari... dengan objektif mencetuskan konfrontasi,” katanya.

Pertikaian sempadan Thailand-Kemboja kembali memanas selepas perang singkat selama lima hari pada Julai lalu.

Gencatan senjata terkini telah dilaksanakan melalui rundingan yang diusahakan Encik Trump dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Encik Trump turut menyaksikan pemeteraian perjanjian gencatan senjata lanjutan di Kuala Lumpur pada Oktober.

Namun, kurang dua minggu selepas perjanjian ditandatangani, hubungan antara Thailand dan Kemboja mula goyah.

Thailand pada 7 Disember mengeluarkan arahan pemindahan untuk penduduk di empat wilayah timur laut – Buri Ram, Surin, Si Sa Ket dan Ubon Ratchathani – selepas pertempuran selama 35 minit dengan tentera Kemboja di Si Sa Ket menyebabkan dua anggota tentera Thai cedera.

Arahan itu menyatakan bahawa terdapat “ketidaktentuan semasa dan potensi peningkatan,” justeru penduduk diminta berpindah ke pusat perlindungan sementara.

Sekitar 70 peratus penduduk awam Thailand telah dipindahkan dari bandar sempadan, menurut kenyataan pihak berkuasa negara itu.

Satu kematian orang awam dilaporkan ketika proses pemindahan akibat masalah kesihatan sedia ada.
Thailand dan Kemboja sebelum ini terlibat dalam konflik sempadan selama lima hari pada Julai yang mengorbankan puluhan nyawa dan menyebabkan kira-kira 200,000 penduduk di kedua-dua belah sempadan dipindahkan.

Ketegangan ini berlaku hanya beberapa hari selepas Thailand meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyiasat penggunaan periuk api secara meluas oleh Kemboja di dalam kawasan Thailand.

Beberapa anggota tentera Thai sebelum ini cedera akibat periuk api baru yang didakwa ditanam berhampiran kawasan sempadan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg