Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perang sempadan Thai-Kemboja meluas, korban awam meningkat

Trump desak Bangkok, Phnom Penh patuhi janji tamatkan konflik sempadan
Dec 9, 2025 | 1:55 PM
Perang sempadan, Thai-Kemboja, angka korban meningkat, Trump 
Penduduk melarikan diri dari kawasan pertikaian di sepanjang jalan di wilayah Oddar Meanchey, Kemboja, pada 9 Disember 2025. Menurut kenyataan tentera Thailand, Kawasan Tentera Kedua melancarkan apa yang disifatkan sebagai operasi responsif pada 8 Disember, sementara tentera Kemboja mengecam tindakan Thailand dan menegaskan komitmennya terhadap penyelesaian secara aman. - Foto EPA

BANGKOK/PHNOM PENH: Pertempuran terkini antara Thailand dengan Kemboja semakin merebak di sepanjang sempadan yang dipertikaikan, sekali gus menggugat usaha diplomatik antarabangsa untuk mengekalkan keamanan.

Dalam kenyataan ringkas, Tentera Laut Thailand berkata askar Kemboja didapati memperkukuh kubu, menggali parit dan menempatkan penembak tepat berhampiran garisan sempadan.

“Tindakan ini dianggap sebagai ancaman langsung dan serius terhadap kedaulatan Thailand,” tegas kenyataan itu.

Phnom Penh pula menuduh Thailand melancarkan serangan artileri sejak tengah malam sebelumnya ke wilayah Banteay Meanchey.

Kementerian Pertahanan Kemboja berkata dua orang yang menaiki kenderaan di Lebuh Raya Nasional 56 maut dalam serangan itu.

Jurucakap kementerian, Leftenan Jeneral Maly Socheata, berkata angka korban terus meningkat.

“Sehingga pagi 9 Disember, tujuh orang awam terbunuh dan 20 cedera akibat serangan Thailand, katanya.

Thailand menafikan bertindak sebagai pencetus konflik.

Sebaliknya, Bangkok menuduh Kemboja meningkatkan kehadiran tentera dan tidak mematuhi gencatan senjata yang dicapai pada Julai lalu – yang dimeterai selepas campur tangan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.

Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet, dalam kenyataan malam 8 Disember mengecam tindakan Thailand yang didakwanya menyerang kampung-kampung awam atas alasan mempertahankan kedaulatan.

Menurut Kementerian Pertahanan di Phnom Penh, pada 9 Disember, pertempuran semula di sepanjang sempadan Kemboja-Thailand dilaporkan sudah meragut sekurang-kurangnya enam nyawa awam Kemboja.

Tentera Thailand melepaskan tembakan ke arah wilayah sempadan Banteay Meanchey selepas tengah malam, “mengakibatkan kematian dua orang awam yang sedang melalui Lebuh Raya Nasional 56 akibat tembakan peluru”, kata kementerian itu dalam satu hantaran di Facebook.

Pertempuran terkini itu adalah yang paling sengit sejak siri tembakan roket dan artileri selama lima hari pada Julai, yang meragut sekurang-kurangnya 48 nyawa dan memaksa lebih 300,000 penduduk melarikan diri ke pusat pemindahan.

Thailand telah memindahkan 438,000 penduduk dari lima wilayah sempadan, manakala Kemboja turut memindahkan ratusan ribu rakyatnya ke kawasan selamat.

Di wilayah Sa Kaeo, tentera Thailand melaporkan tembakan artileri daripada pihak Kemboja terkena dua rumah penduduk, namun tiada kematian dicatatkan.

Thailand turut mengesahkan seorang askarnya terbunuh dan 18 lagi cedera sejak 7 Disember.

Selepas dua hari menafikan serangan balas, tokoh politik paling berpengaruh Kemboja, mantan Perdana Menteri Hun Sen, mengakui Phnom Penh melepaskan tembakan sebagai tindakan mempertahankan diri.

Dalam hantaran di Facebook, beliau berkata: “Selepas bersabar lebih 24 jam untuk menghormati gencatan senjata dan memberi masa memindahkan orang awam, kami terpaksa membalas.

“Kini kami berperang untuk mempertahankan diri sekali lagi.”

Perdana Menteri, Encik Hun Manet, turut mengecam Thailand kerana menyerang kampung-kampung awam, dengan berkata:

“Thailand tidak boleh menggunakan alasan mempertahankan kedaulatan untuk menyerang penempatan orang awam.”

Di wilayah Surin, Thailand, keadaan panik mula kelihatan apabila ribuan penduduk dipindahkan sejak 7 Disember.

Pemilik warung makanan, Cik Sutida Pusa, 30 tahun, berkata keluarganya terpaksa berlindung di pusat pemindahan.

“Bunyi tembakan tidak sekuat ketika pertempuran besar pada 24 Julai, tetapi kami tidak pernah percaya keadaan ini,” katanya kepada agensi berita, AFP.

Di Kemboja, Menteri Penerangan, Encik Neth Pheaktra, mengesahkan empat orang awam terbunuh akibat serangan Thailand pada 8 Disember, sementara sekitar 10 lagi cedera.

Ketegangan terkini itu menarik perhatian Washington.

Seorang pegawai Amerika berkata Encik Trump memberi tumpuan penuh kepada usaha menamatkan keganasan.

“Presiden Trump komited untuk menamatkan keganasan yang sedang berlaku dan menjangka kerajaan Thailand serta Kemboja memenuhi kewajipan mereka untuk menamatkan konflik,” kata pegawai itu dipetik agensi berita, Reuters.

Kedutaan Amerika di Bangkok enggan mengulas lanjut, tetapi tekanan diplomatik semakin jelas.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa kedua-dua negara agar mengelakkan provokasi baru.

Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, berkata: “PBB sedia menyokong semua usaha ke arah keamanan, kestabilan dan pembangunan di rantau ini.”

Thailand dan Kemboja telah bergelut lebih seabad dalam isu penandaan sempadan sepanjang 817 kilometer khususnya kawasan kuil purba seperti Kuil Preah Vihear, tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Pertikaian sejarah itu sering mencetuskan gelombang nasionalisme dan pertempuran berskala kecil.

Ketegangan meningkat sejak Mei lalu apabila seorang askar Kemboja terbunuh dalam pertembungan kecil, menyebabkan peningkatan ketenteraan dan putusnya hubungan diplomatik. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg