Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 60 cedera dalam ledakan depo bahan letupan di Seychelles

Dec 8, 2023 | 12:17 PM
LETUPAN KUAT: Letupan sebelum subuh di kawasan perindustrian Providence di Mahe itu kedengaran dari beberapa kilometer jauhnya dan kekuatannya memecahkan tingkap rumah, bank dan kedai berhampiran.
LETUPAN KUAT: Letupan sebelum subuh di kawasan perindustrian Providence di Mahe itu kedengaran dari beberapa kilometer jauhnya dan kekuatannya memecahkan tingkap rumah, bank dan kedai berhampiran. - Foto AFP

SEYCHELLES: Satu letupan kuat di sebuah depo bahan letupan di Seychelles pada 7 Disember mencederakan 66 orang dan meruntuhkan bangunan.

Kejadian itu menyebabkan Presiden negara itu, Encik Wavel Ramkalawan, “terkejut” dan mengisytiharkan darurat sepanjang hari.

Kepulauan itu – terkenal dengan pantai putih yang indah dan dikunjungi pelancong mewah – juga sedang menghadapi banjir dan tanah runtuh, akibat hujan lebat yang meragut dua nyawa.

Letupan itu berlaku di kawasan perindustrian Providence di Mahe, pulau terbesar di negara Lautan Hindi itu, menyebabkan kerosakan besar di tapak dan kawasan sekitarnya, menurut satu kenyataan daripada pejabat presiden.

“Menyusuli letupan di stor bahan letupan itu, yang telah menyebabkan kerosakan besar... dan kerosakan yang dialami akibat banjir ekoran hujan lebat, presiden telah mengisytiharkan darurat untuk hari ini, 7 Disember,” menurut kenyataan pejabat presiden itu lagi.

“Semua sekolah akan ditutup. Hanya pekerja dalam perkhidmatan penting dan orang yang melancong akan dibenarkan bergerak bebas. Ini bagi membolehkan perkhidmatan kecemasan menjalankan kerja penting,” tambah kenyataan itu.

Kemudian, pada hari yang sama, Presiden Ramkalawan mengumumkan bahawa keadaan darurat telah ditarik balik.

“Setakat ini, negara tidak lagi berada dalam keadaan kecemasan, bermakna kedai boleh dibuka semula dan pergerakan normal orang ramai boleh disambung semula, kecuali kawasan perindustrian Providence,” kata presiden kepada pemberita.

Letupan sebelum subuh itu kedengaran beberapa kilometer jauhnya, dengan kekuatan letupan itu memecahkan tingkap rumah, bank dan kedai berhampiran.

“Saya terkejut apabila tiba awal pagi. Polis dan tentera (telah mengawal) kawasan itu,” kata Encik Ramkalawan pada satu taklimat media.

“66 orang telah dimasukkan ke hospital,” katanya.

Rakaman yang disiarkan di televisyen menunjukkan serpihan kaca dan kepingan logam bertaburan di tapak kejadian.

“Ramai orang berada dalam keadaan terkejut, dan kami berusaha untuk memberikan mereka sokongan psikologi,” kata Encik Ramkalawan.

Beliau menambah bahawa letupan itu boleh mengakibatkan lebih ramai korban sekiranya ia berlaku pada waktu siang. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg