JAKARTA: Gunung Sinabung di Sumatera Utara kembali meletus pada pagi 2 September, ketika lebih 600 penduduk dipindahkan ke kawasan selamat susulan peningkatan aktiviti gunung berapi itu sejak beberapa hari lalu.

Menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), letusan bermula pada 7.20 pagi waktu tempatan dengan abu menjulang kira-kira 1,000 meter dari puncak, atau sekitar 3,460 meter dari aras laut.

“Lajur abu dilihat berwarna kelabu hingga coklat dengan kepekatan tinggi, bergerak ke arah timur dan tenggara. Ketika laporan ini disediakan, letusan masih berlaku,” kata PVMBG.

Letusan terbaru berlaku dua hari selepas Gunung Sinabung mengalami letusan lebih besar pada 31 Ogos yang menghasilkan lajur abu setinggi kira-kira 3.5 kilometer dari puncak, atau sekitar 5.96 kilometer dari aras laut.

Letusan Gunung Sinabung di Sumatera Utara menyebabkan penerbangan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu terganggu, dengan beberapa penerbangan dibatalkan atau mengalami kelewatan.

PT Angkasa Pura Indonesia berkata Lapangan Terbang Kualanamu ditutup sementara akibat aktiviti gunung berapi itu, menyebabkan penerbangan dari dan ke lapangan terbang berkenaan berdepan kemungkinan ditangguhkan, dibatalkan atau dialihkan ke lapangan terbang lain.

Penolong Timbalan Komunikasi dan Hal Ehwal Undang-Undang Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Encik Yudistiawan, berkata pihaknya terus berkoordinasi dengan syarikat penerbangan dan agensi berkaitan bagi memantau keadaan.

“Letusan itu telah menjejas penerbangan dari dan ke Kualanamu, termasuk penerbangan dari Soekarno-Hatta. Kami terus berkoordinasi untuk memantau keadaan penerbangan dan perkhidmatan penumpang,” katanya pada 2 September.

Pada 1 September, sebanyak 41 penerbangan dijadualkan beroperasi antara Soekarno-Hatta dengan Kualanamu, melibatkan 20 penerbangan ketibaan dan 21 penerbangan berlepas.

Penerbangan tersebut dianggarkan membawa kira-kira 5,350 penumpang.

Daripada jumlah itu, 15 penerbangan antara kedua-dua lapangan terbang dibatalkan akibat aktiviti Gunung Sinabung yang dikategorikan sebagai keadaan di luar kawalan atau force majeure.

Sebanyak 14 penerbangan lain pula mengalami kelewatan.

Susulan peningkatan aktiviti itu, tahap amaran Gunung Sinabung dinaikkan daripada Tahap II (Waspada) kepada Tahap III (Siaga) mulai 12.30 tengah hari pada 31 Ogos.

Pihak berkuasa memberi amaran letusan pada 31 Ogos mungkin hanya permulaan dan aktiviti Gunung Sinabung berpotensi meningkat lagi.

Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia berkata seramai 615 penduduk daripada 211 keluarga di Desa Kuta Tengah, Kecamatan Simpang Empat, Kabupaten Karo, telah dipindahkan ke pusat pemindahan kecemasan di Desa Sukatepu, Kecamatan Naman Teran.

Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana BNPB, Encik Berton SP Panjaitan, berkata beberapa kawasan sekitar Gunung Sinabung dikenal pasti berisiko terjejas sekiranya aktiviti gunung berapi terus meningkat.

Antaranya ialah Desa Ndokum Siroga dan Desa Kuta Tengah di Kecamatan Simpang Empat serta Desa Payung di Kecamatan Payung.

Penduduk Desa Payung masih berada di rumah masing-masing tetapi diarahkan supaya terus berwaspada dan bersedia untuk berpindah sekiranya keadaan bertambah buruk.

Pemerintah daerah bersama agensi berkaitan terus memantau keadaan penduduk di kawasan yang berpotensi terjejas.

BNPB berkata zon bahaya Gunung Sinabung turut diperluaskan berdasarkan saranan Kementerian Tenaga dan Sumber Daya Mineral Indonesia.

“Penduduk dan pengunjung tidak dibenarkan melakukan kegiatan di desa yang telah dipindahkan, dalam lingkungan tiga kilometer dari puncak Gunung Sinabung serta sehingga enam kilometer ke arah tenggara,” kata Encik Berton.

Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Kabupaten Karo telah mengarahkan penduduk meninggalkan zon bahaya dan berpindah ke lokasi lebih selamat.

Pelitup muka turut diedarkan kepada penduduk di kawasan yang terjejas oleh abu gunung berapi.

Selain ancaman letusan dan abu, pihak berkuasa turut memberi amaran mengenai kemungkinan berlakunya aliran lahar, terutama di kawasan sungai yang berpunca dari Gunung Sinabung.

Penduduk yang tinggal berhampiran laluan sungai diminta meningkatkan kewaspadaan, terutama sekiranya berlaku hujan yang boleh membawa bahan gunung berapi menuruni cerun.

PVMBG berkata pemantauan terhadap Gunung Sinabung diteruskan dan tahap amarannya akan dinilai secara berkala atau pada bila-bila masa sekiranya terdapat perubahan ketara dalam aktiviti gunung berapi itu.

Encik Berton meminta penduduk supaya kekal tenang tetapi tidak mengabaikan arahan keselamatan.

“Penduduk dan pengunjung diminta mematuhi kawasan yang telah ditetapkan sebagai zon bahaya, tidak melakukan kegiatan di desa yang telah dipindahkan dan mengikuti arahan pemerintah daerah serta agensi berkuasa,” katanya.

Beliau turut mengingatkan penduduk berhampiran sungai yang berpunca dari Gunung Sinabung supaya berwaspada terhadap ancaman lahar.

Gunung Sinabung yang terletak di Kabupaten Karo merupakan antara gunung berapi aktif di Indonesia, sebuah negara yang berada di Lingkaran Api Pasifik dan mempunyai lebih 100 gunung berapi aktif. – Agensi berita.