GENEVA: Pemerdagangan manusia untuk aktiviti jenayah paksa kini meningkat pada kadar yang membimbangkan, dengan ratusan ribu individu terperangkap di pusat penipuan dalam talian di seluruh Asia Tenggara, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 30 Julai.
Ketua agensi migrasi PBB berkata, terlalu kerap mangsa tidak dibantu, sebaliknya ditahan atas jenayah yang mereka dipaksa lakukan, sempena Hari Menentang Pemerdagangan Manusia Sedunia.
“Pemerdagangan manusia adalah krisis hak asasi manusia, tetapi ia lebih daripada itu. Ia merupakan perniagaan global berskala besar yang menyuburkan rasuah, menabur ketakutan, dan mengeksploitasi golongan paling terdedah,” kata Cik Amy Pope.
Beliau berkata agensi beliau, Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), menyaksikan aktiviti pemerdagangan untuk jenayah paksa berkembang dengan kadar yang membimbangkan”. “Pada ketika ini, di seluruh Asia Tenggara, ratusan ribu orang terperangkap dalam pusat penipuan dalam talian,” kata ketua IOM itu.
“Operasi-operasi ini dianggarkan menjana sebanyak AS$40 bilion ($51.7 bilion) setahun, dan kebanyakan yang terperangkap terdiri daripada migran, pencari kerja muda, kanak-kanak dan golongan orang kurang upaya.”
Beliau berkata IOM yang berpangkalan di Geneva telah membantu hampir 3,000 mangsa membina semula kehidupan mereka sejak tahun 2022. Cik Pope berkata, agensi itu telah membantu membawa pulang mangsa dari Filipina dan Vietnam serta memberikan sokongan kepada mangsa di Thailand, Myanmar dan negara lain.
Namun beliau memberi amaran bahawa masih ramai lagi yang terperangkap.
“Lebih memburukkan keadaan, mereka sering kali ditahan, didakwa, dan dihukum, bukannya dibantu. Izinkan saya jelaskan: tiada siapa patut dipenjara kerana sesuatu yang mereka dipaksa lakukan,” katanya.
Beliau menggesa kerajaan dan masyarakat sivil untuk meningkatkan usaha dan menggubal undang-undang kebangsaan agar mangsa pemerdagangan dilindungi dan bukannya dihukum serta mendesak pihak berkuasa menumpukan tindakan ke atas pihak yang mengeksploitasi, bukan mangsa yang terpedaya.
Perang saudara yang berpanjangan di Myanmar yang tercetus akibat rampasan kuasa pada 2021 telah membolehkan pertumbuhan pesat kilang penipuan dalam talian yang menguntungkan di kawasan sempadan yang longgar kawalannya.
Operasi penipuan siber ini memperdaya pekerja asing dengan tawaran kerja bergaji tinggi tetapi kemudiannya menahan mereka dan memaksa mereka menjalankan penipuan dalam talian. Ramai mangsa pemerdagangan ini merupakan lelaki warganegara China.
Ramai individu berkata mereka telah diperdagangkan ke pusat penipuan yang sering diperkukuh ketat untuk menyasarkan mangsa melalui penipuan percintaan atau perniagaan di media sosial, dengan memperdaya mereka supaya membuat bayaran mata wang kripto yang tidak dapat dikesan. - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg